Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014
288) KEMISKINAN BANDAR DI SELANGOR
Tahun: 2014
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Jakiran Bin Jacomah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah pendapatan isi rumah yang dikategorikan sebagai kemiskinan bandar?
Sehingga 31 Mei 2014, jumlah pendapatan isi rumah yang dikategorikan sebagai kemiskinan bandar di Selangor adalah sebanyak RM1,500.00 dan terpakai kepada semua rakyat negeri Selangor tanpa mengikut kawasan geografi.
-
Apakah langkah kerajaan negeri untuk membantu golongan miskin bandar menghadapi kos sara hidup yang tinggi?
Seperti mana yang kita maklum, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai program untuk membantu golongan miskin bandar. Antara langkah Kerajaan Negeri untuk membantu golongan miskin bandar adalah dengan melaksanakan Program Mikrokredit. Program ini dilancarkan pada 3 Mac 2011 dengan peruntukan sebanyak RM20 juta. Program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) Selangor merupakan pinjaman mikrokredit Qardul Hasan iaitu tanpa faedah & caj pengurusan. MiMBAR Selangor adalah salah satu program di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di bawah Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan.
Selain itu terdapat beberapa program yang dijalankan di bawah Standco Kemiskinan seperti :
- Program Bantuan Blueprint Kemiskinan
Program ini dilaksanakan dengan memberi bantuan kepada golongan miskin untuk meningkatkan pendapatan melalui pemberian barang-barang seperti mesin dan peralatan. Mesin dan peralatan ini diberikan supaya penerima yang terdiri daripada golongan miskin, dapat memulakan perniagaan kecil-kecilan untuk meningkatkan pendapatan penerima.
- Program Kemahiran Teknikal Kerajaan Negeri Selangor bersama Kolej Antarabangsa INPENS
Program ini dilaksanakan dengan memberikan penajaan kos pembayaran yuran kepada pelajar-pelajar miskin yang diterima masuk ke Kolej Antarabangsa INPENS. Had pendapatan isi rumah yang layak memohon bantuan ini ialah sebanyak RM3,000.00 dan ke bawah. Jumlah tajaan yang diterima oleh seorang pelajar adalah sebanyak RM6,550 untuk satu tahap bersamaan dengan enam bulan tempoh pengajian.
- Pemberian Bantuan Perayaan kepada Golongan Miskin Bantuan ini diberikan dalam bentuk baucer yang berjumlah RM100.00 kepada semua golongan miskin bagi meringankan beban mereka untuk membuat persediaan menyambut perayan masing – masing. Bantuan ini diberikan kepada semua ADUN.
Untuk makluman, terdapat beberapa lagi standco lain yang turut melaksanakan program bagi membantu golongan miskin bagi menghadapi kos sara hidup yang tinggi antaranya seperti Program Si KEMBAR, TUNAS, Tuisyen Rakyat dan banyak lagi program yang lain.