Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
81) KEMBARA ATV HUTAN GOMBAK TIMUR HULU KELANG
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah peranan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan untuk membantu memajukan aktiviti kembara ATV (All-Terrain Vehicle) di Kg Kemensah?
Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memberi sokongan dalam apa jua aktiviti khususnya sukan lasak selagi ia mematuhi segala peraturan-peraturan dan undang-undang yang masih berkuat kuasa. Aktiviti sukan lasak seperti aktiviti kembara ATV (All-Terrain Vehicle) di Kampung Kemensah ini bukan sahaja memberi impak positif dalam aspek sosial malah turut juga menyumbang kepada peningkatan ekonomi dalam aspek ekopelancongan Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah mengeluarkan Permit Penggunaan kepada salah satu pengusaha ATV iaitu ATV Fun Adventure Marketing di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal Hulu Gombak bagi tujuan menjalankan aktiviti rekreasi yang dimaksudkan. Buat masa ini Kerajaan Negeri tidak memberi apa-apa bantuan kepada pengusaha terlibat bagi tujuan memajukan aktiviti ATV tersebut.
-
Apakah bentuk insentif atau subsidi yang boleh diberikan oleh Kerajaan bagi menggalakkan anak muda terlibat dalam kembara ATV?
Kerajaan Negeri Selangor tidak perlu memberi sebarang bentuk insentif atau subsidi bagi tujuan menggalakkan anak muda terlibat dalam kembara ATV ini kerana ini adalah aktiviti riadah dan kerajaan Negeri tidak seharusnya membayar orang untuk beriadah.
-
Apakah rancangan Tourism Selangor membantu mempromosikan kembara ATV ini ke seluruh dunia?
Tourism Selangor akan terus memainkan peranan penting dalam mempromosikan Negeri Selangor sebagai pelancongan yang unik khususnya bagi pelancongan yang berkonsepkan sukan di Selangor. Antara rancangan tindakan yang akan terus dilakukan adalah seperti yang berikut.
- Promosi
Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor akan meneruskan semua aktiviti promosi yang telah dijalankan sama ada di dalam mahupun di luar Negara untuk memperkenalkan acara sukan berkonsepkan pelancongan di Negeri Selangor. Di setiap tempat menarik yang dikongsikan di dalam promosi, pihak Tourism juga menyelitkan informasi tentang keunikan kembara ATV ini dan kawasan menarik yang ada pada sekitar kawasan tersebut.
Antara promosi ke luar negara yang dijalankan adalah seperti berikut:
- Asean Tourism Forum, Manila
- Sales Mission to India
- Arabian Travel Mart, Dubai
- ITB , Berlin German
Antara promosi dalam negara yang dijalankan adalah seperti berikut:
- MATTA Fair, PWTC
- MATTA Fair, Johor Bahru
- MITA Fair, KLCC
- WTM Connect, Penang
- Hebahan melalui Laman web dan Media Sosial Tourism Selangor
Tourism di dalam laman web rasmi akan sentiasa mempromosi pelancongan sukan negeri dan memastikan semua maklumat yang dipaparkan adalah yang terkini dan tepat. Laman web Tourism Selangor boleh dilayari melalui http://www.tourismselangor.my. Laman Media sosial Tourism Selangor mempunyai jumlah pengikut yang ramai melebihi 100,000 followers. Facebook, Twitter dan Weibo Tourism Selangor menggunakan profil nama @TourismSelangor serta Instagram menggunakan profil @DiscoverSelangor dapat mempromosikan acara kembara ATV ini dengan lebih efektif dan meluas.
- Familiarization Trip ‘FAM Trip’
Tourism Selangor juga akan membawa lawatan-lawatan untuk para media mahupun lain-lain ‘fam tour’ serta agensi-agensi pelancongan dalam dan luar negara bagi mempromosikan produk-produk pelancongan secara terus kepada ‘key players’ dan agensi-agensi pelancongan. Secara tidak langsung acara ini dapat juga mendekatkan diri para peserta dengan kebudayaan yang terdapat di Negeri Selangor.
Fam Trip yang dirancang dan dijalankan oleh Tourism Selangor adalah seperti berikut :
- FAM Trip untuk Agensi Pelancongan
- FAM Trip bersama Media : #TSDAYOUT, My Selangor Story
- Program Bersama Jurufoto
- Pengiklanan Media Cetak dan Bahan Terbitan
Tourism Selangor juga mempromosikan pelancongan berbentuk sukan melalui pengiklanan media cetak seperti akhbar, majalah dan risalah promosi. Poster informasi berserta laporan dan artikel diperbanyakkan di media tempatan dan bertyaraf antarabangsa. Antaranya seperti, Gaya Travel, Lonely Planet Asia, TTG Asia, Santai Travel, Libur, Akhbar The Star, Selangorkini dan banyak lagi. Selain itu, Tourism Selangor juga menerbitkan risalah pelancongan seperti direktori pelancongan, peta, dan info grafik untuk memberikan informasi lengkap berkenaan acara atau kemudahan sukan yang berkonsepkan pelancongan. Antaranya seperi, Selangor Breakaway, Selangor Travel Guide dan Selangor Coffee Table Book.
- Promosi melalui Aplikasi Telefon Pintar “Discover Selangor”
Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah melancarkan sebuah aplikasi khas direktori pelancongan yang dikenali sebagai “Discover Selangor Mobile Application”. Aplikasi ini dapat mempromosikan acara kembara ATV ini dengan lebih meluas kerana segala info yang berkaitan dengan acara ini dapat dipaparkan berserta akses untuk mendaftar dan juga menyertai acara ini.