Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

74) KEDUDUKAN MENARA TINJAU DI BUKIT AMPANG HULU LANGAT

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Razaly Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan sedar lokasi menara tinjau itu mempunyai potensi tinggi untuk menarik pengunjung atau pelancong?

    Ya, Kerajaan Negeri Selangor menyedari bahawa lokasi menara tinjau “Ampang Out Point” (ALOP) mempunyai potensi tinggi untuk menarik ramai pengunjung atau pelancong sebagai sebagai salah satu kawasan tarikan berasaskan kepada ekopelancongan. ALOP telah ditubuhkan pada tahun 2001 sebagai salah satu destinasi pelancongan negeri Selangor disebabkan lokasinya terletak di puncak bukit yang membolehkan pengunjung melihat pemandangan hampir keseluruhan bandaraya Kuala Lumpur.

    ALOP merupakan salah satu kawasan Hutan Dipterokarpa Tanah Pamah dengan ketinggian topografi 260 meter dari paras laut yang mudah sampai yang terdapat di negeri Selangor. Disamping itu, ia juga mempunyai kepelbagaian biodiversiti yang tinggi dengan pelbagai spesies fauna dan flora yang unik. Dengan wujudnya kepelbagaian biodiversiti yang tinggi ini, maka ianya sangat sesuai dijadikan sebagai Arboretum Negeri Selangor.

    Pada tahun 2011, Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan pihak pengurusan pada masa itu menutup ALOP disebabkan berlaku kejadian tanah runtuh. Pada masa kini, kerajaan negeri telah meluluskan untuk diserahkan pengurusan dan pembangunan semula ALOP kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) melalui peruntukan kerajaan Negeri Selangor.

  2. Jika ya, apakah rancangan kerajaan negeri terhadap menara tinjau ini yang sudah terbiar?

    Berdasarkan kepada keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) Bil. 7/2015 yang telah diadakan pada 26 Februari 2015, “Ampang Look Out Point” (ALOP) diserahkan kembali kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) untuk dibangunkan semula selaras dengan Pelan Pembangunan Rancangan Pengurusan Hutan Negeri Selangor melalui peruntukan daripada kerajaan negeri.

    JPNS berhasrat untuk membangunkan ALOP sebagai Pusat Kecemerlangan Hutan Negeri Selangor disebabkan oleh lokasinya yang strategik dan sumber semula jadi yang menarik dan unik dengan kepelbagaian biodiversiti yang tinggi. Pusat Kecemerlangan Hutan Negeri Selangor ini akan dibangunkan secara bersepadu merangkumi aspek pentadbiran, latihan, arboretum, rekreasi, ekopelancongan, penyelidikan dan pendidikan alam semula jadi yang bertaraf “World Class” yang boleh dibanggakan.

    Segala kos pembangunan semula ALOP akan diperolehi daripada Pihak Berkuasa Negeri Selangor melalui peruntukan khas dan juga peruntukan pembangunan secara tahunan.

  3. Apakah langkah-langkah yang diambil bagi mengelak tempat itu dari menjadi lokasi maksiat?

    Sekiranya kawasan ini telah dibangunkan sebagai Pusat Kecemerlangan Hutan Selangor segala aktiviti dan program yang dijalankan kawasan ini akan sentiasa berada di bawah pengawasan dan seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor. Jabatan Perhutanan Negeri Selangor akan sentiasa bertanggungjawab dalam mengawal selia segala pengurusan berkaitan rancangan pembangunan ALOP bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung atau pelancong lebih terjamin pada masa sekarang dan juga akan datang,.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.