Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

3) KEDUDUKAN KEWANGAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan secara terperinci bagaimanakah kedudukan kewangan terkini Negeri Selangor ?

    Kumpulan wang Disatukan Kerajaan Negeri Selangor terdiri dari Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan yang dipegang oleh wang tunai dan pelaburan. Kumpulan Wang Disatukan pada tahun 2012 berjumlah RM2,619.44 juta terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan RM1,180.85 juta, Akaun Amanah Disatukan RM1,417.70 juta dan Akaun Pinjaman Disatukan RM20.89 juta. Bagi tahun berakhir 31 Disember 2012, Wang Awam Kerajaan Negeri yang terdiri daripada Wang Tunai dan Pelaburan masingmasing berjumlah RM392.09 juta dan RM2,227.35 juta. Pada 31 Mei 2013, Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri Selangor adalah berjumlah RM2,824.18 juta terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan RM1,401.68 juta dan Akaun Amanah Disatukan RM1,422.50 juta. Wang Awam Kerajaan Negeri yang terdiri daripada Wang Tunai dan Pelaburan pada 31 Mei 2013, masing-masing berjumlah RM436.83 juta dan RM2,387.35 juta.

  2. Sila nyatakan apakah faktor utama yang mempengaruhi prestasi kewangan Negeri Selangor ?

    Prestasi kewangan Kerajaan Negeri Selangor bagi tahun 2012 dan 2011 berakhir masing-masing dengan lebihan semasa sebanyak RM268.10 juta dan RM180.50 juta. Lebihan terkumpul Akaun Hasil Disatukan seperti pada 31 Disember 2012 adalah berjumlah RM1,180.85 juta berbanding RM912.75 juta pada tahun 2011. Faktor utama yang mempengaruhi prestasi kewangan Negeri Selangor ini adalah pertumbuhan hasil pada tahun 2012 dimana hasil Kerajaan Negeri pada tahun 2012 adalah sebanyak RM1,954.81 juta berbanding hasil tahun 2011 berjumlah RM1,634.01 juta iaitu peningkatan sebanyak RM320.80 juta (19.63%). Peningkatan ketara direkodkan pada kutipan hasil premium geran tanah sebanyak RM869.91 juta pada tahun 2012 berbanding RM533.04 juta pada tahun 2011.

  3. Sila nyatakan apakah langkah-langkah proaktif yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memperkasakan kedudukan kewangan Negeri Selangor ?

    Langkah-langkah proaktif yang oleh Kerajaan Negeri bagi memperkasakan kedudukan kewangan Negeri Selangor adalah seperti berikut:-

    1. Perbendaharaan Negeri Selangor pada 23 Jun 2012 telah mengeluarkan Surat Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bilangan 1 Tahun 2012 – Garis Panduan Perbelanjaan Berhemah bagi memperkemaskan dan membuat penambahbaikan terhadap garis panduan perbelanjaan berhemah dan langkah-langkah tambahan yang perlu diambil kira ke arah pengurusan perbelanjaan wang awam yang sempurna;
    2. mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri. Pewujudan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri telah berjaya membantu Kerajaan Negeri dalam menguruskan lebihan tunai dengan lebih efisen di samping memberi pulangan faedah yang optimum. Bagi tahun 2012, Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip hasil daripada faedah ke atas pelaburan sebanyak RM52 juta berbanding RM14 juta pada tahun 2007;
    3. meneruskan pelaksanaan Operasi Bersepadu Mengutip Hasil Tanah dengan kerjasama di antara Perbendaharaan Negeri Selangor, semua Pejabat Daerah dan Tanah, Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Bahagian Teknologi Maklumat, SUK sebagai satu pasukan (Ops. Kutip). Di antara pendekatan yang dilaksanakan melalui Ops. Kutip adalah seperti berikut:-
    • Polisi ‘Knock Door’ iaitu dengan menghantar notis tuntutan dan surat peringatan terus kepada penunggak-penunggak tegar;
    • mengadakan siri perbincangan bersama penunggak-penunggak

    tegar bagi menyelesaikan cukai tanah tertunggak;

    • memberikan peluang kepada penunggak untuk membayar secara ansuran berjadual dengan syarat pembayaran dibuat secara konsisten; dan
    • sekiranya penunggak tegar tersebut masih tidak menjelaskan cukai tanah tertunggak, Pejabat Daerah dan Tanah tanpa teragak-agak akan terus menguatkuasakan Notis 6A, Notis Tuntutan Hasil Tertunggak dan sekiranya dalam tempoh 3 bulan ia masih tidak dijelaskan maka seterusnya Notis 8A, Rampasan Tanah akan dilaksanakan.
    1. Kerajaan Negeri terutamanya melalui Pejabat Daerah dan Tanah sentiasa berusaha meningkatkan kutipan cukai tanah melalui beberapa kaedah iaitu:-
      • mengenalpasti serta mengasingkan semua hakmilik (tertunggak) yang bermasalah agar tindakan susulan dapat diambil;
      • membuka kaunter kutipan di luar pejabat bagi Pejabat Daerah dan

    Tanah di kawasan pedalaman;

    • membuka kaunter pada waktu rehat; dan
    • menambahkan saluran / kaedah pembayaran secara online dan pusat pembayaran di kaunter PBT.
    • Kerajaan Negeri juga berusaha menangani tunggakan hasil cukai tanah dengan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Mengurangkan Tunggakan Cukai Tanah di Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Y.B. Pegawai Kewangan Negeri Selangor dan di Peringkat Daerah ianya dipengerusikan oleh Pegawai Daerah. Jawatankuasa tersebut berfungsi untuk melaksanakan kutipan tunggakan cukai tanah secara holistik yang melibatkan penunggak tegar dan penyelesaian hakmilik yang terlibat dengan permasalahan tanah di semua Pejabat Daerah dan Tanah; dan
    • Kerajaan Negeri turut mewujudkan pasukan Taskforce Mengurangkan
    • Tunggakan Cukai Tanah di 4 Pejabat Daerah dan Tanah iaitu Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat untuk menangani secara khusus masalah tunggakan cukai tanah daripada hak milik bermasalah. Pada tahun 2012, tunggakan hasil Kerajaan Negeri Selangor adalah berjumlah RM352.12 juta berbanding RM425.27 juta pada tahun 2011 dengan pengurangan sebanyak RM73.15 juta.

Lampiran

Tiada Lampiran.