Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
192) KELEWATAN SAMBUNGAN HORAS 600 DAN POND C KE LRA SEMENYIH DAN SSP 1, 2, 3
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sambungan HORAS 600 dan Pond C ke LRA Semenyih dan SSP 1,2,3 patutnya selesai dibina pada Disember 2022 tetapi tarikh siap disemak semula ke pertengahan 2023 dan kini disemak semula sekali lagi ke suku ketiga 2023. Nyatakan sebab kelewatan.
Dalam melaksanakan projek ini, Kerajaan Negeri menggunapakai Syarat-Syarat Kontrak JKR 203A Pindaan 1/2010 – Senarai Kuantiti Menjadi Sebahagian Daripada Kontrak dan di dalam borang tersebut, klausa peruntukan Perakuan Kelambatan Dan Lanjutan Masa (EOT) ialah pada Klausa 43. Antara sebab-sebab yang dibenarkan untuk kelulusan pengeluaran EOT adalah seperti berikut :-
- Force Majeure.
- Keadaan cuaca buruk lebih dari keadaan biasa.
- Penggantungan kerja
- Arahan-arahan Pegawai Penguasa berbangkit dari pertikaian dengan tuanpunya tanah berjiran.
- Pengeluaran Arahan Perubahan Kerja (VO).
- Kelewatan kontraktor menerima arahan, pelan, aras dan penamaan subkontraktor/pembekal dinamakan dalam tempoh masa yang wajar.
- Kelewatan kontraktor menerima tapak bina daripada klien
- Kelewatan dipihak artisan, atau pihak lain yang bukan sebahagian dari kontrak tersebut.
- Kelewatan bahan/barang binaan yang tidak dapat dijangka oleh Kontraktor. dan
- Kelewatan di pihak Subkontraktor/Pembekal Dinamakan (NSC).
Apabila sesuatu projek itu dijangka mengalami kelewatan dan mempunyai alasan diberi Lanjutan Masa, maka Perakuan Kelambatan Dan Lanjutan Masa atau Extension Of Time (EOT) boleh dikeluarkan kepada pihak kontraktor sekiranya ia didapati layak untuk memperolehinya berdasarkan Syarat-Syarat Kontrak.
Dalam pelaksanaan projek ini, antara faktor kelewatan adalah seperti berikut:-
i. kekurangan pekerja asing berikutan dari pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak Mac 2020. Pembekuan kemasukan pekerja asing sejak Covid-19 telah menyumbang kepada kekurangan pekerja di tapak bina yang turut mengakibatkan kenaikan upah buruh yang melampau. Kekurangan pekerja di tapak telah menyebabkan kontraktor tidak dapat menyiapkan kerja mengikut jadual yang telah ditetapkan;
ii. kelewatan di dalam menyerahkan tapak projek kepada kontraktor berikutan dari kejadian banjir pada akhir tahun 2021;
iii. kacau ganggu dari peneroka haram di atas tapak projek;
iv. Kelewatan mendapatkan kelulusan dari Perunding berkenaan Method Statement bagi kerja-kerja pembinaan cofferdam di Kolam B dan Kolam C di Semenyih kerana kelulusan perunding adalah tertakluk kepada persetujuan dan kelulusan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor) memandangkan Kolam B dan Kolam C merupakan kolam sumber air yang digunakan oleh Air Selangor. Mengikut perancangan asal, pembinaan cofferdam ini dijalankan serentak melibatkan Kolam B dan Kolam C, tetapi Air Selangor menetapkan supaya pembinaan dibuat secara berperingkat bagi mengelakkan gangguan kepada kualiti air yang boleh menjejaskan bekalan kepada pengguna; dan
v. Kenaikan harga barang binaan luar jangka akibat pandemik Covid-19 berikutan gangguan rantaian pasaran kesan ketidaktentuan ekonomi global dan ketegangan geopolitik antarabangsa.
Secara keseluruhan, prestasi kemajuan projek setakat 28 Februari 2023 adalah mencapai 40. 80%, projek ini dijangka siap pada akhir tahun 2023.