Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

163) KELUASAN TANAH RIZAB DI SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah keluasan tanah rizab yang terdapat di negeri Selangor? Perincikan mengikut daerah.

    Untuk makluman Yang Berhormat Permatang, tanah rizab yang terdapat di Negeri Selangor adalah tanah yang telah diwartakan dibawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (Akta 828). Sebagai contoh, tanah rizab boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti rizab kawasan lapang, rizab balai raya, rizab pembentungan, rizab tapak sekolah dan sebagainya.

    Data setiap jenis rizab pula disimpan secara terpisah oleh agensi penyelaras yang berbeza-beza tanpa satu pangkalan data berpusat. Malahan, data sedia ada berkemungkinan besar adalah tidak tepat jika ia tidak selaras dengan semakan pewartaan kawasan rizab tersebut.

    Berdasarkan kepada data Sistem SeLIS (Selangor Land Information System) yang diselaraskan oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), kawasan-kawasan yang direkodkan sebagai tanah rizab yang telah diwartakan dibawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara  sehingga Disember 2021 adalah meliputi keluasan sebanyak 2,464.78 hektar (6,090.618 ekar) di kesemua daerah Negeri Selangor.

  2. Apakah tindakan yang diambil kepada individu yang menyalahgunakan tanah rizab kerajaan ?

    Sekiranya berlaku penyalahgunaan atau pencerobohan tanah rizab kerajaan, tindakan undang-undang boleh dilaksanakan terhadap mana-mana individu atau mana-mana entiti yang telah dikenal pasti yang melakukan percerobohan terhadap mana-mana tanah kerajaan. Secara amnya, tindakan-tindakan penguatkuasaan boleh diambil melalui peruntukan undang-undang yang telah dikuatkuasakan seperti pengenaan denda tidak melebihi RM500,000.00 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 425 atau Seksyen 426 Kanun Tanah Negara (Akta 828).

    Selain itu, agensi penguatkuasaan negeri juga boleh mengambil tindakan kepada individu atau entiti yang menyalahgunakan atau menceroboh tanah rizab kerajaan dengan melaksanakan tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan perundangan yang sedang berkuatkuasa seperti melakukan rampasan terhadap sebarang jentera yang digunakan, mengenakan kompaun terhadap pesalah, atau merobohkan sebarang struktur yang telah dibina.

Lampiran

Tiada Lampiran.