Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
78) KEDUDUKAN KEWANGAN NEGERI SELANGOR
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila kemukakan butiran terperinci bagaimanakah prestasi dan kedudukan kewangan Negeri Selangor bagi tempoh 9 bulan yang pertama tahun 2010 ?
Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Selangor bagi tempoh berakhir 30 September 2010 berakhir dengan lebihan sebanyak RM120.92 juta. Lebihan ini disebabkan oleh hasil yang dikutip sebanyak RM1,039.83 juta adalah lebih berbanding dengan kos belanja sebanyak RM 918.91 juta.
Jumlah wang awam yang terdiri daripada wang tunai dan pelaburan pada 30 September 2010 adalah berjumlah RM1,539.47 juta berbanding RM1,319.97 juta pada 31 Disember 2009 iaitu peningkatan sebanyak 16.62%. Akaun Hasil Disatukan pada 30 September 2010 adalah berjumlah RM728.93 juta berbanding RM608.01 juta pada 31 Disember 2009, iaitu meningkat sebanyak 19.88%. Manakala Akaun Amanah Disatukan pula mencatatkan peningkatan sebanyak RM98.58 juta pada 30 September 2010 (RM810.54 juta) berbanding 31 Disember 2009 (RM711.96 juta).
-
Sila huraikan bagaimanakah kesan kelembapan ekonomi global terhadap kedudukan kewangan Negeri ?
Kelembapan ekonomi global pada waktu ini sedikit sebanyak telah memberi kesan ke atas kedudukan kewangan Negeri. Kesan paling nyata ialah pengurangan kutipan hasil di mana pada tahun 2009 kutipan hasil ialah sebanyak RM1,371.88 juta (tidak termasuk penyelesaian hutang Talam sebanyak RM391.99) berbanding RM1,516.34 juta pada tahun 2008. Justeru itu, perbelanjaan perlu dikawal dan dibuat berdasarkan keutamaan. Perkara ini juga menyebabkan Kerajaan Negeri merekodkan defisit pada tahun 2009 yang ditampung oleh lebihan terkumpul Kumpulan wang Disatukan.
Walaubagaimanapun, pada tahun 2010 (sehingga September 2010) keadaan didapati semakin pulih di mana kutipan hasil sehingga September 2010 adalah sebanyak RM1,039,83 juta (79.99% daripada anggaran hasil 2010) berbanding RM938.97 juta (67.07% daripada anggaran 2009) bagi tempoh yang sama tahun 2009.
-
Sila nyatakan apakah langkah-langkah proaktif yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi mengukuhkan kedudukan kewangan Negeri ?
Langkah-langkah proaktif yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan lagi kedudukan kewangan termasuklah:
- Mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri. Pewujudan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri telah berjaya membantu Kerajaan Negeri dalam menguruskan lebihan tunai dengan lebih efisien di samping memberi pulangan faedah yang optimum. Bagi tahun 2008 dan 2009, Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip sebanyak RM20 juta berbanding RM14 juta pada tahun 2007 hasil daripada faedah ke atas pelaburan;
- Memastikan kedudukan rizab kerajaan Negeri berada pada kedudukan yang optimum dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa;
- Kerajaan Negeri dalam mengawal perbelanjaan telah mengambil pendekatan soft approach di mana Kerajaan Negeri tidak memotong peruntukan Jabatan yang telah diluluskan. Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri akan memantau perbelanjaan yang dibuat oleh Jabatan-Jabatan dari semasa ke semasa;
- Melancarkan dasar meningkatkan hasil bukan cukai melalui premium perlanjutan tempoh pajakan di Negeri Selangor (perkara ini masih diperingkat penyediaan dasar dan dijangka dilaksanakan di penghujung tahun ini);
- Meneruskan pelaksanaan Operasi Bersepadu Mengutip Hasil Tanah (Ops. Kutip 2010) dengan kerjasama di antara Perbendaharaan Negeri Selangor, semua Pejabat Tanah dan Daerah, Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Pusat ICT Selangor sebagai satu pasukan. Di antara pendekatan yang dilaksanakan melalui Ops. Kutip adalah seperti berikut:-
- Polisi ‘Knock Door’ iaitu dengan menghantar notis tuntutan dan surat peringatan terus kepada penunggak-penunggak tegar;
- mengadakan siri perbincangan bersama penunggak-penunggak tegar bagi menyelesaikan cukai tanah tertunggak;
- memberikan peluang kepada penunggak untuk membayar secara ansuran berjadual dengan syarat pembayaran dibuat secara konsisten; dan
- sekiranya penunggak tegar tersebut masih tidak menjelaskan cukai tanah tertunggak, Pejabat Tanah dan Daerah tanpa teragak-agak akan terus menguatkuasakan Notis 6A, Notis Tuntutan Hasil Tertunggak dan sekiranya dalam tempoh 3 bulan ia masih tidak dijelaskan maka seterusnya Notis 8A, Rampasan Tanah akan dilaksanakan.
- Kerajaan Negeri terutamanya melalui Pejabat Tanah dan Daerah sentiasa berusaha meningkatkan kutipan cukai tanah melalui beberapa kaedah iaitu:-
- Mengenal pasti serta mengasingkan semua hakmilik (tertunggak) yang bermasalah agar tindakan susulan dapat diambil;
- Membuka kaunter kutipan di luar pejabat bagi Pejabat Tanah Daerah di kawasan pedalaman;
- Membuka kaunter pada waktu rehat; dan
- Menambahkan saluran / kaedah pembayaran secara online dan pusat pembayaran di kaunter PBT.
- Dalam menghadapi ketirisan hasil pasir, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) berfungsi sebagai pengawal selia bagi mengelak ketirisan pendapatan daripada industri pasir akibat aktiviti kecurian pasir yang telah berleluasa sejak sekian lama. Modus operandi KSSB adalah tidak melibatkan orang tengah dan kontraktor lantikan KSSB tidak perlu membayar imbuhan kepada mana-mana pihak. Dahulunya, pengusaha-pengusaha pasir mencari jalan keluar yang tidak beretika di antaranya dengan tidak memperakukan (declare) kuantiti sebenar pasir yang dikeluarkan bagi menampung kos-kos imbuhan tersebut. Pada ketika ini, Perbendaharaan Negeri Selangor memantau kutipan royalti pasir setiap bulan melalui Pejabat Daerah / Tanah di seluruh Negeri Selangor dan setiap laporan yang diterima akan dirujuk kepada pihak KSSB bagi tujuan pengesahan.
Selain itu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan dan Penyeragaman Berkaitan Bahan Batuan dan Mineral yang dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Ramli bin Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Di bawah jawatankuasa ini diwujudkan sebuah jawatankuasa kecil yang dipanggil Jawatankuasa Merinyu yang diletakkan di bawah pengawasan Pejabat Pengarah Tanah & Galian Selangor. Fungsi utama Jawatankuasa Merinyu ini ialah bagi memantau operasi pengeluaran pasir yang telah diluluskan di bawah KSSB. Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Mineral dan Geosains Selangor / Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JMG).
- Kerajaan Negeri juga berusaha menangani tunggakan hasil cukai tanah dengan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Mengurangkan Tunggakan Cukai Tanah di Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Mohd. Arif bin Ab. Rahman, Pegawai Kewangan Negeri Selangor dan di Peringkat Daerah ianya dipengerusikan oleh Pegawai Daerah. Jawatankuasa tersebut berfungsi untuk melaksanakan kutipan tunggakan cukai tanah secara holistik yang melibatkan penunggak tegar dan penyelesaian hakmilik yang terlibat dengan permasalahan tanah di semua Pejabat Daerah.