Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009
35) KEGAWATAN EKONOMI
Tahun: 2009
Sesi: 3
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Dato' Subahan Bin Kamal
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah status ekonomi Negeri Selangor sehingga kini dan adakah Selangor sudah keluar dari kemelut masalah ekonomi yang melanda?
Status ekonomi Negeri Selangor telah mula memperlihatkan tanda-tanda kecil
pemulihan pada suku kedua 2009 sehaluan dengan persekitaran ekonomi
negara dan dunia dengan anggaran pertumbuhan KDNK bagi tahun 2009 adalah
-3.8%. Berlandaskan kepada tahap rendah beberapa indikator ekonomi makro,
keyakinan peniaga dan pengguna yang masih kurang teguh, nilai KDNK negeri
pada harga malar tahun 2000 pada suku kedua tahun ini menyusut kepada
RM114.3 bilion berbanding RM118.9 bilion pada tahun 2008. Walau
bagaimanapun, adalah dijangkakan bahawa KDNK negeri pada tahun 2010 akan
meningkat kepada RM116.8 bilion dengan kadar pertumbuhan 4.2% hasil
sumbangan daripada sektor perkhidmatan yang dijangka akan menerajui
ekonomi negeri Selangor. Pendapatan per kapita rakyat (harga semasa) bagi
tahun 2009 menyusut kepada RM29,778 berbanding RM32,772 pada tahun
2008. Namun begitu, ia diramal akan meningkat kepada RM30,479 pada tahun
2010. Ini membawa kepada taraf hidup yang lebih tinggi dengan pendapatan per
kapita dalam ukuran pariti kuasa beli dianggarkan meningkat 2.6% ke
USD16,286 (2009 : USD15,878). Kerajaan negeri berharap agar pemulihan
ekonomi negara dapat dipercepatkan sekali gus membolehkan prestasi ekonomi
negeri Selangor pulih kembali dan digunakan di dalam rancangan pembangunan
yang memanfaatkan seluruh rakyat. -
Apakah kesan kegawatan ekonomi ke atas sektor perindustrian dan perdagangan?
Sektor perindustrian adalah merupakan penyumbang utama kepada
pertumbuhan dan kerancakan ekonomi Negeri Selangor serta nadi utama
pertumbuhan ekonomi negara. Namun begitu, bagi tahun 2009 ini, nilai
tambah sektor perindustrian yang dianggarkan menyumbang sebanyak
37.7% kepada KDNK negeri telah mengalami penguncupan nilai tambah
sebanyak 9.7% yang diakibatkan oleh kemerosotan nilai tambah sektor
pembuatan. Impak krisis ekonomi global telah mengakibatkan permintaan
luar terhadap bahan pengeluaran industri negara menurun sekali gus
menyebabkan beberapa syarikat antarabangsa dan domestik
memberhentikan operasi. Menurut analisa daripada Malaysian Institute of
Economic Research (MIER), sektor perindustrian negara telah mula
mengalami kemerosotan pada tahun 2008 dan pada tahun 2009
pertumbuhan sektor ini dianggarkan menguncup sebanyak -10% iaitu
paling terjejas di antara sektor ekonomi lain.
Sektor perdagangan pula dianggarkan akan menyumbang sebanyak
61.4% kepada KDNK negeri sekali gus menggantikan peranan sektor
perindustrian yang selama ini telah menjadi penyumbang utama di dalam
KDNK negeri Selangor. Dari sudut pengeluaran ekonomi, sektor
perkhidmatan dijangka tumbuh positif bagi keseluruhan tahun 2009.
Pertumbuhan sektor ini dianggar akan terhasil daripada prestasi
sederhana subsektor komunikasi, kewangan dan insurans serta
penginapan dan restoran. Berdasarkan analisis MIER juga, sektor
perdagangan negara adalah merupakan sektor yang paling kurang
terjejas akibat krisis ekonomi global dan mencatat pertumbuhan
sebanyak 6% pada tahun 2008, menurun kepada 3% pada tahun 2009
dan dijangka akan berkembang kepada 5% pertumbuhan pada tahun
2010.