Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

248) KELULUSAN HAK MILIK TANAH

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Senaraikan tanah-tanah kerajaan yang telah diberi hak milik kepada Syarikat Proton serta Perodua serta anak-anak syarikatnya dengan maklumat tentang saiz, jenis hak milik, tempoh pajakan, kategori kegunaan tanah serta premium yang dibayar untuk setiap hak milik.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri tidak pernah memberi tanah secara pemberimilikan di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara, kepada Syarikat Proton dan Syarikat Perodua serta anak-anak syarikatnya. Kesemua tanah adalah diperolehi secara pindah milik. Data-data yang didapati adalah melalui dari aplikasi Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB).

    Terdapat 8 hak milik tanah adalah milik Syarikat Perodua serta anak-anak syarikatnya yang telah didaftarkan mengikut setiap daerah dalam Negeri Selangor.

    Iaitu, bagi daerah Hulu Selangor terdapat 4 hak milik tanah Perodua di Bandar Serendah dengan taraf pegangan pajakan 99 tahun dari tahun 1998 sehingga 2011 yang akan luput pajakan pada 5 Jun 2094. Satu daripada hak milik ini adalah jenis Hak milik Sementara Daftar (HSD). Manakala 3 hak milik adalah jenis Pajakan Negeri (PN). Jumlah keseluruhan keluasan keempat-empat hak milik tanah ini adalah 520.63 ekar. Kesemuanya hak milik ini adalah kategori kegunaan tanah perusahaan.

    Bagi di Daerah Petaling terdapat 3 hak milik tanah Perodua, dua daripadanya  di Mukim Damansara dengan taraf pegangan selama-lamanya dari tahun 1996. Kedua-dua hak milik ini adalah kategori kegunaan tanah perusahaan dengan keluasan tanah 1,765 meter persegi. Serta hak milik ini adalah jenis Hak milik Sementara Daftar (HSD) dan merupakan tanah lot yang bersebelahan. Juga, terdapat 1 hak milik tanah Perodua di Bandar Petaling Jaya dengan jenis Hak milik Sementara Daftar (HSD) yang bertaraf pegangan pajakan 99 tahun dari tahun 2014 sehingga tahun 2062 dengan keluasan 5,226.44 meter persegi. Kategori kegunaan tanah ini adalah bangunan.

    Untuk Daerah Gombak pula, hanya terdapat 1 hak milik tanah Perodua sahaja di Mukim Rawang yang jenis hak milik Geran (GRN) dengan taraf pegangan selama-lamanya dari tahun 2008. Keluasan hak milik ini adalah 6,470 meter persegi dan ketegori kegunaan tanah Perusahaan.Untuk Syarikat Proton serta anak-anak syarikatnya pula, terdapat 21 hak milik tanah sahaja di daerah Petaling.

    Bagi di Mukim Damansara terdapat 12 hak milik tanah Proton dengan taraf pegangan selama-lamanya dari tahun 1992 yang jenis Hak milik Sementara Daftar (HSD). Kategori kegunaan tanah bagi 12 hak milik ini adalah tanah Perusahaan. Jumlah keluasan keseluruhan 12 hak milik ini dianggarkan dari 2.3 ekar sehingga 55 ekar.

    Manakala, di Mukim Sungai Buloh, terdapat 2 hak milik tanah dari anak-anak syarikat Proton. Satu hak milik tanah Proton adalah jenis Geran (GRN) dengan taraf pegangan selama-lamanya dari tahun 2007 dengan keluasan 5,716 meter persegi. Kategori kegunaan tanah untuk hak milik geran ini adalah bangunan. Satu hak milik tanah lagi adalah jenis Pajakan Negeri (PN) dengan taraf pegangan pajakan 99 tahun dari tahun 2005 sehingga tahun 2096 dengan keluasan 15,506 meter persegi. Kategori kegunaan tanah hak milik pajakan negeri ini adalah perusahaan.

    Di Bandar Petaling Jaya, terdapat 1 hak milik tanah dari anak syarikat Proton. Hak milik ini adalah jenis Hak milik Sementara Daftar (HSD) dengan taraf pegangan selama-lamanya dari tahun 2002 dengan keluasan 195.09 meter persegi. Kategori kegunaan tanah untuk hak milik ini adalah bangunan.

    Di Pekan Hicom terdapat 2 hak milik tanah Proton yang jenis Geran (GRN) yang merupakan bersebelahan lot dengan taraf pegangan selama-lamanya dari tahun 1998. Keluasan kedua-dua tanah ini adalah dianggarkan dari 3.6 ekar sehingga 143 ekar. Kategori kegunaan tanah untuk kedua-dua hak milik ini adalah perusahaan.

    Di Bandar Shah Alam, hanya 1 hak milik tanah Proton sahaja yang jenis Hak milik Sementara Daftar (HSD) dengan taraf pegangan pajakan 99 tahun dari tahun 1984 sehingga 2083. Keluasan tanah ini 7385.55 meter persegi yang berkategori perusahaan.

    Di Bandar Glenmarie, terdapat 3 hak milik tanah Proton jenis Geran (GRN) yang merupakan taraf pegangan selama-lamanya dari tahun 2008. Keluasan ketiga-tiga tanah ini adalah dianggarkan dari 1.38 ekar sehingga 3.6 ekar dengan berkategorikan perusahaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.