Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 November hingga 23 November 2012 dan 26 November hingga 30 November 2012

18) KEGIATAN PENCEROBOHAN TANAH SECARA HARAM

Tahun: 2012

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila huraikan sehingga setakat ini berapakah jumlah kes-kes pencerobohan tanah secara haram yang telah dikenal pasti oleh pihak Kerajaan mengikut susunan daerah?

    Sebanyak 804 kes pencerobohan tanah secara haram telah dikenal pasti oleh pihak Kerajaan dan pecahannya mengikut daerah adalah seperti berikut :-

          BILANGAN KES
    BIL   DAERAH
    PENCEROBOHAN
         
    1 Hulu Selangor 23
    2 Hulu Langat 54
    3 Kuala Selangor 18
    4 Petaling 45
    5 Sepang 312
    6 Kuala Langat 69
    7 Gombak 166
    8 Sabak Bernam 32
    9 Klang 85
    JUMLAH   804
  2. Sila nyatakan apakah punca utama yang menyebabkan fenomena sedemikian sukar dibendung?

    Secara umumnya, punca utama yang menyebabkan kes-kes pencerobohan tanah secara haram sukar dibendung adalah kerana kelemahan pemantauan dan pengawasan daripada pihak yang bertanggungjawab untuk menjaga dan mengawal selia tanah-tanah kerajaan.

    Akibat dari kelemahan ini, ada pihak-pihak yang mengambil kesempatan dengan membina rumah atau menjalankan aktiviti pertanian dan ada juga yang membina bengkel atau kilang secara haram di atas tanah kerajaan.

    Kekangan yang dihadapi oleh pasukan penguatkuasaan di setiap daerah dan PBT khususnya dalam usaha membanteras kegiatan pencerobohan tanah adalah seperti berikut:

    i) Kekurangan Anggota Penguat kuasa

    Bagi mengawal dan memantau tanah-tanah kerajaan, anggota penguatkuasa hendaklah sentiasa menjalankan aktiviti rondaan dan pemeriksaan. Memandangkan bilangan anggota penguatkuasa adalah terhad terutama di pejabat-pejabat tanah, penceroboh sering mengambil kesempatan menjalankan aktiviti pencerobohan tanah kerajaan pada luar waktu pejabat, di kawasan pinggiran bandar, di kawasan antara sempadan mukim dan daerah dan di atas tanah-tanah yang tersepit di antara kawasan projek pembangunan yang sukar untuk dipantau oleh anggota penguatkuasa sepanjang masa.

    ii)   Tugas Sukar dan Mencabar

    Terdapat sebahagian dari para pegawai yang dipertanggungjawabkan terhadap tugas tersebut merasakan ianya terlalu sukar serta mencabar dan mereka perlu menanggung segala risiko yang bakal dihadapi. Ini kerana para penceroboh tersebut dikategorikan sebagai penjenayah kerana telah melanggar peruntukan dan undang-undang yang telah dibuat. Tambahan pula terdapat kes di mana pihak pegawai telah diancam oleh pihak penceroboh. Perkara ini menyebabkan mereka tidak berani untuk melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan dan lebih memberi tumpuan kepada tugas-tugas lain seperti menyediakan laporan tanah untuk pembangunan. Bagi membendung aktiviti pencerobohan tanah dengan efisien, bilangan anggota penguatkuasa perlulah sesuai selaras tugas yang dilaksanakan.

     iii) Memerlukan Tumpuan Sepenuhnya

    Memandangkan tugas yang dipikul agak berat, maka ianya memerlukan tumpuan yang sepenuhnya serta hendaklah mempunyai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman. Oleh kerana pendakwaan di atas kes pencerobohan memerlukan  kemahiran dan pengalaman dari aspek teknikal dan undang-undang bagi mendakwa penceroboh maka tumpuan yang sepenuhnya terhadap tugas tersebut tidak dapat dijalankan. Ini dapat dibuktikan kerana tidak banyak kes yang melibatkan pencerobohan tanah dibawa ke mahkamah untuk tujuan pendakwaan, sedangkan kita tahu bahawa kes pencerobohan tanah ini semakin menjadi-jadi sekarang ini.

     iv)  Menghadapi Halangan Daripada Pihak-Pihak Tertentu

    Terdapat juga beberapa halangan daripada pihak-pihak tertentu bagi anggota penguatkuasa melaksanakan tugas mereka. Halangan atau masalah-masalah tersebut adalah seperti mendapat arahan daripada ahli-ahli politik agar tindakan terhadap pencerobohan tersebut ditangguhkan atau penguatkuasaan tersebut dibatalkan sahaja. Halangan dari pihak penceroboh pula ialah kebanyakan dari mereka akan bertindak kasar dan menghalang pihak petugas dari menjalankan tugas mereka dan ini menyebabkan pihak yang bertugas ada kalanya terpaksa bertindak lebih tegas bagi menangani masalah ini. Apabila keadaan ini berlaku maka orang ramai yang salah faham atau tidak tahu tujuan sebenar tindakan penguatkuasaan tersebut akan mencemuh pegawai dan anggota penguatkuasa kerana sikap mereka yang seolah-olah tiada belas kasihan. Laporan media yang sepatutnya memainkan peranan penting dalam membantu pihak pentadbiran tanah dalam menangani masalah ini sering kali membuat liputan yang tidak tepat sehingga menimbulkan salah tafsiran masyarakat.

  3. Sila nyatakan apakah kekangan yang dihadapi oleh pasukan penguatkuasa di setiap daerah dan PBT khususnya dalam usaha membanteras kegiatan pencerobohan tanah secara haram?

Lampiran

Tiada Lampiran.