Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
19) KEBERSIHAN SUNGAI BERHAMPIRAN INDUSTRI TERNAKAN KHINZIR DI DUN TANJUNG SEPAT
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Borhan Bin Aman Shah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tahap indeks kualiti air sungai di DUN Tanjung Sepat yang berdekatan dengan setiap lokaliti industri ternakan khinzir
Lembaga tiada data dan maklumat bagi perkara ini memandangkan tiada stesen pemantauan sama ada automatik mahupun manual di kawasan yang ditanyakan.
Dicadangkan maklumat diperoleh daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi stesen pemantauan di kawasan sekitar termasuk stesen air marin, jika ada.
Stesen pemantauan kualiti air sungai hanya berada di dalam Lembangan Sungai Langat dan yang terdekat dengan Tanjung Sepat adalah Stesen Sungai Batang Labu di Kampung Orang Asli Bukit Tadong yang jaraknya 18 km dari Tanjung Sepat. Indeks Kualiti Air Sungai di Stesen ini adalah Kelas Ketiga.
-
Apa mekanisme JPS Kuala-Langat dan Sepang dalam memastikan tahap indeks-kualiti air sentiasa dalam tahap kebersihan yang maksimum di sekitar industri ternakan tersebut
Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan. Pelbagai usaha telah diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air.
Pemantauan berkala dilaksanakan oleh Lembaga bersama agensi berkaitan bagi memastikan sumber air di kawasan sekitar tersebut dan kawasan tadahannya terpelihara daripada aspek kualiti dan kuantitinya.
Penguatkuasaan bersepadu dan tindakan perundangan tegas turut sentiasa dilaksanakan antaranya siasatan, notis dan pengeluaran kompaun termasuk pendakwaan di mahkamah.
Maklumat tambahan
Selain itu, kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan bagi isu-isu pencemaran lain melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:
i. Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam;
ii. Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor, yang dipengerusikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan
iii. Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh EXCO Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar,Teknologi Hijau Dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi.
Untuk makluman, penternakan khinzir di DUN Tanjung Sepat dikawalselia oleh Jabatan Veterinar dan Jabatan Alam Sekitar di mana Jabatan tersebut mengawal kualiti pelepasan air kumbahan sebelum masuk ke dalam sungai yang terdekat. Jabatan Veterinar dan Jabatan Alam Sekitar akan melaksanakan pemantauan berkala dengan membuat persampelan kualiti air untuk memastikan tahap indeks-kualiti air di kawasan berkenaan berada dalam tahap kebersihan maksimum. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) hanya menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sungai yang melibatkan skop kerja pengorekan dan juga pembaikan tebing sekiranya perlu.