Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

8) KEMISKINAN BANDAR DAN LUAR BANDAR DI SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri bagi menangani isu kemiskinan bandar dan luar bandar?

    Untuk makluman Yang Berhormat Permatang, Kerajaan Negeri sentiasa peka dalam membanteras kemiskinan di negeri ini tidak kira di bandar mahupun di luar bandar. Sehubungan dengan itu, Iltizam Selangor Penyayang (ISP) dilihat merupakan satu usaha berterusan malahan strategi jangka panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam membasmi kemiskinan. ISP merupakan program-program yang dibentuk untuk memberdayakan rakyat disamping mengupaya dan meningkatkan social safety net seperti yang digariskan di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). ISP terdiri daripada empat puluh empat (44) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori dan antara program yang terlibat ialah Program BINGKAS, Skim Air Darul Ehsan, Skim HIJRAH, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Bas Smart Selangor dan banyak lagi. Program-program ISP ini diyakini dapat menghasilkan komposisi ekonomi yang seimbang dalam pekerjaan, kebajikan, kesihatan dan perniagaan secara menyeluruh sekali gus dapat membantu mengangkat golongan yang tidak bernasib baik ini keluar dari kitaran kemiskinan. Walaupun program-program yang dilaksanakan ini tidak mampu untuk membasmi kemiskinan sehingga sifar, namun secara tidak langsung ianya telah membantu mengurangkan beban rakyat Selangor dalam menjalani kehidupan seharian.

  2. Nyatakan statistik terkini kadar kemiskinan bandar dan luar bandar di Negeri Selangor?

    Merujuk kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), secara umumnya kemiskinan boleh diukur dengan beberapa kaedah dan salah satunya adalah menggunakan kaedah pengukuran kemiskinan mutlak iaitu Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Pada tahun 2019, nilai purata PGK di peringkat nasional adalah RM2,208.00 sebulan dan bagi negeri Selangor sahaja, nilai purata PGK yang direkodkan aadalah RM2,022 sebulan. Berhubung dengan statistik terkini kadar kemiskinan bandar dan luar bandar di Negeri Selangor, insiden kemiskinan mutlak negeri Selangor pada tahun 2019 meningkat kepada 1.2 peratus daripada 0.8 peratus pada tahun 2016. Dalam tempoh yang sama, insiden kemiskinan mutlak di bandar turut mencatatkan peningkatan 0.4 mata peratus kepada 1.1 peratus. Walau bagaimanapun, insiden kemiskinan mutlak di luar bandar merekodkan penurunan daripada 3.4 peratus (2016) kepada 2.0 peratus pada tahun 2019. Untuk makluman Yang Berhormat, pada tahun ini Jabatan Perangkaan Malaysia, sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (Household Income and Basic Amenities Survey; HIS & BA) 2022 bagi tempoh 12 bulan bermula pada Januari dan berakhir Disember ini. Dapatan daripada survei ini kelak akan dapat memberikan maklumat statistik pendapatan dan kemiskinan yang lebih terkini. Statistik menyeluruh adalah seperti di Jadual 1 untuk makluman dan rujukan Yang Berhormat selanjutnya.

    (Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia, 2022)

Lampiran

Tiada Lampiran.