Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

108) KEMATIAN AKIBAT COVID-19 DI SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai maklumat mengenai kes kematian COVID-19 di Selangor mengikut bulan? Jika ya, nyatakan butir-butirnya.

    Negeri Selangor merupakan negeri yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, di samping mempunyai bilangan kawasan perindustrian dan perkilangan yang banyak. Faktor-faktor tersebut merupakan antara punca yang menyebabkan kadar kes harian Covid-19 terus mencatatkan peningkatan.  Sehingga 10 Ogos 2021, jumlah kematian di Negeri Selangor mengikut bulan adalah seperti berikut:

    BULAN GOMBAK HULU LANGAT HULU SELANGOR KLANG KUALA LANGAT KUALA SELANGOR PETALING SABAK BERNAM SEPANG JUMLAH
    Jan 8 28 2 24 2 7 30 2 3 106
    Feb 25 40 1 10 4 3 39 2 5 129
    Mac 12 6 2 6 5 3 12 0 1 47
    April 4 18 1 11 2 2 11 0 3 52
    Mei 59 108 12 59 19 10 107 2 8 384
    Jun 121 207 18 101 42 29 239 7 40 804
    Julai 239 422 47 184 55 39 517 10 54 1567
    Ogos (10/8) 204 200 21 82 25 21 329 7 18 907
    JUMLAH 672 1029 104 477 154 114 1284 30 132 3996

    Melalui data tersebut, sejumlah 3,996 kes kematian telah direkodkan dengan bulan Julai mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu sebanyak 1,567 kes manakala bulan Mac merekodkan angka terendah iaitu sebanyak 47 kes.

  2. Nyatakan jumlah permohonan yang diterima oleh Kerajaan Negeri mengenai bantuan khairat kematian RM1,000 disebabkan COVID-19.

    Selari dengan hasrat menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat disamping memastikan kelestarian ekonomi terus terpelihara, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pakej Kita Selangor 2.0 pada 9 Jun 2021. Antara inisiatif di bawah strategi ‘Menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat’ adalah Bantuan Kewangan Kepada Keluarga Pesakit Covid-19 Yang Meninggal Dunia.  Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri akan memberi sumbangan khairat kematian berjumlah RM1,000 untuk setiap pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di Selangor. Inisiatif yang akan memberi manfaat kepada 1,500 penerima ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 juta.  Sehingga 19 Ogos 2021, sebanyak 2,004 permohonan telah diterima di bawah program bantuan ini. Susulan daripada jumlah permohonan yang semakin bertambah, Kerajaan Negeri telah bersetuju bagi penambahan peruntukan sebanyak RM1 juta yang akan memberi manfaat tambahan kepada 1,000 penerima.

Lampiran

Tiada Lampiran.