Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
19) KEJADIAN TANAH RUNTUH
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Ismail Bin Sani
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Tragedi tanah runtuh di Hulu Langat telah mengorbankan 16 orang yang sebahagian besarnya dari kalangan anak-anak yatim. Bagaimanakah kejadian ini berlaku menurut pandangan kerajaan negeri dan PBT?
Setiap pembangunan di lereng bukit perlu mendapat kelulusan PBT atau Jawatankuasa Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) agar permohonan dapat disemak dan diberi ulasan berkaitan untuk keselamatan. Sekiranya pembangunan tidak dikemukakan permohonan kepada PBT, agar sukar untuk PBT memantau seluruh kawasan bercerun di kawasan mereka kerana tidak berada dalam kawasan operasi PBT. Bangunan yang didirikan tidak direkabentuk oleh pihak jawatankuasa perunding yang bertauliah yang boleh dipertanggungjawabkan jika berlaku kecacatan atau kelalaian.
-
Adakah telah berlaku elemen kelemahan polisi PBT atau kecuaian manusia?
Polisi dan undang-undang PBT telah sedia ada menuntut agar setiap cadangan pembangunan mengemukakan permohonan namun gagal dipatuhi oleh penduduk terutama yang melibat rumah persendirian di kawasan kampung. Faktor kesedaran masyarakat tentang bahaya tanah runtuh masih kurang dan lemah.
-
Apakah strategi atau mekanisme yang boleh diambil kerajaan negeri untuk mengelakkan tragedi daripada berulang?
Kejadian berlaku boleh dielakkan sekiranya pembangunan keseluruhan di daerah dikemukakan dengan pelan kelulusan kepada PBT. Jawatankuasa teknikal di peringkat OSC dapat menilai dan memperakukan sama ada sesuatu pembangunan itu selamat untuk dibangunkan. Dengan mengambil contoh kejadian tanah runtuh di Hulu Langat ini, bangunan yang didirikan terlalu hampir dengan kaki bukit.
Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko perlu membuat aduan untuk memaklumkan kepada PBT bagi tujuan membuat pemeriksaan di kawasan cerun sekitar tempat tinggal mereka. PBT boleh memberi cadangan bagi tindakan yang perlu diambil untuk mengurangkan risiko tanah runtuh.
Di pihak PBT pula, PBT perlu mengenal pasti kawasan berisiko di kawasan pentadbiran mereka. Pembaikan dan pemantauan berkala perlu dibuat. Kerajaan Negeri pula perlu membantu dari segi kewangan kepada PBT untuk melaksanakan penstabilan cerun berisiko. Unit Khas di Kerajaan Negeri perlu diwujudkan untuk memantau setiap PBT untuk memastikan setiap PBT telah melaksanakan kerja-kerja pemantauan cerun di kawasan mereka masingmasing. Mereka boleh bertindak sebagai urusetia bagi pihak Kerajaan Negeri.