Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
174) KEMAJUAN LUAR BANDAR
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pembangunan Luar Bandar
Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah perancangan kerajaan untuk membangunkan ekonomi luar bandar seperti di Sabak Bernam, Banting, Tanjung Karang dan Kapar?
Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk melaksanakan pembangunan di kawasan luar bandar dari aspek ekonomi, sosial dan infrastruktur serta mengimbangkan antara pembangunan fizikal, kerohanian dan spiritual agar dapat melahirkan masyarakat yang maju dan berdaya saing.
Pelbagai program dan projek yang bersesuaian telah dirangka dan telah dilaksanakan tidak hanya melibatkan kawasan-kawasan yang disebutkan malah melibatkan kesemua sembilan (9) daerah dalam Negeri Selangor bertujuan memberdayakan ekonomi penduduk kampung. Purata jumlah peruntukan bagi projek-projek kecil dan program kemasyarakatan di luar bandar khususnya kampung tradisi adalah sebanyak lebih kurang RM8 juta setahun. Projek-projek pembangunan kampung tradisi di Negeri Selangor dibahagikan kepada projek baik pulih/ naik taraf jalan-jalan luar bandar, balai raya, kemudahan asas kampung dan program kemasyarakatan serta pembangunan ekonomi desa.
Berikut adalah antara usaha Kerajaan Negeri pada tahun 2022 dan 2023 dalam membantu pembangunan ekonomi penduduk kampung tradisi:
- Program Kita Ke Kampung #ProdukKampung4U Tahun 2022
Projek yang dijenamakan dengan nama PROGRAM KITA KE KAMPUNG #produkkampung4U ini merupakan salah satu daripada program kebajikan yang diolah oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Desa Negeri Selangor dan telah dimulakan pelaksanaannya pada tahun 2021.
Program ini telah mendapat respons yang amat memberangsangkan daripada semua pihak sama ada pembekal mahupun penerima serta telah memberi manfaat kepada lebih 12 pengusaha IKS desa dan lebih 5,000 penerima yang terdiri daripada penerima B40 dan petugas barisan hadapan.
Program pembangunan ekonomi kampung tradisi yang berunsur kebajikan ini memberi fokus untuk membantu pengusaha IKS desa dan kampung tradisi di samping membantu mempromosikan produk-produk kampung kepada orang ramai melalui konsep ‘Kita Ke Kampung’ dengan pengagihan barangan berbentuk bantuan barangan IKS Desa.
- Fiesta Sate Selangor 2023: Hidangan 100,000 Cucuk Sate Selangor
Selangor merupakan sebuah negeri yang dikenali sebagai ‘syurga makanan’ di Malaysia. Keterujaan pelancong dari dalam dan luar negara untuk menikmati pelbagai juadah yang dikongsi bersama dengan pelbagai etnik penduduk dan pelbagai jenis makanan mengikut etnik-etnik di merata tanah air. Sate atau ‘satay’ ketika dahulu merupakan salah satu di antara makanan jalanan. Namun pada hari ini Sate telah dikomersialkan dan menjadi sebagai salah satu produk makanan untuk didagangkan. Sejak sekian lama, Sate telah dijadikan sebagai salah satu menu utama di dalam perniagaan makanan di kawasan sekitar kampung- kampung tradisi.
Justeru itu, Fiesta Sate Selangor 2023: Hidangan 100,000 Cucuk Sate Selangor dianjurkan dengan tujuan seperti berikut:
i) Mempromosi sate sebagai makanan tradisional bernilai tinggi di Negeri Selangor;
ii) Memulihara sate dengan tidak menepikan juadah makanan tradisi yang Iain di Negeri Selangor;
iii) Melonjak daya saing peniaga terutama di kalangan pengusaha sate di kampung-kampung tradisi dalam menjana ekonomi desa;
iv) Menarik penglibatan penduduk kampung tradisi untuk turut serta di dalam program-program Kerajaan Negeri; dan
v) Menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara untuk datang ke Negeri Selangor melalui tarikan juadah sate.
Sehubungan ini, sekali lagi ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri Komited dalam pembangunan luar bandar khususnya pembangunan ekonomi kampung tradisi dengan penganjuran program-program yang mampu merancakkan ekonomi setempat. Penganjuran program-program seperti ini akan diperbanyakkan dan akan ditambah baik bergantung kepada kesesuaian dan keperluan semasa bukan sahaja di Sabak Bernam, Banting, Tanjung Karang dan Kapar malah ke seluruh pelusuk Negeri Selangor.
-
Berapakah jumlah yang diperuntukkan untuk menaiktaraf infrastruktur di luar bandar?
Ketua Kampung adalah seseorang yang dilantik oleh Kerajaan Negeri bagi memimpin dan mengetuai sesuatu kampung di Negeri Selangor. Setiap Ketua Kampung bertanggungjawab untuk menyampaikan kepada penduduk akan dasar-dasar Kerajaan, menjadi penghubung antara Kerajaan Negeri dan penduduk kampung, berusaha ke arah kemajuan kampung, menggalakkan orang kampung untuk membayar apa-apa hasil kepada Kerajaan seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang serta menggalakkan semangat kerjasama dikalangan penduduk.
Ketua kampung melalui Institusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) memainkan peranan penting dalam menggerakkan komuniti kampung untuk melaksanakan pembangunan untuk kemajuan dan kesejahteraan sesebuah kampung. Penubuhan MPKK ini adalah dalam usaha memastikan matlamat pembangunan desa seperti pembasmian kemiskinan, pemodenan desa dan kemajuan dalam pembangunan tercapai.
Di antara peranan penting Ketua Kampung adalah memperjelaskan dasar-dasar Kerajaan Negeri agar dapat memupuk perpaduan dan keharmonian masyarakat desa. Ketua Kampung bertanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan keperluan kampung dan selaras dengan arahan Kerajaan Negeri. Oleh itu, usaha memperjelas dasar-dasar Kerajaan Negeri dapat direalisasikan atau dapat diterapkan semasa perancangan dan pelaksanaan urusan pentadbiran dan operasi dijalankan dalam konteks untuk;
- Mengenalpasti dan merancang projek-projek pembangunan masyarakat yang boleh meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk di dalam kampung selaras dengan dasar-dasar yang ditetapkan.
- Menyusun keutamaan projek-projek yang hendak dilaksanakan.
- Menyedia, mengemaskinikan dan mempamerkan maklumat serta data-data Profil Kampung.
-
Bagaimana peranan ketua kampung dapat meningkatkan taraf sosial masyarakat luar bandar?