Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

261) KEBERSIHAN TEMPAT AWAM

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana Kerajaan Negeri memastikan kebersihan di kawasan pelancongan adalah dalam keadaan tahap yang memuaskan?

    Bagi memastikan kebersihan di semua tempat termasuk kawasan-kawasan pelancongan, Pihak PBT telah melaksanakan pemantauan secara harian melalui Penyelia Kawasan PBT bagi kerja-kerja kutipan sisa domestik dan pembersihan awam dengan merujuk kepada jadual dan skop kerja yang telah ditetapkan. Selain itu, pihak KDEBWM juga meletakkan Penyelia Kawasan bagi memantau kontraktor kutipan yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja kutipan sampah dan pembersihan awam. Sekiranya didapati kerja-kerja kutipan sampah/ pembersihan tidak dilakukan oleh kontraktor, Notis Tindakan Pembetulan (NTP) akan dikeluarkan kepada kontraktor dan kontraktor yang bewrkenaan perlu menyelesaikan kerja tersebut dalam tempoh 24 jam supaya kawasan tersebut bersih. Laporan NTP akan dilaporkan secara bulanan di dalam mesyuarat khas PBT yang dianggotai oleh Datuk Bandar/ Yang Dipertua, Ahli Majlis dan KDEBWM supaya pemantauan kebersihan turut diberi perhatian oleh peringkat atasan PBT bagi memastikan pihak kontraktor yang berkenaan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

     

    Selain itu, pihak PBT juga akan mengenakan NTP kepada KDEBWM sekiranya aduan yang diterima daripada masyarakat disahkan benar dan akan dikenakan denda atau pemotongan bayaran.

  2. Apakah tindakan kerajaan bagi menambah baik aspek kebersihan premis yang diiktiraf sebagai "Kurang Bersih" ataupun grad C?

    Bagi menambah baik aspek kebersihan premis yang diiktiraf sebagai “Kurang Bersih” ataupun grad C adalah seperti berikut:-

     

    1. Menyarakankan pengusaha premis untuk merujuk Garis Panduan Penggredan Premis Makanan yang disediakan oleh bagi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya dapat meningkatkan aspek kebersihan premis ke grad A;

     

    1. Pengusaha premis perlu memaparkan kriteria kebersihan di premis makanan sebagai senarai semak aspek kebersihan yang perlu dilaksanakan oleh setiap pekerjanya pada setiap hari;

     

    1. Pengusaha dan pekerja perlu menjalani Latihan Pengendalian Makanan yang disediakan oleh pihak PBT sebelum boleh mengoperasikan premis makanan. Rekod kehadiran latihan perlu disempan oleh pengusaha dan perlu mengemukakannya apabila diminta oleh pemerika premis makanan PBT;

     

    1. Pemeriksaan akan dijalankan secara berkala atau ulangan dalam tempoh enam (6) bulan sekali atau lebih awal sekiranya terdapat aduan daripada pelanggan;

     

    1. Pengusaha premis akan dikenakan tindakan kompoun di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan 2007 bagi sebarang pelanggaran syarat kebersihan seperti berkut:-
    • Seksyen 20, UUK Establisymen Makanan 2007 iaitu menyebabkan efluen atau kumbahan dilepaskan bukan ditempat pelepasan efluen dan tidak mengikut cara yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Melesen;
    • Seksyen 16, UUK Establisymen Makanan (MPK) 2007 iaitu pengusaha restoran/ kedai makan diwajibkan menyediakan tong sampah yang mencukupi; dan

     

    • Seksyen 15, UUK Establisymen Makanan 2007 iaitu pengusaha restoran/ kedai makan diwajibkan memastikan menjaga dan menyelenggarakan premis establisymen makanan dalam keadaan bersih seperti yang dikehendaki oleh Pihak Berkuasa.

     

    1. Premis yang melanggar syarat kebersihan juga boleh dikenakan Notis Penutupan premis di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan 2007 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan.

     

    1. Bagi menggalakkan pengusaha premis meningkatkan tahap kebersihan premis masing-masing, PBT turut mengadakan kempen kebersihan makanan mengikut zon. Selain itu, PBT juga mengadakan pertandingan premis bersih antara zon setiap tahun.

Lampiran

Tiada Lampiran.