Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009
3) KEMAJUAN SUKAN NEGERI
Tahun: 2009
Sesi: 3
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Semakin hari kemajuan atlet-atlet yang mewakili Selangor bertanding dalam acaraacara sukan semakin berkurangan. Apakah usaha bagi memastikan mereka semua bangkit semula?
Pencapaian atlet Negeri Selangor buat masa ini berada di tahap yang amat
membanggakan dan jika dilihat di peringkat antarabangsa khasnya kebanyakan atlit
yang mewakili negara adalah atlit yang berasal dari Negeri Selangor. Walau
bagaimanapun, sebagai badan yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan
kecemerlangan sukan di Negeri ini, Majlis Sukan Negeri Selangor sentiasa peka atas
perkara tersebut dan telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan
atlit-atlit ini terus mempamerkan kecemerlangan khususnya ketika bertanding.
Kebanyakan atlit yang bertanding di peringkat kebangsaan adalah atlit yang masih di
dalam program pembangunan bertujuan memberikan pendedahan kepada mereka
untuk mempertingkatkan prestasi masing-masing. Manakala atlit-atlit elit kebanyakannya
telah diserapkan di dalam program kebangsaan dan memberikan tumpuan sepenuhnya
untuk kejohanan antarabangsa. Oleh yang demikian, pihak Majlis akan sentiasa
melahirkan bakat-bakat baru untuk diketengahkan melalui program-program
pembangunan sukan yang telah dijalankan bersama persatuan-persatuan sukan negeri
dan juga program Pelapis Majlis Sukan Negara. -
Kemajuan teknologi dan bakat muda tidaklah harus di persiakan. Apakah strategi dan inisiatif yang dirangka oleh pihak yang berwajib bagi memastikan mereka berterusan berusaha gigih bagi membaiki rekod dan pencapaian individu?
Sukan pada ketika ini boleh diklasifikasikan sebagai sukan prestasi tinggi yang menuntut
kepada pendekatan yang lebih saintifik dan sistematik. Ini memerlukan pelbagai
gabungan tenaga dan pengetahuan yang tinggi dalam usaha untuk memperbaiki rekod
dan pencapaian individu terutamanya dalam sukan. Pendekatan ini bermula dari
peringkat akar umbi untuk menentukan potensi bakat-bakat muda ini, pendekatan sains
sukan digunakan untuk melihat kemampuan atlit-atlit ini supaya boleh memilih sukan
yang sesuai berdasarkan kecenderungan sistem genetik dan komposisi tubuh badan
masing-masing. Rekod-rekod akan diambil dan dianalisis sepenuhnya untuk
menentukan keseragaman yang di perlukan untuk melahirkan atlit yang cemerlang.
Melalui unit sains sukan dan kejurulatihan juga, telah menggunakan kaedah saintifik dan
peralatan berteknologi tinggi dalam proses melahirkan atlit dan memperbaiki prestasi
pencapaian atlit. Penggunaan teknologi ini juga tidak terhad kepada proses untuk
meningkatkan prestasi malah turut digunakan untuk mencegah kecederaan dan
membantu proses pemulihan dengan lebih cepat untuk meningkatkan pencapaian
dengan kadar yang segera.
Walau bagaimanapun, disebabkan penggunaan teknologi yang tinggi ini turut
meningkatkan kos yang lebih tinggi dan penggunaan perancangan sistematik dalam
membentuk atlit-atlit adalah lebih sesuai dan telah menunjukkan hasil yang amat ketara
semenjak pendekatan sains sukan diperkenalkan di negeri ini. Perancangan sistematik
ini termasuklah sistem latihan dan pemulihan yang mana hasilnya hampir sama
terutamanya dalam melahirkan bakat-bakat baru. Ianya turut memberi kesan yang
mendalam ke atas atlit-atlit tersebut dan meningkatkan motivasi yang tinggi untuk
memperbaiki pencapaian masing-masing.