Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
184) KEMARAU 2025
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Memandangkan kelewatan pembangunan LRA Sungai Rasau, nyatakan kesiapsagaan Selangor menghadapi Kemarau 2025 dari segi (a) keterjaminan air dan (b) keterjaminan makanan.
Bagi mengatasi kelewatan projek sumber bekalan air yang akan diilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu Projek Kolam Takungan Air Dwi Fungsi Bagi Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah Sg Klang – Sg Rasau, Kerajaan Negeri Selangor telah mencadangkan untuk melaksanakan Rasau Source Works Intervention Plan bagi pertimbangan Kerajaan Persekutuan. Cadangan pelan intervensi ini merangkumi kedua-dua pelan intervensi sumber bekalan air mentah dan pengagihan semula sumber bekalan air terawat melalui kesalinghubungan sistem bekalan air (water grid interconnectivity) dari Loji-Loji Rawatan Air yang lain. Pelan intervensi yang dicadangkan bertujuan untuk memastikan bekalan air yang mampan dan mengatasi risiko kekurangan bekalan air terawat di Wilayah Klang bermula tahun 2025 sehingga 2027.
Beberapa perbincangan telah diadakan bersama dengan Pengarah Bahagian Bekalan Air (BBA) serta Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pada 4 Oktober 2024 dan 6 Oktober 2024 mengenai cadangan pelan intervensi tersebut. Satu mesyuarat lanjutan juga telah diadakan bersama YAB Dato Menteri Besar dan YAB Timbalan Perdana Menteri (TPM)/Menteri PETRA pada 22 Oktober 2024 untuk membincangkan kaedah pelaksanaan dan pembiayaan bagi pelan intervensi tersebut.
-
Nyatakan strategi pengurusan permintaan (water demand management) dalam menghadapi Kemarau 2025.
Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan jawatankuasa bagi persediaan untuk menghadapi musim kemarau melalui Mesyuarat Jawatankuasa Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang terdiri daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Air Selangor, dan agensi-agensi lain yang berkaitan.
Bekalan air mentah dijangka dapat menampung keperluan pengguna air di Negeri Selangor semasa fenomena ini berlaku (andaian hanya satu lembangan sungai sahaja yang terkesan pada satu masa) dengan mengambil kira beberapa langkah mitigasi yang perlu diaktifkan semasa tempoh kemarau. Antaranya melibatkan pengepaman air mentah daripada kolam-kolam OPAK sedia ada, pengaktifan fasiliti SJAM, dan pengoperasian optimum Empangan dan Loji Rawatan Air (LRA) utama serta mempertingkatkan usaha pemuliharaan air sebagai strategi mengurus permintaan air. Sehingga Oktober 2024, tujuh (7) empangan di Selangor dan satu (1) empangan di Pahang berada di tahap yang baik di mana kapasiti simpanan air adalah melebihi 90%. Sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan kemarau pada tahun 2025, Air Selangor sentiasa memastikan pelepasan air empangan adalah dikawal pada tahap yang optimum bagi menjamin kelestarian sumber air mentah untuk pengoperasian LRA yang membekalkan bekalan air terawat kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Pihak LUAS juga turut mengenal pasti 100 kolam-kolam yang berpotensi sebagai sumber air tambahan dan diletakkan di bawah program Selangor Off-River Storage Scheme (SORSS). Usaha – usaha bagi menangani persediaan musim kemarau ini bukan sahaja melibatkan Kerajaan Negeri tetapi turut memerlukan kolaborasi antara pihak Kerajaan Persekutuan serta agensi lain yang berkaitan.