Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

326) KEMISKINAN

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Noor Najhan Bin Mohamad Salleh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah bilangan dan peratus penduduk parlimen Kapar yang miskin (pendapatan RM1,500 ke bawah) mengikut kawasan DUN dari tahun 2020-2023?

    Untuk makluman Yang Berhormat Sementa Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah membangunkan Sistem eKasih sebagai satu pangkalan data kemiskinan nasional yang bertujuan untuk mendaftarkan golongan miskin di Malaysia dan mengklasifikasikan kepada kategori Miskin Tegar atau Miskin berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dengan melalui proses verifikasi di lapangan. Kriteria penetapan kategori kemiskinan bergantung kepada jumlah pendapatan perkapita isi rumah dan berasaskan kepada formula perkiraan yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan juga Jabatan Perangkaan Malaysia melalui Banci Pendapatan Isi Rumah 2022.

    PGK miskin tegar bagi peringkat Nasional adalah RM1,198 dan peringkat Negeri Selangor adalah RM1,274 dimana bagi PGK di bandar adalah RM1,274 dan di luar bandar RM1,262.

    PGK miskin bagi peringkat Nasional adalah RM2,589 dan peringkat Negeri Selangor adalah RM2,830 dimana bagi PGK di bandar adalah RM2,848 dan di luar bandar RM2,421.

    Pecahan KIR miskin tegar di bawah Parlimen Kapar sehingga 31 Mei 2024 adalah seperti berikut:

    Manakala pecahan KIR miskin tegar di bawah Parlimen Kapar bagi tahun 2020 hingga 2023 akan dikemukakan kepada Yang Berhormat Sementa secara bertulis.

     

  2. Apakah definisi miskin tegar?

    Sesebuah isi rumah dikategorikan sebagai Miskin Tegar sekiranya pendapatan isi rumah kurang daripada nilai PGK yang diperlukan. Miskin tegar juga boleh termasuk dalam golongan rentan yang terdiri daripada wanita, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), orang miskin dan belia.

  3. Apakah usaha-usaha kerajaan bagi memastikan membantu golongan miskin dan miskin tegar?

    Untuk makluman Yang Berhormat jua, Kerajaan Negeri sentiasa memberi tumpuan kepada usaha pembasmian kemiskinan samada golongan miskin atau miskin tegar dan usaha ini adalah antara tugas utama Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor selaras dengan halatuju Rancangan Selangor Pertama (RS1).

    Antara rancangan jangka panjang kerajaan untuk menyokong kesinambungan hidup keluarga miskin tegar termasuk langkah mengurangi kebergantungan pada bantuan sosial adalah melalui Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP). ISP merupakan satu inisiatif berterusan malah menjadi strategi jangka masa panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam membasmi kemiskinan terutama keluarga miskin tegar. Ini kerana ISP merupakan program yang dibentuk untuk memberdayakan rakyat disamping mengupaya dan meningkatkan social safety net seperti yang digariskan di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

    ISP terdiri daripada empat puluh enam (46) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori atau kluster iaitu yang terdiri daripada:

    1. Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor;
    2. Iltizam Kesihatan Selangor;
    3. Iltizam Pendidikan Selangor;
    4. Iltizam Perumahan Selangor;
    5. Iltizam Keusahawanan Selangor; dan
    6. Iltizam Mesra Anak Selangor.

    Langkah yang dilihat bersesuian untuk mengurangi kebergantungan pada bantuan sosial bagi jangka masa panjang melalui kluster Iltizam Pendidikan Selangor dan Iltizam Keusahawanan Selangor yang dapat membantu meningkatkan taraf pelajaran keluarga dan kebolehan menambah pendapatan melalui program usahawan seperti Skim Hijrah Mikrokredit, Dana Usahawan Madani Selangor, dan Bantuan Peralatan Blueprint Pembasmian Kemiskinan.

Lampiran

Tiada Lampiran.