Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
183) KEJATUHAN HARGA SAWIT
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah langkah Kerajaan Negeri Selangor untuk menangani masalah kejatuhan harga sawit sekarang?
Kerajaan Negeri amat prihatin berkenaan dengan penurunan secara mendadak harga minyak sawit mentah atau crude oil palm (CPO). Statistik dari MPOB (Malaysia Palm Oil Board) menunjukkan kejatuhan harga secara berterusan sejak Januari 2018 amat membimbangkan khususnya kesan kepada pendapatan pekebun-pekebun kecil.
Harga CPO pada bulan Januari 2018 adalah RM2,468.50 dan harga pada 13 November 2018 pula terus menurun sehingga ke RM1,851.50 iaitu kedudukan harga yang paling rendah pada tahun 2018 dengan peratusan penurunan sebanyak 25%.
Walaupun industri kelapa sawit terletak di bawah pengawasan Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri tetap memberikan perhatian ke atas perkara tersebut. Sebagai langkah awal, agensi-agensi yang berkaitan dengan pembangunan pekebun-pekebun kecil ini seperti Felcra dan RISDA telah dimasukkan sebagai sebahagian daripada Ahli Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani (IAT) di mana melalui penglibatan secara terus agensi tersebut, Kerajaan Negeri akan mendapat lebih banyak maklumat serta mencari kaedah yang paling sesuai untuk membantu golongan pekebun-pekebun kecil kelapa sawit tersebut. Dalam masa yang sama juga, Kerajaan Negeri akan sentiasa mengadakan perbincangan dengan Kementerian-Kementerian di bawah Kerajaan Pusat yang berkaitan dengan pekebun kecil bagi mencari jalan yang lebih komprehensif dan holistik di dalam menangani isu tersebut.
-
Adakah Kerajaan Negeri memperuntukkan inisiatif khusus kepada petani atau pekebun kecil untuk isu kejatuhan harga sawit?
Pada ketika ini, Kerajaan Negeri belum lagi memperuntukkan sebarang insentif kepada pekebun-pekebun kecil kelapa sawit di Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, melalui penglibatan agensi-agensi yang terlibat secara langsung di dalam menjaga kebajikan pekebun ini, Kerajaan Negeri boleh mengenalpasti langkah-langkah awal yang boleh diambil untuk membantu golongan tersebut.
-
Berapakah jumlah peruntukan yang diperuntukkan jika ada? Nyatakan.
Kerajaan Negeri tiada memperuntukkan sebarang insentif pada ketika ini. Walau bagaimanapapun Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi yang berkaitan tentang perkara tersebut bagi mencari jalan penyelesaian yang lebih holistik di dalam menangani isu tersebut.