Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013
76) KEMISKINAN BANDAR
Tahun: 2013
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri Selangor telah mengenal pasti sejauh mana masalah kemiskinan bandar berlaku di bandar-bandar di Negeri Selangor. Apakah kriteria garis kemiskinan bandar yang digunakan?
Peningkatan jumlah penduduk bandar menjadi satu trend di kebanyakan negara membangun hari ini. Melihat kepada kepesatan pembangunan di bandar telah menarik minat penduduk luar bandar untuk ‘berhijrah’ ke bandar, lantaran peluang pekerjaan yang ditawarkan. Keadaan ini sekali gus telah menyumbang kepada peningkatan kadar pembandaran. Oleh itu tidak hairanlah wujud fenomena kemiskinan bandar apabila segelintir masyarakat yang tidak mampu mengikuti arus kemodenan ini tercicir lantas dibelenggu kemiskinan. Kriteria garis kemiskinan bandar adalah berdasarkan jumlah pendapatan, tanggungan isi rumah, pemilikan aset sama ada mempunyai rumah sendiri atau menyewa, kemudahan kesihatan dan keperluan-keperluan asas (makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan, pengangkutan).
-
Berapakah jumlah rakyat Selangor yang telah di kenalpasti tergolong dalam kategori kemiskinan bandar ?
Berdasarkan kepada bancian yang dibuat pada tahun terakhir 2007, 30% (1,530,629 orang) penduduk di Negeri Selangor berpendapatan kurang dari RM1,500.00 dari jumlah populasi di Negeri Selangor sebanyak 5,070,000. Daripada jumlah tersebut, 87.6% (1,340,831 orang) penduduk tergolong dalam kemiskinan bandar.
-
Apakah langkah-langkah dan usaha-usaha kerajaan Negeri Selangor untuk mengatasi dan mengurangkan kemiskinan bandar yang wujud ini ?
Kerajaan Negeri dalam usaha untuk pembasmian kemiskinan fokus kepada isu perumahan untuk orang miskin, penjanaan pendapatan, pendidikan dan kesihatan. Usaha ini diselaraskan bagi membantu mereka yang memerlukan dengan sasaran jangka panjang memastikan mereka dapat berdikari. Sehubungan itu, wujudnya program-program peningkatan pendapatan seperti Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Bantuan Niaga, Program Mikrokredit, Pakej Mimbar dan juga programprogram yang ditawarkan oleh Lembaga Zakat Selangor.