Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
222) KECICIRAN PELAJAR
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan kerajaan terhadap keciciran pelajar?
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor ambil maklum keprihatinan Yang Berhormat berkaitan isu keciciran murid.
JPN Selangor sentiasa memandang serius mengenai isu keciciran murid dan menjalankan pemantauan kepada murid berisiko cicir dan murid cicir. Intervensi turut dilaksanakan pada peringkat sekolah bagi memastikan mereka kekal dalam sistem pendidikan negara sehingga tamat persekolahan.
Sebarang pengesanan murid cicir yang dikenalpasti akan dibantu penempatannya masuk ke sekolah dengan kadar segera. Jumlah murid cicir yang dikenalpasti dan kembali ke sekolah dengan menggunakan borang Agama Swasta Bersekolah Semula (ASBS) sepanjang tahun 2023 adalah seperti berikut:
Sekolah Permohonan Lulus Peratus Rendah 262 262 100 Menengah 266 266 100 Murid yang dikenalpasti ini adalah berstatus warganegara. Menerusi jumlah yang dikenalpasti, 100% permohonan telah diluluskan penempatannya di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.
Untuk makluman Yang Berhormat, JPN Selangor sangat komited dan sentiasa merujuk kepada Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah (GPMBC), modul Serlahkan Keunggulan Diri (SUDI) serta modul kajian kes dan amalan terbaik menangani isu murid berisiko cicir dan murid cicir sebagai panduan kepada guru bimbingan dan kaunseling di semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan. Sebagai langkah pencegahan murid cicir, GPMBC telah dikuatkuasakan mulai tahun 2018 kepada semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan. Objektif GPMBC ini adalah untuk membantu pihak sekolah mengenal pasti murid berisiko cicir serta mengurus murid berisiko cicir secara berkesan dan sistematik. GPMBC ini juga bertujuan untuk memastikan pemantauan murid khususnya murid berisiko cicir dapat dilaksanakan oleh pihak JPN, pejabat pendidikan daerah (PPD) dan sekolah secara berterusan.
-
Apakah program yang dirancang oleh kerajaan bagi memastikan keciciran pelajar berkurangan?
JPN Selangor telah melaksanakan pelbagai program / kaedah bagi menangani keciciran murid. Antara program / kaedah yang telah dilaksanakan adalah:
a. Mewujudkan Jawatankuasa Penyiasatan Murid Cicir (JPMC) di peringkat JPN, PPD dan sekolah.
b. Ziarah Cakna dan Ziarah Komuniti yang melibatkan ketua komuniti setempat seperti ketua kampung, pengerusi JKK dan lain-lain.
c. Program Outreach Komuniti untuk mengesan murid cicir yang melibatkan JPN, PPD, agensi luar, NGO, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) PDRM dan pegawai KPM.
d. Berkolaboratif dengan pusat jagaan bagi memastikan murid yang tinggal di pusat jagaan tidak tercicir.
e. Intervensi murid berisiko cicir dengan menggunakan Modul SUDI oleh guru bimbingan dan kaunseling di sekolah.Modul Serlahkan Keunggulan Diri (SUDI) ini disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi tujuan pencegahan dan intervensi murid cicir. -
Siapakah rakan strategik kerajaan untuk membantu mengenal pasti pelajar yang tercicir?
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,
JPN Selangor sentiasa menjalinkan hubungan baik dan strategik bersama-sama pihak berkepentingan. Diantara pihak yang sentiasa bekerjasama menjayakan pengenalpastian murid cicir adalah seperti berikut:
1. Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI)
2. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
3. Pusat Zakat
4. Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS)
5. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
6. Majlis Perbandaran
7. Pejabat Tanah dan Daerah
8. Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS).