Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

68) KEKURANGAN BEKALAN AIR

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah air bersih terawat dan rizab air dari tahun 2008 hingga 2013 berbanding permintaan?

    Berdasarkan Kajian Semula Sumber Air Negara (2000-2050), dengan keluasan Negeri Selangor sebanyak 8,396 km dan taburan hujan tahunan sebanyak 2,190mm, jumlah air larian permukaan adalah sebanyak 6.38 billion meter padu setahun bersamaan dengan 17,000 juta liter sehari (JLH) setelah mengambil kira jumlah penyejatan dan susupan semula air bumi.

    Di Negeri Selangor, terdapat tujuh (7) empangan utama yang membekalkan air untuk tujuan bekalan air. Sehingga hari ini, kesemua empangan di Negeri Selangor mempunyai kapasiti air untuk dirawat dan masih berada di tahap yang tidak membimbangkan.

    Terdapat  34 Loji Rawatan Air di Negeri Selangor yang beroperasi untuk merawat air terawat bagi dibekalkan kepada SYABAS. Kapasiti reka bentuk 34 loji adalah sebanyak 4,606 JLH. Keupayaan pengeluaran kesemua loji ini adalah sebanyak 4,832 JLH, namun jumlah air terawat yang boleh diagihkan oleh

    SYABAS kepada pengguna adalah berubah-ubah seperti berikut:-

    4371JLH 12 Mac 2012
    4411 JLH 19 Julai 2012
    4436 JLH 01 September 2012
    4546 JLH 22 Januari 2013
    4566 JLH 05 Mac 2013
    4661JLH 01 April 2013

    Manakala, purata jumlah air terawat yang dibilkan kepada pengguna setakat April 2013 adalah sebanyak 3013JLH.

    SYABAS mendakwa bahawa rizab air pada ketika ini adalah di bawah 1% berdasarkan kepada pengiraan pengeluaran purata semasa loji berbanding sebanyak 4700JLH berbanding kapasiti boleh agih sebanyak 4661JLH.

    Mengikut pengiraan Kerajaan Negeri Selangor, berdasarkan kepada keupayaan pengeluaran 34 Loji Rawatan Air sebanyak 4832JLH berbanding 4661 keupayaan boleh agih SYABAS,  rizab air yang ada adalah dianggarkan sebanyak 3.5%.

    Sekiranya dibandingkan kapasiti boleh agih sebanyak 4661 JLH  dengan jumlah purata air yang dibilkan kepada pengguna sebanyak 3013JLH (mengikut rekod pada April 2013), dianggarkan sebanyak 1658JLH atau 35% air terawat hilang sebagai air tidak berhasil (NRW). Justeru itu, sekiranya masalah NRW tidak diatasi. Maka sebanyak mana jua air terawat dari mana-mana sumber yang dimasukkan ke dalam sistem agihan, sebanyak 35% akan hilang sebagai NRW sedangkan kos setiap meter padu air tersebut telah pun dikira dan ditanggung oleh pengguna dalam bentuk tarif.

  2. Apakah langkah segera untuk mengatasi masalah ini?

    Untuk tempoh 20 tahun akan datang, dijangkakan akan berlaku pertambahan penduduk dan pembangunan ekonomi. Pertambahan penduduk serta pertumbuhan ekonomi yang rancak secara langsung akan mendorong kepada permintaan air bersih yang lebih tinggi manakala pembekalan air tidak berubah. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengambil langkah positif untuk memastikan rakyat Selangor sentiasa mendapat bekalan air yang mencukupi.

    Pada ketika ini, semua data berkenaan dengan permintaan dan pembekalan air adalah dipegang oleh SYABAS.  Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan Jawatan Kuasa Pemantauan Air Negeri

    Selangor yang dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bagi tujuan memantau operasi SYABAS supaya bekalan air yang semakin menipis dari segi rizab dapat diagihkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan. Bagi tujuan pemantauan ini, beberapa data diperlukan dari SYABAS, namun SYABAS enggan mengemukakan datadata yang dikehendaki oleh Kerajaan Negeri walaupun surat telah dikeluarkan kepada SYABAS.

    Oleh itu, penyelesaian menyeluruh ke atas semua masalah operasi dan pengurusan industri perkhidmatan air adalah melalui  penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor melalui Model Holistik yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

    Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa bekerjasama dengan operator loji pembersihan air seperti Splash, Abass dan Puncak Niaga serta agensi yang terlibat dan Suruhanjaya Air Negara (SPAN) langkah-langkah mitigasi telah dilakukan seperti berikut:

    • Hanya melepaskan air dari empangan berdasarkan keperluan optimum loji sahaja.
    • Menjalin persefahaman yang mantap bagi semua pihak berkepentingan dalam mengurus sumber air supaya bekalan air bersih tidak terganggu.
    • Memantau paras air di muka sauk bagi memastikan kuantiti air yang dipam adalah mencukupi dan tidak memberi kesan ke atas operasi pam air mentah hingga mengakibatkan kegagalan.
    • Sentiasa memantau dan bertindak sewajarnya sekiranya simpanan air mencapai tahap 50%.
    • Masyarakat umumnya senitasa diminta berjimat cermat terhadap penggunaan air sewaktu musim kemarau.

    Selain itu, LUAS sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap pengurusan air di Negeri Selangor turut mengambil kira beberapa langkah yang perlu di ambil sekiranya berlaku masalah air di Negeri Selangor. Salah satu penyelesaiannya adalah penggunaan sumber air alternatif iaitu menggunakan air permukaan seperti air tasik, lombong dan sebagainya untuk keperluan harian. Sumber air bumi juga merupakan penyelesaian terhadap kekurangan bekalan air di Negeri Selangor. Walaubagaimanapun, sumber air bumi masih belum meluas penggunaannya dan perlu dikomersialkan.

    Beberapa projek sumber air tambahan telah pun dilaksanakan bagi memastikan sumber bekalan air adalah mencukupi, antaranya adalah seperti berikut:-

    1. Loji Rawatan Air Sg Labu / KLIA Alternative Water Supply Scheme Projek ini dioperasikan oleh Konsortium Air Selangor Berhad (KASB) bermula pada 01 Julai 2012 dan boleh mengeluarkan air sebanyak 105 JLH.
    2. Membaik pulih Kapasiti Loji Rawatan Air Sg Selangor Fasa 1 (SSP1)

    Kerja-kerja membaik pulih ini telah siap sepenuhnya pada 31 Mac 2013 dan kapasiti pengeluaran Loji Rawatan Air Sg Selangor Fasa 1 (SSP1) dapat  ditingkatkan pengeluaran dari 760 JLH  kepada 950 JLH, iaitu peningkatan sebanyak 190 JLH.

    • Projek Mitigasi 2

    Untuk menambah baik sistem agihan air bagi membolehkan air terawat diagihkan kepada pengguna.  Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun 2015.

    Antara projek yang sedang dalam perancangan  untuk dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah:-

    • Kajian untuk meningkatkan sumber air mentah (yield) di Sungai Selangor dengan membangunkan Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS) yang mana rancanganini adalah selari dengan cadangan Kerajaan Persekutuan mengenai “Penggunaan Storm Water di hiliran sungai sebagai sumber air terawat”  yang dibentangkan semasa Mesyuarat Majlis Sumber Air Negara;
    • Projek menambah baik sistem pam air bersih ke Kolam Imbangan Bukit Mayong bagi tujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran rumah pam tersebut bagi menampung permintaan bekalan di kawasan Klang;
    • Kajian mengenai keupayaan kapasiti air bawah tanah untuk digunakan sebagai sumber air melalui kaedah River Bank Filteration (RBF);dan
    • Mengaktifkan semula Loji Sungai Damansara (Loji Bukit Jelutong) yang terletak di Pusat bandar Shah Alam.

    Selain dari pelaksanaan projek-projek, SYABAS hendaklah dipastikan dapat mengurangkan kadar NRW.  Di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS, SYABAS menjanjikan penurunan NRW kepada 20%  pada tahun 2011 dengan perbelanjaan sebanyak RM784.1 juta. Namun kadar NRW pada tahun 2011 yang dapat dicapai oleh pihak SYABAS adalah melebihi 32% dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM995.70 juta,  jauh melebihi amaun yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi. (Setakat April 2013, kadar NRW ditunjukkan sebanyak 35%)

    Ini membuktikan bahawa walaupun SYABAS telah diberikan peruntukkan yang jauh melebihi amaun yang dipersetujui dalam Perjanjian Konsesi, namun SYABAS masih gagal untuk menurunkan NRW kepada kadar yang sepatutnya.

    Kegagalan tersebut telah menyebabkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlepas peluang untuk mendapatkan penjimatan kira-kira 663 JLH yang sepatutnya dihasilkan dari penurunan NRW seperti dijanjikan Syabas. Kapasiti  663JLH itu adalah lebih kurang jumlah air yang dikeluarkan oleh Loji Sungai Semenyih yang dianggarkan boleh menampung keperluan 353,000 akaun atau dari bilangan orang, boleh menampung penggunaan untuk seramai 1.2 juta orang.

    1. c) Kelulusan Pelan Pembangunan masih ditangguhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor sehingga persefahaman bersama dapat dicapai dengan Kerajaan Persekutuan mengenai penstrukturan semula Industri Perkhidmatan Air di Negeri Selangor.

    Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan kepada Kerajaan Persekutuan melalui  Kementerian tenaga Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) supaya mempertimbangkan hasrat Kerajaan Negeri Selangor agar Kerajaan Negeri Selangor melalui anak syarikat kepentingannya diberi hak bagi perkara-perkara berikut:-

    1. pembangunan pakej utama projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2) yang melibatkan kerja-kerja pembinaan LRAL 2; dan
    2. pengoperasian dan penyelenggaraan Loji Rawatan Air Langat 2 diberikan kepada Kerajaan Negeri Selangor melalui anak syarikat kepentingannya.

    Hasrat Kerajaan Negeri Selangor di atas adalah berdasarkan kepada perkaraperkara berikut:

    • Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sejumlah 443 ekar tanah milik Kerajaan Negeri daripada 990 ekar keseluruhan tanah untuk pembinaan Skim LRAL 2 tanpa sebarang balasan;
    • Kerajaan Negeri Selangor adalah pihak yang telah menandatangani Perjanjian Jual Beli Air Mentah dengan Kerajaan Negeri Pahang dan segala bayaran harga air mentah kepada Kerajaan Negeri Pahang akan dibayar oleh Kerajaan Negeri Selangor;
    • Lesen Air Mentah akan dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor; dan
    • Terdapat keputusan Jemaah Menteri pada 16/1/2008 yang menyatakan persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk KDEB di lantik sebagai Syarikat Pengendali dan Penyelenggaraan (O & M) LRAL 2 setelah ia siap di bina.

    Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa Projek LRA 2 dan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Selangor hendaklah dibincangkan bersekali supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mencapai persefahaman di dalam memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor.

  3. Apakah status kelulusan perintah pembangunan loji rawatan air Langat Dua

    Sama seperti di SUB(b)

Lampiran

Tiada Lampiran.