Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

194) KEMISKINAN DALAM BANDAR (URBAN POVERTY

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Yap Lum Chin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah peratusan kemiskinan bandar di dalam Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri telah menetapkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri kepada RM1500 bagi seisi rumah seramai lima (5) orang. Peratus kemiskinan mencecah 30% dan masalah kemiskinan di bandar ini sentiasa diambil perhatian oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri sedang mengemas kini data kemiskinan sama ada di bandar mahupun di luar bandar. Justeru, satu kajian kemiskinan sedang dilaksanakan untuk melihat dengan lebih jelas senario dan insiden kemiskinan di Negeri Selangor.

  2. Apakah usaha-usaha Kerajaan Negeri bagi menangani masalah ini?

    Di antara usaha yang dilaksanakan adalah dengan meningkatkan produktiviti kerja dan meningkatkan kemahiran atau skil pekerja. Di dalam usaha menambah bilangan pekerja mahir, Kerajaan Negeri menyediakan bantuan Program Kemahiran Teknikal kepada lepasan sekolah untuk mendalami sijil kemahiran teknikal dan vokasional di Kolej INPENS. Bidang-bidang yang ditawarkan mampu untuk memberi peluang untuk mendapatkan pekerjaan seperti mekanik kenderaan Automotif, mekanik penyaman udara, pembuat pakaian wanita, juru kecantikan dan lain-lain. Justeru, mereka dapat menambah pendapatan isi rumah melalui skil dan kemahiran yang dimiliki untuk mendapatkan pekerjaan.

  3. Apakah rancangan jangka panjang Kerajaan Negeri di dalam membendung masalah kemiskinan bandar?

    Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha membasmi kemiskinan melalui Program-program Pembasmian Kemiskinan yang telah dan sedang dilaksanakan. Program-program yang dilaksanakan sama ada berbentuk jangka pendek atau jangka panjang, dirangka secara khusus untuk membantu golongan miskin sama ada yang berada di bandar mahupun di luar bandar untuk keluar dari belenggu kemiskinan

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri melaksanakan Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang bertujuan untuk membantu mengurangkan beban ekonomi rakyat Negeri Selangor. Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dilaksanakan dengan pendekatan menjaga hal-hal kebajikan rakyat Negeri Selangor tanpa mengambil kira status kaum, agama, usia dan fahaman politik. Program-program yang dilaksanakan menerusi konsep ’Merakyatkan Ekonomi Selangor’ bertindak sebagai serampang dua mata di mana memulangkan semula hasil negeri kepada rakyat Negeri Selangor dan seterusnya dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat Negeri Selangor khususnya bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan yang rendah. Dengan perlaksanaan MES ini, perbezaan antara golongan kaya dan miskin dapat dikurangkan dan seterusnya rakyat dapat menikmati hidup yang lebih selesa dan harmoni dalam Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.