Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

56) KELULUSAN CADANGAN LEBUH RAYA

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila senaraikan dengan teliti prosedur-prosedur yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam memberikan kelulusan pada projek leburaya bawa Kerajaan Negeri, sebagai contoh PJD Link?

    Kerajaan Negeri melalui Majlis Tindakan Ekonomi Selangor pada 9 Februari 2022 dan telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 6/2022 pada 16 Februari 2022 telah meluluskan penerimapakaian Carta Alir Proses Perancangan Pembangunan Lebuhraya dan Infrastruktur Utama di Negeri Selangor. Berdasarkan carta alir tersebut cadangan pembangunan lebuhraya baharu perlu dibentangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Lebuhraya dan Projek Infrastruktur di dalam Negeri Selangor sebagai tapisan awal sebelum sesuatu cadangan lebuhraya berkenaan dibawa kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) bagi mendapatkan persetujuan awal di peringkat negeri.

    Peringkat seterusnya cadangan lebuhraya baharu yang telah mandapat kelulusan prinsip dari Jemaah Menteri perlu dibawa semula kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) untuk kali kedua bagi mendapatkan kelulusan dasar dan akan disyaratkan untuk penyediaan Environment Impact Assessment (EIA), Social Impact Assessment (SIA) dan Traffic Impact Assessment (TIA).

    Setelah selesai penyediaan dan mendapatkan kelulusan teknikal ke atas EIA, SIA dan TIA, cadangan lebuhraya baharu berkenaan akan dibentangkan semula kepada MTES untuk kali ketiga. Pada peringkat ini MTES akan menilai dan memutuskan kelulusan prinsip kepada lebuhraya baharu berkenaan. Melalui MTES ini juga tatacara pemprosesan permohonan sama ada secara rundingan di bawah Seksyen 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) atau melalui kelulusan kebenaran merancang secara konvensional akan disyaratkan dengan mengambil kira penyelesaian perihal tanah terlebih dahulu.

    Namun begitu satus perancangan, pembangunan dan pelaksanaan cadangan lebuhraya baharu berkenaan akan terus dipantau di bawah Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Lebuhraya dan Projek Infrastruktur di dalam Negeri Selangor secara berkala.

Lampiran

Tiada Lampiran.