Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
134) KEDIAMAN RUMAH DI HUTAN SIMPAN
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan tindakan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor terhadap rumah kediaman yang dibina dalam kawasan hutan simpan.
Secara umumnya, tiada sebarang struktur boleh dibina di dalam kawasan hutan simpanan kekal tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Negeri (PBN). Perkara ini adalah selaras dengan Seksyen 32, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (Pindaan 2018). Jika terdapat mana-mana orang disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 32 ini, maka boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit (RM100,000.00) atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada enam (6) bulan tetapi tidak melebihi sepuluh (10) tahun atau kedua-duanya.
Justeru itu, tindakan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor terhadap rumah kediaman yang dibina dalam kawasan hutan simpanan kekal yang tidak mendapat kebenaran oleh PBN adalah seperti berikut:-
- Mengenakan notis pemberitahuan untuk mengosongkan kawasan hutan simpanan kekal dalam tempoh yang ditetapkan;
- Mengambil tindakan tegas secara undang-undang sekiranya kawasan tidak dikosongkan;
- iii. Menjalankan operasi memusnahkan binaan atau tanaman tanpa kebenaran yang terdapat di dalam kawasan hutan simpanan kekal; dan
- Memulihkan kawasan yang terlibat dengan kaedah yang bersesuaian seperti pemulihan struktur tanah, membaiki sistem pengairan/hidrologi, penanaman pokok-pokok hutan dan sebagainya.
-
Nyatakan jumlah rumah kediaman berada di dalam HS Bukit Tarek dan cara-cara penyelesaian setelah laporan media dan 2 menteri membuat kenyataan terhadap perkara ini.
Isu rumah kediaman yang didakwa berada di dalam Hutan Simpan Bukit Tarek seperti dilaporkan di dalam media akhbar Utusan Malaysia pada Oktober 2021 yang lalu masih dalam penelitian lanjut Jabatan Perhutanan Negeri Selangor. Hal ini memerlukan semakan bersama pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri Selangor dan Pejabat Tanah dan Daerah yang terlibat. Kawasan kampung yang dimaksudkan dalam perkara ini ialah Kg. Muhibbah (Kg. Melayu Bukit Tarek), Mukim Hulu Yam, Daerah Hulu Selangor.
Berdasarkan maklumat awal yang diperolehi daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor, kawasan kampung ini telah diluluskan pemberimilikan bagi tujuan pertanian melalui MMKN ke 9/2004. Kawasan ini dikenali sebagai Kawasan Pertanian Kg. Muhibbah Mukim Hulu Yam yang turut tersenarai dalam Projek Dusun Nuklues Pejabat Pertanian Daerah Hulu Selangor. Hasil semakan kini, 227 plot telah didaftarkan hakmilik dan hanya sebanyak lebih kurang 33 plot sahaja yang terdapat bangunan separa kekal/kekal. Keseluruhan keluasan kawasan ini adalah seluas 259.434 hektar yang meliputi 228 plot pertanian. Merujuk kepada Kertas Ringkasan MMKN ke 9/2004 tersebut, kawasan Kg. Muhibbah ini adalah Tanah Simpanan Hutan yang telah dibatalkan melalui WKNS 535-4. Penandaan pada pelan permohonan tersebut juga menandakan ‘Bukit Tarek Forest Reserve Part Revoked G.N 3448-34’ dan ‘Part Revoked G.N 353-50’.
Justeru itu, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor akan melaksanakan penelitian lanjut dengan agensi-agensi yang berkaitan untuk tindakan yang sewajarnya.