Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
45) KEGANASAN RUMAH TANGGA WANITA DAN KANAK-KANAK
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan bilangan kes keganasan rumahtangga terhadap wanita dan kanak-kanak mengikut daerah.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), bilangan kes keganasan rumah tangga secara keseluruhannya ialah sebanyak 1300 kes. Pecahan kes keganasan terhadap wanita ialah sebanyak 871 kes, lelaki sebanyak 286 kes, manakala kanak-kanak sejumlah 143 kes. Perician kes keganasan rumahtangga mengikut daerah adalah seperti di Lampiran 1.
-
Apakah rancangan kerajaan bagi tahun 2025 untuk meningkatkan kesedaran awam tentang keganasan rumahtangga?
Kerajaan Negeri melalui Wanita Berdaya Selangor dalam perancangan untuk memperluas program kesedaran awam tentang keganasan rumah tangga menerusi pelaksanaan Kempen Menentang Keganasan Berasaskan Gender (Gender Based Violence) tahun 2025. Pada tahun 2024 dan sebelumnya, program kempen kesedaran dijalankan selama 16 hari iaitu pada 25 November hingga 10 Disember bersempena Sambutan 16 Hari Menentang Keganasan. Bermula tahun 2025, kempen akan bermula seawal bulan April sehingga ke penghujung tahun 2025.
Kempen ini akan dilaksanakan dalam format Siri Jelajah ke lima (5) daerah mewakili zon seluruh Selangor dengan kerjasama strategik semua pemegang taruh seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), One Stop Crisis Centre (OSCC), Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan semua pemimpin komuniti serta petugas kaunter hadapan. Kolaborasi strategik secara menyeluruh ini akan digerakkan secara agresif bagi memastikan tidak ada penerima manfaat yang ketinggalan. Antara pengisian yang dirancang dalam siri jelajah ini adalah sesi ceramah penerangan, kaunter khidmat guaman secara bergerak, siri latihan (TOT) bersama petugas kaunter hadapan serta persembahan kreatif bagi meningkatkan kesedaran awam.
Bagi memastikan kempen ini dapat dijalankan secara menyeluruh, kempen atas talian juga akan turut dipergiatkan. Beberapa orang juru cakap atau pempengaruh akan dilantik dalam menyampaikan mesej-mesej penting berkenaan isu keganasan rumah tangga. Di samping itu, penerbitan Dokumen Panduan Rujukan Kes Keganasan Berasaskan Gender Negeri Selangor yang akan dihasilkan kelak, turut diharap dapat meningkatkan kesedaran awam berkenaan isu ini.
-
Adakah kajian dibuat terhadap keberkesanan program kesedaran keganasan yang dilaksanakan oleh WBS?
Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memberi komitmen dalam usaha membasmi isu-isu keganasan berasaskan gender. Antaranya, pelaksanaan Kempen 16 Hari Menentang Keganasan Berasaskan Gender di mana sambutan ini diadakan setiap tahun di peringkat antarabangsa bermula 25 November sehingga 10 Disember dan pihak Wanita Berdaya Selangor tidak ketinggalan melaksanakannya sepnjang tiga tahun berturut-turut bermula tahun 2022.
Melalui maklumbalas yang diterima daripada semua pihak berkepentingan terhadap pelaksanaan kempen ini, pihak Kerajaan Negeri telah mengenal pasti aspek yang perlu ditambah baik antaranya:
- Tempoh kempen perlu diperluas bagi memastikan semua pihak berkepentingan dapat dilibatkan secara maksimum;
- Penglibatan jabatan dan agensi yang lebih menyeluruh di semua peringkat pentadbiran awam, badan korporat, hospital dan institusi pendidikan;
- Kursus Latihan (TOT) perlu dilaksanakan kepada petugas kaunter hadapan (front desk) bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam mengendalikan sebarang aduan/ kes yang diterima; dan
- Kempen media massa dan media sosial perlu digerakkan dengan lebih agresif dengan kerjasama strategik pihak bersama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Badan Bukan Kerajaan.
Bagi menambahbaik aspek penilaian keberkesanan kempen ini, pihak Wanita Berdaya Selangor melalui Jabatan Strategi dan Dasar akan membangunkan ujian penilaian kefahaman peserta menggunakan kaedah Pre & Post Assessment untuk melihat tahap kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai kempen-kempen yang dilaksanakan sekaligus dapat membantu untuk manambaik pengisian kempen.