Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

65) KEGAWATAN EKONOMI DUNIA MAKIN PULIH

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah terjejasnya ekonomi negeri Selangor semasa dunia mengalami kemerosotan ekonomi?

    Krisis kelembapan ekonomi dunia berlaku ekoran kesan negatif daripada krisis gadai janji subprima Amerika Syarikat yang memberi kesan terhadap institusi kewangan terkemuka seperti Bear Stearns, Lehman Brothers, Royal Bank of Scotland dan beberapa institusi kewangan lain.

     

    Penyumbang utama pembangunan ekonomi Negeri Selangor adalah melalui sektor perindustrian. Sektor ini sangat bergantung kepada permintaan untuk eksport ke negeri maju seperi Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun. Pengurangan permintaan dari negaranegara ini mengakibatkan penguncupan ekonomi bagi Selangor. Keadaan ini menyebabkan penutupan kilang, pemberhentian pekerja dan peningkatan pengangguran. Namun demikian, Kerajaan Negeri sentiasa memantau keadaan ekonomi negeri Selangor dan mencari alternatif terbaik bagi mengurangkan impak krisis ekonomi ini kepada rakyat negeri Selangor.

     

  2. Apakah sektor yang paling teruk terjejas?

    1. Melalui data daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor, jumlah pemberhentian pekerja daripada 1 Oktober 2008 hingga 25 Jun 2009 adalah seramai 4,286 orang. Sektor perindustrian adalah yang paling terjejas dengan rekod pemberhentian pekerja iaitu seramai 2,162 orang diikuti oleh Sektor Perkhidmatan seramai 1,486 orang. Berikut adalah statistik pemberhentian pekerja mengikut sektor :

     

    Pemberhentian Pekerja Di Negeri Selangor Mengikut Sektor Ekonomi

     

    BIL SEKTOR JUMLAH
    1. SEKTOR UTAMA

    Pertanian, Pemburuan dan Perhutanan

    5
      Perlombongan dan Kuari 46
      Jumlah Sektor Utama 51
    2. SEKTOR PERINDUSTRIAN Pembuatan 1933
      Pembinaan 229
      Jumlah Sektor Perindustrian 2,162
    3. SEKTOR PERKHIDMATAN

    Bekalan Elektrik, Gas dan Bekalan Air

    Perdagangan Borong dan Runcit, Kenderaan Bermotor,

    Motosikal, Barangan Persendirian, Isi Rumah Hotel dan Restoran

    Pengangkutan, Penyimpanan dan Komunikasi

    Kewangan

    42

    425

    36

    200

    15

      Aktiviti Hartanah, Penyewaan dan Perniagaan 768
      Jumlah Perkhidmatan 1,486
    4. PERKHIDMATAN LAIN

    Pentadbiran dan Pertahanan Awam, Keselamatan dan Sosial

    Wajib

    Pendidikan

    Kesihatan dan Kerja Sosial

    100

    1

    3

      Aktiviti Perkhidmatan Komuniti, Sosial dan Persendirian Lain 483
      Jumlah Perkhidmatan Lain 587
      JUMLAH 4,286

    Sumber: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor

     

  3. Sejauh manakah langkah-langkah yang diambil bagi mengekang kemerosotan ekonomi negeri Selangor dalam masa kegawatan tersebut?

    1. Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan Pakej Merangsang Ekonomi melalui dua(2) program utama. Yang pertama adalah sebaik sahaja Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. Program tersebut adalah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) iaitu:

     

    • Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS);

     

    • Bekalan Air Percuma Bagi 20 Meter Padu (m³);

     

    • Hadiah Anak Masuk Universiti;

     

    • Skim Mesra Usia Emas;

     

    • Program Peningkatan Pendapatan Hasil Daripada Bahan Batuan Dan Mineral;

     

    • Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC);

     

    • Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang; dan

     

    • Kemudahan-kemudahan Cuti

     

    Pakej yang kedua adalah bagi membantu menghadapi isu kegawatan ekonomi yang melanda seluruh dunia, Kerajaan Negeri Selangor dengan menyediakan Program Pakej Kedua Rangsangan  Ekonomi Negeri Selangor dengan menyediakan peruntukan RM50 bilion dalam bentuk Private Finance Initiative (PFI). Melalui pakej ini, lima(5) bidang utama telah digariskan bagi mencipta pemangkin pembangunan ekonomi negeri Selangor untuk jangka pendek dan jangka panjang. Lima (5) bidang tersebut ialah:

     

    • Pemulihan dan pembersihan sungai Klang yang melibatkan pembangunan kawasan perumahan di sepanjang sungai dan tanah rizab;

     

    • Perluasan sistem pengangkutan bagi seluruh negeri Selangor termasuk perluasan Sistem Transit Aliran Ringan (STAR);

     

    • Usaha menaik taraf dan menggantikan aset air berikutan pengambilalihan aset air Selangor oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB);

     

    • Pembaharuan aktiviti di bandar iaitu menumpukan usaha terhadap pembangunan semula kawasan terbiar di Petaling Jaya dan Klang; dan

     

    • Pembangunan semula projek-projek perumahan yang terbengkalai.

     

    Melalui lima (5) bidang ini dijangkakan mampu menyediakan lebih 150 ribu peluang pekerjaan dan program ini dilihat mampu menangani masalah pemberhentian pekerja dari sektor perindustrian.

    Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui strategi bajet telah menumpukan pembangunan ekonomi negeri Selangor secara menyeluruh dalam menghadapi kelembapan ekonomi tahun 2009. Strategi bajet yang telah disediakan adalah seperti berikut:

     

    • Mempertingkatkan Hasil Pendapatan Negeri

     

    Kerajaan Negeri akan terus mempertingkatkan hasil pendapatan negeri melalui pelbagai inisiatif antaranya peningkatan royalti bahan batuan, pembangunan sungai sebagai punca pendapatan, meningkatkan kecekapan kutipan cukai dan mempromosikan produk pelancongan Selangor.

     

    • Memperkasa Modal Insan

     

    Pembangunan modal insan menjadi agenda utama kerajaan negeri dalam menyediakan insan yang kamil dan berkualiti melalui inisiatif keseimbangan pembangunan insan, peningkatan kualiti perkhidmatan awam, peningkatan kualiti dan akses kepada pendidikan, memperkasa sektor pendidikan tinggi dan memperkasa peranan belia, wanita serta keluarga dalam masyarakat.

     

    • Mengurus Perbelanjaan Yang Cekap

     

    Sebagai usaha untuk mengurangi perbelanjaan, Kerajaan Negeri melaksanakan budaya perbelanjaan berhemat dengan memastikan semua perbelanjaan dibuat secara lebih berhati-hati berdasarkan  inisiatif value for money dan tiada pembaziran.

     

    • Memantapkan pembangunan negeri Selangor

     

    Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk memantapkan pembangunan negeri Selangor secara menyeluruh dan seimbang meliputi inisiatif dari pembangunan peningkatan kualiti hidup rakyat, pengurusan perbandaran, pembangunan sosioekonomi, infrastruktur, pembangunan agama Islam sehinggalah pengurusan alam sekitar.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.