Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
294) KEBUDAYAAN
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimana usaha Kerajaan Negeri dalam memelihara dan mempromosikan warisan budaya serta melibatkan komuniti di Selat Klang?
Kerajaan Negeri sentiasa menyokong dan mengalakkan penglibatan komuniti setempat dalam program kebudayaan di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) telah menganjurkan Program Festival Warisan Seni Budaya dan Pelancongan Klang yang bertujuan memperkenalkan sejarah, warisan dan kebudayaan masyarakat Klang sebagai sebuah produk pelancongan di kalangan pelbagai peringkat generasi.
Program ini merupakan acara tahunan dalam kalendar pelancongan negeri Selangor dan dilaksanakan selaras dengan peranan Majlis Bandaraya Diraja Klang untuk merealisasikan Klang sebagai sebuah bandaraya yang memiliki daya tarikan sejarah dan warisan sesuai dengan gelaran Klang Bandar Diraja, sekaligus mempromosikan industri pelancongan di lokasi-lokasi menarik dan bersejarah di sekitar Klang yang mampu menjana ekonomi dan pendapatan penduduk di daerah Klang.
Kerajaan Negeri dengan kerjasama Tourism Selangor turut melaksanakan program khas “Discovery of Local Community Host” yang merupakan program pelancongan berasaskan komuniti dalam usaha memperkasa industri pelancongan tempatan dengan menekankan peranan hos komuniti dalam memperkayakan pengalaman pelancong untuk mendekati kehidupan sebenar penduduk tempatan, menikmati keindahan warisan dan budaya serta mendalami sejarah yang unik di setiap destinasi.
Program “Royal Klang Town Heritage Walk” yang dilaksanakan oleh Tourism Selangor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Diraja Klang membawa pelancong melalui 11 mercu tanda bersejarah di Klang di mana pelancong turut berpeluang untuk mendampingi komuniti setempat untuk satu pengalaman pelancongan yang autentik.
-
Apakah program khusus yang diperkenalkan untuk merapatkan jurang generasi muda dalam mengenali warisan budaya?
Kerajaan Negeri adalah komited dalam usaha mengembang dan menyebar luas seni budaya negeri Selangor melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan secara berterusan yang menyasarkan generasi muda. Bagi tujuan tersebut, antara program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan (PADAT) telah melaksanakan beberapa program pendidikan seni dan budaya sepanjang tahun 2024 yang bertujuan melibatkan golongan belia dan remaja dalam mempelajari dan menghayati seni budaya tradisional seperti berikut:
- Pertandingan Seni Warisan Cempuling;
- Muzium ke Sekolah;
- Bengkel Edu Kreatif Pendidikan Seni Cempuling;
- Bengkel Edu Kreatif Seni Tarian;
- Bengkel Edu Kreatif Seni Gamelan; dan
- Pertandingan Permainan Tradisional.
Di samping itu, Kerajaan Negeri turut menyokong penganjuran Pertandingan Tarian Sekolah-Sekolah Malaysia (TA’SEEM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah diadakan pada 11 Julai 2024 di KSL Esplanade Mall, Klang. Program ini bertujuan untuk menggalakkan dan mengiktiraf bakat pelajar dalam pelbagai seni tarian. Johan Pertandingan TA’SEEM 2024 iaitu Kumpulan Lantera Cilik daripada Sekolah Kebangsaan Kampung Medan, Telok Panglima Garang turut dijemput oleh Kerajaan Negeri untuk menyertai Program Pembangunan Kebudayaan Peringkat Sekolah Rendah Selangor – Bandung 2025 yang telah diadakan pada 4 hingga 8 Februari 2025 di Bandung, Indonesia.
Kerajaan Negeri komited untuk memperkasa seni dan budaya negeri, khususnya dalam kalangan generasi muda melalui pelbagai inisiatif dan program strategik. Antara usaha yang dilaksanakan termasuk program berorientasikan warisan, pertandingan seni, bengkel pendidikan seni, dan program pendidikan budaya melalui kerjasama erat dengan pelbagai pihak. Kesemua usaha ini bukan sahaja membantu melestarikan budaya Selangor, tapi juga memperkukuhkan jati diri dan perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda.