Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

14) KEGANASAN RUMAH TANGGA

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah kes keganasan rumah tangga yang dicatatkan Di Negeri Selangor sejak 2018 sehingga kini?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan 222.
    Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Melawati, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor, jumlah kes keganasan rumah tangga yang telah dilaporkan di Negeri Selangor mulai 2018 sehingga Oktober 2021 mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak 4,978 kes dengan perincian mengikut tahun seperti berikut :

     

    Bil Tahun Jumlah Kes
    1. 2018 951
    2. 2019 1,159
    3. 2020 1,349
    4. Januari – Oktober 2021 1,519
    Jumlah 4,978

    Sumber : PDRM Kontinjen Selangor

  2. Apakah langkah yang di oleh Kerajaan Negeri bagi menggurangkan kes keganasan rumah tangga dalam kalangan masyarakat?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan 222 (b). Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan menyediakan Talian SELamat sebagai talian khas untuk masyarakat membuat aduan tentang keganasan rumah tangga yang berlaku khususnya di Negeri Selangor. Inisiatif ini adalah sebagaimana terkandung di dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang telah diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor pada bulan Jun 2021 yang lalu.

     

    Talian SELamat  telah mula beroperasi pada 1 November 2021, selama 24 jam menerusi talian 03-64195027 di bawah kendalian Wanita Berdaya Selangor (WBS). Pada masa yang sama, WBS turut berkongsi maklumat dan informasi mengenai Talian SELamat  di laman sosial WBS (Facebook dan Instagram), Pusat Wanita Berdaya (PWB) di 56 kawasan DUN serta di pejabat rakan usahama sebagai langkah untuk menyebarkan kesedaran dan advokasi berkenaan Keganasan Rumah Tangga (KRT).

     

    Selain itu, WBS akan mengadakan Kempen 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender bermula 25 November hingga 10 Disember sebagai langkah advokasi kepada masyarakat. Sebahagian daripada kandungan kempen tersebut adalah perasmian Talian SELamat yang telah dirasmikan pada                             22 November 2021 di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

    Sepanjang 16 hari tersebut, WBS merancang untuk melaksanakan empat (4) siri webinar KRT, bengkel latihan pengendalian KRT, edaran kit KRT serta program-program di 56 DUN dengan usahasama bersama Penyelia-penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB). Program-program kesedaran KRT turut diperluaskan melalui tugas dan kerja lapangan bagi pelajar dan aktivis di Akademi Kepimpinan Wanita (AKW).

     

    WBS juga turut mengadakan Perbincangan Meja Bulat bersama Ahli Jawatankuasa KRT Negeri Selangor bagi bersama-sama merancang serta membincangkan Pelan Tindakan jangka masa pendek dan panjang untuk mengurangkan kes KRT di Negeri Selangor. Hasil perbincangan tersebut, sebuah
    Pelan Tindakan KRT Negeri Selangor Tahun 2022 telah berjaya dimuktamadkan dengan empat (4) keutamaan iaitu:

     

    1. Pencegahan dan intervensi awal;
    2. Pendayaupayaan pemandiri;
    3. Responsif terhadap ahli keluarga pemandiri; dan
    4. Pelaku bertanggungjawab merentasi sistem.

     

    Pada Tahun 2020, menerusi sebuah projek perintis ‘Komuniti Selamat Bersepadu’, Kerajaan Negeri telah membiayai mangsa KRT menerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan jumlah perbelaanjaan sebanyak RM46,436.50 bagi kos rawatan perubatan, tempat perlindungan, makanan dan telefon.

  3. Sejauh manakah keberkesanan Talian Selamat dalam hal ini?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan 222 (a) dan soalan 222 (b). Setelah beroperasi selama lebih tiga (3) minggu bermula 1 November sehingga 24 November 2021, Talian SELamat telah menerima empat belas (14) panggilan di mana tujuh (7) daripadanya iaitu bersamaan 50 peratus adalah berkaitan isu KRT seperti jadual berikut :

     

    Bil. Kategori Jumlah
    1. Psikologi 3
    2. Fizikal 3
    3. Ekonomi 1
    Jumlah 7

     

     

    Kesemua kes yang diterima adalah bukan kecemasan dan tujuan panggilan adalah untuk mendapatkan khidmat kaunseling bagi membantu mereka dari segi pengurusan emosi. Talian SELamat memberikan pilihan kepada pemanggil untuk mendapatkan sesi kaunseling atau intervensi selanjutnya di Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta kaunselor Talian Sahabat di bawah Pusat Kaunseling Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang mempunyai kaunselor bertauliah secara bersemuka atau di atas talian.

    Berdasarkan maklum balas selama tiga (3) minggu ini, Talian SELamat telah membantu pemandiri dan pemanggil dengan menjadi rujukan pertama kepada masalah KRT yang berlaku kepada mereka, ahli keluarga atau jiran dan diharapkan melalui talian ini, Kerajaan Negeri dapat membantu lebih ramai lagi rakyat Selangor untuk mendapatkan bantuan, sekaligus dapat mengurangkan kadar kes KRT di Selangor.

     

    Bagi mengukuhkan pemahaman mengenai proses pengurusan KRT, WBS turut memberikan dan merangka latihan kepada kesemua staf dalaman dan sukarelawan yang terlibat dalam Talian SELamat. WBS turut merancang untuk memanjangkan siri latihan ini kepada pemimpin akar umbi seperti Penyelia PWB. Latihan ini akan diberikan oleh rakan usahasama seperti JKM Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi One Stop Crisis Centre (OSCC), Pusat Kaunseling Selangor Talian Sahabat (Talian Sahabat) serta latihan Sistem Pengurusan Perhubungan Pelanggan (CRM)  bagi memastikan keberkesanan di peringkat pelaksanaan operasi serta manfaat diterima sebaiknya di peringkat pemanggil atau pemandiri.

Lampiran

Tiada Lampiran.