Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

10) KELESTARIAN BIODIVERSITI DAN SUMBER ASLI DI SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan usaha yang dilakukan bagi meningkatkan kelestarian biodiversiti dan sumber asli di Selangor?

    Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) adalah sentiasa komited untuk  memelihara dan meningkatkan kelestarian biodiversiti dan sumber asli iaitu kawasan yang diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri Selangor. Komitmen utama pada ketika ini adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan keluasan HSK tidak kurang 30% daripada keluasan tanah negeri selaras dengan keputusan keputusan MMKN pada tahun 2008 dan 2014. Malahan, beberapa usaha sedang dilaksanakan bagi menambah keluasan HSK di negeri Selangor dengan mengenalpasti dan mewartakan tanah-tanah kerajaan yang berpotensi untuk dijadikan HSK. Selain itu, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor turut melaksanakan beberapa usaha ke arah melestarikan sumber hutan di negeri sepertimana berikut:

     

    • Melaksanakan Dasar Moratorium Ke Atas Pembalakan selama tempoh 25 tahun melibatkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan Hutan Tanah Kerajaan sejak tahun 2010. Justeru, tiada sebarang aktiviti pembangunan yang boleh dipertimbangkan melainkan ianya telah dikaji dan mempunyai kepentingan awam seperti bekalan elektrik, jalanraya, bekalan air dan sebagainya;

     

    • Menambah baik Seksyen 11 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 pada A23 berdasarkan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2011 dengan memasukkan proviso “semua pengeluaran Hutan Simpanan Kekal perlu melalui Kaedah Penyiasatan Awam seperti yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri”. Di samping itu juga, proses penyahwartaan dan penggantian rizab hutan perlu dilakukan secara serentak dan mengikut panduan Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985;

     

    • Melulus dan mewartakan Kaedah-kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014 di dalam Warta Kerajaan di bawah Kaedah-Kaedah Negeri Selangor dan telah disiar warta pada 30 Januari 2014. Bagi memperkemaskan dan memperkasa Kaedah ini, Kerajaan Negeri juga telah mengambil tindakan yang proaktif dengan meluluskan pindaan Kaedah Penyiasatan Awam dalam MMKN pada tahun 2020. Pindaan yang dibuat adalah melibatkan penambahan bilangan ahli Jawatankuasa Penyiasatan Awam bagi mendapatkan pandangan teknikal yang lebih komprehensif. Untuk makluman, Selangor adalah merupakan negeri pertama dan satu-satunya negeri di Malaysia yang telah menguatkuasakan Kaedah Penyiasatan Awam sebagai syarat di dalam proses penyahwartaan Hutan Simpanan Kekal (HSK);

     

    • Memperoleh dan mengekalkan pensijilan pengurusan hutan di bawah Standard Kriteria dan Petunjuk (Malaysia and Indicators, MC&I) Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management, SFM). Dalam konteks ini, pengurusan hutan yang diamalkan sentiasa diaudit oleh Badan PengauditanAntarabangsa seperti SIRIM QAS Sdn. Bhd. Sehingga kini, sijil pengurusan hutan di bawah Standard MC&I (SFM) ini masih dikekalkan tanpa sebarang penemuan ketidakpatuhan (CARs) selama 10 tahun berturut-turut sejak tahun 2012;

     

    • Menyokong segala dasar dan ketetapan di peringkat persekutuan dan antabangsa antaranya seperti inisiatif Program Penghijauan Malaysia yang telah dilancarkan melalui Kempen Penanaman 100 juta Pokok bagi tempoh tahun 2021 hingga 2025. Pelaksanaan program ini juga telah disambut baik dengan pelancaran Kempen Penanaman 26 juta pokok di negeri Selangor bermula tahun 2022 hingga 2025 sempena tempoh pemerintahan DYMM Sultan Selangor masa kini. Majlis pelancaran kempen ini telah diadakan pada 24 September 2022 yang lalu bertempat di HS Bukit Broga, Semenyih;

     

    • Menyambut baik pelaksanaan Kajian Semula Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) pada masa kini. Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah berjaya menyediakan Rancangan Pengurusan Central Forest Spine (CFS) Negeri Selangor bagi tempoh 2020-2029. Pada masa kini, negeri Selangor terlibat dengan dua koridor Secondary Linkages (SL) sahaja iaitu BSL1: HS Raja Musa – HS Bukit Tarek – HS Gading dan BSL2: HS Sg. Lalang – HS Hulu Langat;

     

    • Memberi sokongan penuh ke atas usaha memperkasa hutan melalui aktiviti-aktiviti penguatkuasaan. Tumpuan utama telah diberikan ke atas kawasan-kawasan penerokaan haram yang berlaku di dalam HSK. Pada tahun 2022, sebanyak 23 kes kesalahan hutan telah direkodkan dan RM109,160.80 kompaun telah dikenakan. Elemen penguatkuasan hutan amat penting dalam mencegah kehilangan hasil negeri yang amat bernilai tinggi. Penguatkuasaan hutan di Selangor merangkumi aktiviti pemantauan hutan di darat, air dan udara. Justeru, ia turut dilaksanakan melalui kerjasama secara bersepadu melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti APMM, PDRM, BOMBA dan lain-lain termasuklah komuniti yang prihatin; dan

     

    • Mempergiatkan program ekopelancongan negeri di antaranya seperti Program Malim Gunung Perhutanan (MGP). Program ini umumnya melatih dan menggalakan penduduk setempat yang mengusahakan aktiviti pendakian hutan gunung di negeri Selangor supaya lebih cekap, tersusun dan selamat. Melalui usaha dan inisiatif ini, jelas menunjukkan komitmen dan keprihatinan yang amat tinggi telah dizahirkan dalam usaha memelihara kelestarian hutan simpanan kekal (HSK) di Selangor. Tanggungjawab dan kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam memastikan segala pelaksanaan usaha dan inisiatif ini memberi impak pencapaian yang cemerlang.

     

    Kepelbagaian biodiversiti dan sumber asli kini amat penting kepada pertumbuhan ekonomi negara. Setiap sumber ini memiliki nilai yang signifikan dan berpotensi untuk dibangunkan. Walau bagaimanapun, ianya perlu diuruskan mengikut prinsip kelestarian dan kemampanan sumber untuk jangka masa panjang. Ketersediaan bekalan mineral untuk jangka masa panjang adalah bertujuan untuk perkembangan pembangunan bandar dan perbandaran.  Di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1), pelbagai inisiatif telah digariskan dalam menguruskan biodiversiti dan sumber asli negeri. Kerajaan Negeri juga sentiasa komited memastikan pengeluaran sumber asli/mineral terutama bahan batuan dan pasir di negeri Selangor mencukupi bagi memenuhi aspek pembangunan negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.