Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
173) KELESTARIAN BANDAR
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah tahap pencapaian Bas Smart Selangor dari sudut menggalakkan penggunaan pengangkutan awam?
Inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan perkhidmatan bas percuma yang dikenali sebagai Bas Smart Selangor di semua kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah salah satu usaha untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan rakyat. Ia juga seiring dengan sasaran Kerajaan Negeri untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian di jalan raya serta kesesakan lalulintas.
Sejak dilancarkan pada 1 Julai 2016 sehingga 30 Jun 2016, sebelas (11) laluan telah diperkenalkan dengan 34 buah Bas Smart Selangor digunakan di sebelas daerah kecuali bagi kawasan Petaling Jaya, pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya telah pun memiliki bas komuniti sendiri iaitu PJ CityBus sebanyak 22 buah bas. Sambutan yang diterima di kalangan rakyat terhadap perkhidmatan ini amat menggalakkan dengan jumlah penumpang terkini adalah sebanyak 1,951,530 penumpang. Tahap pencapaian perkhidmatan ini boleh diukur berdasarkan prestasi peningkatan jumlah penumpang yang jelas menunjukkan bahawa usaha Kerajaan Negeri telah menggalakkan penggunaan bas awam serta meningkatkan imej pengangkutan awam yang lebih baik dan berkualiti.
-
Apakah rancangan dalam setiap PBT untuk mengurangkan emisi karbon?
Kerajaan Negeri Selangor komited di dalam usaha mengurangkan emisi karbon melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2015 – 2018 yang telah diluluskan pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 28/2015 pada 2 September 2015. Melalui Pelan Tindakan ini, terdapat 8 tindakan utama yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerajaan Negeri Selangor termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor iaitu:-
- Perbandaran Hijau Melalui Bandar Rendah Karbon Selangor;
- Perolehan Hijau Kerajaan;
- Pemasangan Rangkaian Pengecas Kenderaan Elektrik (Electric Vehicle) Di Selangor;
- Penggunaan Kereta Elektrik Sebagai Kenderaan Rasmi Kerajaan Negeri Selangor;
- Penggunaan Bas Elektrik Bagi Program ‘Bas Percuma’ Di PBT;
- Pemasangan Bumbung Solar Bagi Projek Perumahan Selangorku;
- Bangunan Cekap Tenaga Di Bangunan Kerajaan Negeri Selangor; dan
- Program Penghijauan Taman Industri.
Kesemua tindakan yang dinyatakan di atas sedang giat dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor dan agensi berkaitan. Sebagai contoh, bagi pelaksanaan Bandar Rendah Karbon Selangor, sehingga kini kesemua 12 PBT sedang giat melaksanakan elemen-elemen Low Carbon City Framework (LCCF) di dalam pelan perancangan dan program-program yang dilaksanakan di peringkat PBT.
Tambahan daripada itu, sehingga 15 Julai 2016, terdapat 35 buah unit pengecas kenderaan elektrik yang telah dipasang sekitar Negeri Selangor hasil daripada usahasama PBT Negeri Selangor dan Greentech Malaysia. Dengan keadaan ini, menjadikan Negeri Selangor sebagai Negeri yang mempunyai bilangan pengecas kenderaan elektrik terbanyak di Malaysia.
Selain itu juga, Kerajaan Negeri Selangor melalui PBT Negeri Selangor turut mengadakan pelbagai program kesedaran kepada masyarakat mengenai amalan-amalan hijau yang boleh dilaksanakan di dalam kehidupan seharian seperti amalan jimat tenaga, kitar semula, penggunaan laluan basikal dan laluan pejalan kaki, kompos, dan kebun komuniti.
-
Apakah perancangan menyediakan laluan tanpa halangan (barrier free) di setiap PBT untuk OKU dan orang kecacatan fizikal?
Pada ucapan bajet tahun 2016, YAB Dato’ Menteri Besar telah menyarankan supaya PBT lebih responsif dalam memberikan keselesaan dan memenuhi keperluan dan kemudahan aksesibiliti OKU seperti ramp, handrail dan tempat letak kereta khas golongan OKU. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan lebih daripada RM 1 juta bagi membina kemudahan asas di PBT Negeri Selangor. Langkah proaktif perlu dimulakan segera dengan mengenalpasti program pembangunan latihan dan pembelajaran termasuk menambah bahan bacaan braille dan audio yang diperlukan. Kemudahan yang disediakan adalah bertujuan memudahkan pergerakan golongan OKU supaya mereka tidak rasa seperti disisihkan oleh masyarakat dan dapat melaksanakan tugas-tugas harian seperti orang lain.
Beberapa PBT telah menyediakan laluan tanpa halangan barrier free untuk OKU dan orang kecacatan fizikal melalui :
- Kemudahan OKU telah disyaratkan di dalam Kebenaran Merancang untuk pelan susun atur contohnya penyediaan tempat letak kereta (TLK) iaitu satu ruang bagi setiap 100 kenderaan untuk 2 unit TLK OKU dan lain-lain keperluan OKU yang lain;
- Kemudahan-kemudahan OKU lain di dalam bangunan dan sekitar bangunan telah disyaratkan di dalam kelulusan Pelan Bangunan; dan
- Elemen-elemen OKU juga telah dimasukkan di dalam Low Carbon Cities Framework and Assessment System (LCCF) sebagai panduan dan keperluan kemudahan OKU yang perlu disediakan oleh pihak pemaju semasa mengemukakan permohonan pelan pembangunan.