Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

317) KEMAJUAN USAHAWAN

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Datuk Abdul Shukur Bin Idrus

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah program pembangunan untuk usahawan yang telah beroperasi?

    Program-program pembangunan untuk usahawan yang telah beroperasi ialah Program Peningkatan Keupayaan Pembungkusan produk Usahawan IKS Negeri

    Selangor (4P), penyertaan ke pameran-pameran dan Expo-expo Peringkat

    Kebangsaan dan Antarabangsa seperti Malaysian International Halal Showcase (MIHAS), Penang International Halal Expo & Conference (PIHEC), Festival Makanan & Kebudayaan Malaysia Sempena Sambutan 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia, Halal Fiesta Malaysia (HALFEST),  Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI), Karnival Jualan Gudang Ke-2, Mini Karnival Usahawan dan Karnival Makanan di Jalan Masjid India. Kursus, Latihan dan Seminar Keusahawanan, Seminar Bantuan Dana Industri Kampung, Pusat Pengumpulan IKS, Pasar Seri dan Uptown Shah Alam.

    Bantuan Dana Industri Kampung

    Memberikan bantuan dalam bentuk mesin / peralatan / perkakasan tidak melebihi RM10,000.00 kepada setiap pemohon. Pemohon yang layak adalah pengusaha yang menjalankan perusahaan secara sepenuh masa yang telah beroperasi sekurang-kurangnya 2 tahun.

    Program Peningkatan Keupayaan Reka Bentuk Pembungkusan Produk Usahawan Selangor (4P) 2014

    Melalui program ini usahawan diberi pendedahan kepada persembahan fizikal pembungkusan, reka bentuk, pelabelan dan pembangunan jenama. Strategi penjenamaan yang hasilnya dipercayai produk usahawan mampu bersaing di pasaran tempatan dan antarabangsa.

  2. Nyatakan bilangan dan profil perniagaan para usahawan yang telah dibantu dari tahun 2008 hingga 2014?

    Jumlah keseluruhan usahawan yang telah dibantu di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor dan agensi-agensi, anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor dan jabatan-jabatan berkaitan seperti MiMBAR, SKIMSEL, Bahagian Pembangunan Usahawan Perbadanan Kemajuan

    Negeri Selangor (PKNS), Unit-unit Industri Asas Tani dan Industri Asas Ternakan Jabatan Pertanian Negeri Selangor dan pejabat Pertanian Daerah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah dan Jabatan Perikanan Negeri dan Pejabat Perikanan Daerah adalah seramai 10,797 orang. Senarai usahawan yang telah di bantu adalah seperti di Lampiran A. Pecahan bantuan (pemberian bantuan) tidak dibuat mengikut DUN sebaliknya mengikut daerah dan tiada had yang ditetapkan untuk setiap daerah, bantuan bergantung kepada bilangan permohonan yang diterima, dan layak.

  3. Apakah pencapaian yang boleh dibanggakan dari usahawan yang telah dibantu?

    Di antara pencapaian yang boleh dibanggakan dari usahawan yang telah dibantu ialah usahawan mempunyai pembungkusan yang telah diiktiraf oleh SIRIM Berhad, terdapat segelintir usahawan yang telah menembusi pasaran Singapura, mempunyai premis pengeluaran sendiri, peningkatan hasil jualan, menghasilkan stokis dan lain-lain lagi.

Lampiran

Tiada Lampiran.