Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

1) KEGANASAN RUMAHTANGGA SEMASA PKP

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan di Negeri Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan?

    Berdasarkan statistik, bilangan kes keganasan rumah tangga yang telah dilaporkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sebanyak 90 kes. Statistik kes mengikut pecahan Dewan Undangan Negeri adalah seperti dalam jadual berikut:

  2. Apa bantuan dan sokongan telah diberi kepada mangsa-mangsa oleh Kerajaan Negeri?

    Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor sentiasa prihatin terhadap kebajikan mangsa keganasan rumah tangga. Di antara tindakan-tindakan yang diambil bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor adalah seperti berikut:-

    1. membantu mangsa keganasan rumah tangga bagi memfailkan permohonan Perintah Perlindungan Interim di mahkamah;
    2. mengadakan dan mengatur pengangkutan bagi mangsa ke kediaman alternatif/ tempat selamat/ tempat berlindung sekiranya mangsa memerlukan;
    3. mengadakan dan menguruskan pengangkutan bagi mangsa ke hospital/ tempat kemudahan perubatan yang terdekat bagi rawatan kecederaan sekiranya diperlukan;
    4. memberi penerangan dan advokasi kepada mangsa tentang hak untuk mendapatkan perlindungan terhadap keganasan rumah tangga;
    5. menemani mangsa ke kediamannya untuk mengambil barang-barang kepunyaannya;
    6. memberi sokongan bantuan kewangan menerusi Tabung Bantuan Segera (TBS) atau mana-mana skim  bantuan kewangan bulanan kendalian JKM sekiranya mangsa layak dan memerlukan; dan
    7. menyediakan khidmat kaunseling dan sokongan kepada mangsa yang memerlukan.
  3. Apa yang boleh dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk mengelak kes keganasan rumah tangga berulang lagi?

    Kerajaan Negeri berpendapat, isu keganasan rumah tangga ini memerlukan penggemblengan tenaga dan kerjasama daripada semua pihak bagi memastikan ianya dapat dibendung. Selain daripada tindakan penguatkuasaan undang-undang yang dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kerajaan Negeri telah menjalin kerjasama erat dengan Pertubuhan Sukarela Kebajikan (NGO) yang bergiat aktif dalam membantu mangsa keganasan rumah tangga seperti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dengan melaksanakan program kesedaran awam terhadap mangsa keganasan rumah tangga dan juga membantu pihak Kerajaan Negeri mewujudkan Komuniti Selamat di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.