Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
16 Mac 2020 - 17 Mac 2020
132) KELEMBAPAN PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA
Tahun: 2020
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah kesan langsung kepada Selangor akibat kelembapan pertumbuhan ekonomi negara yang mencatatkan penurunan 6 suku tahun berturut-turut?
Walaupun berdepan dengan kelembapan pertumbuhan beberapa rakan dagang utama ekoran beberapa faktor termasuk perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, Malaysia adalah antara kumpulan kecil negara di rantau ini yang menikmati pertumbuhan suku kedua yang lebih pantas berbanding suku pertama. Sebagai sebuah negara perdagangan yang kecil, ekonomi Malaysia terdedah kepada keadaan ekonomi dunia. Oleh yang demikian, kebergantungan kepada sektor domestik untuk memacu pertumbuhan ekonomi adalah amat penting.
Negeri Selangor sebagai negeri penyumbang utama Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara tidak terkecuali mendapat tempias daripada kelembapan pertumbuhan di peringkat global dan nasional. Walau bagaimanapun, sumbangan sebanyak 23.7 peratus Selangor kepada Malaysia pada tahun 2018 membuktikan kestabilan ekonomi Selangor melalui pengukuhan aspek tadbir urus dan polisi yang efektif. Pertumbuhan ekonomi Selangor juga mencatatkan peratusan melebihi kadar pertumbuhan nasional iaitu pada kadar 6.8 peratus berbanding 4.7 peratus. Nilai ditambah aktiviti ekonomi memperlihatkan peningkatan kepada RM322.6 bilion berbanding RM301.9 bilion pada 2017.
Prestasi pelaburan di Selangor juga terus mengukuh dibuktikan menerusi kelulusan jumlah pelaburan sebanyak RM18.9 bilion yang membabitkan RM8.1 bilion pelaburan domestik dan RM10.8 bilion pelaburan asing pada tahun 2018 dengan pelabur utama daripada negara seperti Japan, China dan Singapura yang dijangka menjana 26,492 peluang pekerjaan baharu. Yang terkini, Selangor mengekalkan reputasi sebagai negeri pilihan utama pelabur di negara ini apabila merekodkan pelaburan RM16.4 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2019, iaitu dua kali ganda berbanding tempoh masa sama pada tahun 2018 yang hanya mencatatkan sebanyak RM8.3 bilion mengikut statistik dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Kesemua data ini menunjukkan kestabilan yang dikecapi oleh Negeri Selangor hasil dari kecekapan tadbir urus bagi mengatasi ancaman luar yang boleh mengganggu gugat prestasi ekonomi dan kemakmuran negeri. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak akan terleka dan akan terus memacu pembangunan negeri bagi memastikan pertumbuhan pada kadar positif dan memberangsangkan.
-
Nyatakan pelan tindakan Kerajaan Negeri sebagai langkah kesediaan untuk menghadapi kemungkinan yang lebih buruk lagi?
Melihat kepada situasi yang sedang berlaku pada masa kini ditambah dengan penularan Coronavirus yang sedang meruncing, adalah tidak mustahil ekonomi di setiap negara akan mengalami kesukaran. Orang ramai perlu memahami cabaran ekonomi semasa supaya mampu mengambil langkah yang sewajarnya. Perlu juga diingat bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia masih positif tetapi perlahan. Bermakna negara tidak mengalami kemelesetan ekonomi. Berkemungkinan tidak ramai pekerja yang akan kehilangan pekerjaan, tetapi pada masa yang sama tidak banyak pekerjaan baru akan diwujudkan. Kesannya, para pencari pekerjaan baru mungkin akan mengalami kesukaran. Untuk mengatasi isu ini, para graduan digalakkan untuk bekerja sendiri dengan menceburkan diri di dalam aktiviti-aktiviti yang mampu memberi nilai tambah yang tinggi. Antaranya seperti aktiviti pengeluaran pertanian yang berbentuk komersial atau aktiviti-aktiviti hilirannya seperti pemprosesan, pengagihan dan sebagainya.
Di Selangor, pelbagai bantuan disediakan oleh kerajaan untuk membantu bakal usahawan untuk memulakan aktiviti mereka. Pembentukan dan penglibatan usahawan begini bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah kekurangan pekerjaan disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi yang perlahan, malah ianya memberi sumbangan yang lebih bermakna untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri di masa hadapan. Sektor makanan dan minuman menjana RM18 juta nilai pelaburan selain membuka 50,000 peluang pekerjaan di negeri Selangor. Kejayaan ini didorong oleh polisi Kerajaan Negeri yang membuka ruang kepada syarikat pembuatan mengeksport produk itu ke seluruh dunia. Usahawan mikro produk makanan dan minuman memberi impak memacu pertumbuhan ekonomi sehingga sektor tersebut menjadi kluster kelima terpenting di Selangor. Paling membanggakan apabila usahawan industri kecil dan sederhana juga mencatatkan peningkatan setiap tahun.
Golongan peniaga juga disarankan supaya melakukan revolusi perindustrian iaitu perubahan model perniagaan kepada e-dagang bagi mendapat manfaat daripada pertumbuhan KDNK. Model perniagaan e-dagang diguna pakai di seluruh dunia dan aktiviti ini menunjukkan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding tahun lepas. Di Selangor, pembangunan ekonomi digital melalui e-dagang yang dipacu oleh Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) mampu terus ke hadapan memandangkan industri berkenaan menjadi perhatian dunia masa kini. Pembangunan masa hadapan secara berterusan dalam bidang ini boleh menjadi salah satu sumber ekonomi negeri dan rakyat di negeri Selangor. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri akan memastikan setiap pembangunan dan aktiviti bidang ini sentiasa berada di landasan yang betul bagi memastikan ia terus berjaya.