Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

30) KEBERSIHAN AWAM

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan terhadap premis perniagaan yang beroperasi tanpa tong sampah?

    Merujuk kepada Undang-Undang Kecil (UUK) Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007, Bahagian II – Larangan Membuang Sampah, seksyen 6 – Tong Sampah:

    “Tuan punya atau penghuni tiap-tiap rumah atau bangunan hendaklah mempunyai tong sampah yang bertutup dan hendaklah diselenggara dengan baik.”

     

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, tindakan penguatkuasaan yang boleh dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selaras dengan Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007 adalah:

     

    1. kompaun atas kesalahan gagal mematuhi syarat lesen;
    2. Notis Pematuhan Syarat (NPS);
    3. Notis Pembatalan Lesen (NPL);
    4. Notis Pengesahan Pembatalan Lesen (NPPL); dan
    5. sitaan premis perniagaan.

     

    Kompaun maksima sehingga RM1,000.00 akan dikenakan ke atas pemilik perniagaan yang gagal menyediakan tong sampah yang bersesuaian.

  2. Mampukah Kerajaan Negeri membekalkan tong sampah kepada Majlis Perbandaran yang tidak mempunyai bajet?

    Kerajaan Negeri tidak memperuntukkan secara khusus bagi peruntukan penyediaan tong sampah kepada mana-mana PBT kerana ia adalah dibawah tanggungjawab PBT masing-masing terutamanya bagi kawasan awam seperti pusat riadah dan taman permainan. Dalam hal ini, PBT sentiasa membuat semakan atau menyediakan peruntukan bagi pembelian tong sampah untuk kawasan-kawasan tumpuan orang awam seperti pasar moden, pasar malam dan kawasan food truck.

    Walau bagaimanapun, di kawasan-kawasan komersial seperti di lot kedai dan pusat membeli-belah, PBT tidak menyediakan tong sampah kerana pemilik premis perlu menyediakannya sendiri dan ia telah dinyatakan sebagai salah satu syarat dalam permohonan Lesen Premis Perniagaan.

  3. Masalah longgokkan sampah di kawasan pembuangan sampah haram kian meningkat berikutan lambakan penjaja, apakah langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri?

    Bagi mengatasi masalah pembuangan sampah haram berikutan lambakan penjaja, Kerajaan Negeri telah memperlihatkan usaha PBT dengan melaksanakan perkara-perkara yang berikut:

    1. semua PBT akan sentiasa membuat pemantauan dengan menjalankan rondaan secara berkala atau pemantauan secara rutin di kawasan yang sering dijadikan tempat (hotspot) longgokan sampah haram di kawasan pentadbiran masing-masing;
    2. bagi mana-mana penjaja yang meninggalkan sampah di tempat perniagaan tanpa membersihkan lokasi, tindakan penguatkuasaan akan dibuat dengan mengenakan kompaun sehingga ke RM1,000.00 di bawah UUK Penjaja 2007 dan dalam masa yang sama lesen penjaja tersebut juga boleh dibatalkan di bawah UUK yang sama;
    3. pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula ada menyediakan tapak berpusat bagi penjaja sementara untuk memudahkan pengurusan sampah (caj kutipan sampah dikenakan dalam permit perniagaan yang dikeluarkan bagi setiap penjaja) dan memberikan pendidikan dan kempen kesedaran secara berterusan kepada semua peniaga melalui siri taklimat berkaitan syarat permit peniagaan oleh Jabatan Pelesenan dan penjagaan kebersihan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam;
    4. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut mengeluarkan permit sementara kepada penjaja tanpa lesen berkonsep in situ bergantung kepada kesesuaian dan syarat-syarat lesen. MBPJ dapat mengawal dan memberi perkhidmatan dari segi kebersihan dan kutipan sisa. MBPJ turut mewujudkan Jawatankuasa Kecil Sampah Haram di peringkat Majlis yang dianggotai oleh ahli majlis dan lain-lain agensi Kerajaan dan fungsi Jawatankuasa ini adalah untuk membincangkan tindakan bersepadu bagi membendung pembuangan sampah haram;
    5. Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) ada menyediakan beberapa tapak khas untuk mengumpulkan lambakan penjaja. Tapak penjaja tersebut dibekalkan dengan tong sampah dan kutipan berkala dilakukan oleh KDEB Waste Management Sdn. Bhd. dengan kekerapan kutipan pada setiap hari;Di Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), caj pengurusan sampah dikenakan di semua kiosk Majlis bagi mengurangkan isu pelupusan sampah; dan
    6. Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah melaksanakan Pusat Kutipan Sisa Penjaja Berpusat untuk memastikan penjaja mempunyai akses kepada tong sampah yang berhampiran iaitu lokasi yang diletakkan papan tanda, serta dua (2) unit tong Mobile Garbage Bin (MGB) berkapasiti 660L.
    7. Majlis Perbandaran Klang telah mengadakan Program Tour To Clean (TTC) di seluruh pentadbiran Majlis terutama di DUN Sentosa dan DUN Meru yang melibatkan 30 lokasi terutama di kawasan perumahan dan kawasan perniagaan/ komersial. Program ini melibatkan pembersihan sampah longgok longgok, mencuci tapak sampah longgok menggunakan jetter, serta pemasangan hazard tape / papan tanda larangan membuang sampah di kawasan tersebut.
    8. Selain daripada itu, Majlis Perbandaran Klang juga turut menubuhkan anggota Squad Green Volunteer (SGV) di setiap DUN yang berfungsi sebagai mata-mata/ pemberi maklumat kepada pihak Majlis. SGV akan mengemukakan maklumat/ bukti dalam bentuk gambar dan video rakaman dan sekiranya tertangkap pesalah, ganjaran berupa wang ringgit sebanyak RM100 akan diberikan kepada SGV.

Lampiran

Tiada Lampiran.