Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015
181) KEBERKESANAN SKIM MIKROKREDIT MISKIN BANDAR
Tahun: 2015
Sesi: 1
Isu: Usahawan
Adun: Y.B. Tuan Jakiran Bin Jacomah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan jumlah keluarga yang berjaya melepasi Paras Garis Kemiskinan (PGK) melalui Skim Mikrokredit Miskin Bandar?
Peserta yang melepasi Paras Garis Kemiskinan (PGK) pula tidak dapat dijelaskan secara kajian ilmiah kerana tiada kajian khusus dan menyeluruh dalam mengukur keberkesanan keluarga penerima MIMBAR yang berjaya melepasi Paras Garis Kemiskinan (PGK). Hanya melalui pemantauan pegawai-pegawai MIMBAR, telah mengenalpasti terdapat golongan minoriti di kalangan pesertanya yang agak cepat matang dalam perniagaan dan mengalami perubahan yang mendadak dari keadaan zon “survival” kepada zon keusahawanan. Jumlah tersebut mewakili seramai 800 peserta dengan pendapatan antara RM 1,600.00 sehingga RM 3,00.000 sebulan.
-
Berapakah jumlah yang gagal membayar balik pinjaman tersebut dan faktor penyebab kegagalan tersebut?
Sehingga Februari 2015, MIMBAR telah mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM10,915,528.00 bersamaan 5,136 orang peserta. Daripada jumlah tersebut seramai 551 peserta gagal atau bertunggakan tegar untuk membuat pembayaran balik melibatkan RM1,086,433.00. Faktor penyebab berlakunya kegagalan bayaran balik antaranya, kebanyakan peserta tidak berasa risau kerana tiadanya tindakan undang-undang sekiranya mereka tidak membayar. Sikap sambil lewa peserta dalam menjalankan perniagaan juga menyumbang kepada gagalnya bayaran balik. Ini kerana apabila perniagaan tidak diuruskan dengan sempurna menyebabkan perniagaan menghadapi masalah dan peserta akan hilang pendapatan yang boleh menampung bayaran balik. Pemantauan yang kurang berkesan oleh MiMBAR juga merupakan penyumbang kepada kegagalan bayaran balik. Pemantauan tidak dapat dilakukan dengan sempurna kerana setiap orang pegawai MiMBAR mengurus terlalu ramai peserta, antara 300 orang hingga 400 orang.
-
Apakah tindakan kerajaan negeri kepada peminjam yang gagal membayar balik pinjaman?
MIMBAR telah beberapa kali menjalankan Ops Kutipan bagi menjejaki dan mengenalpasti peserta tegar yang gagal membayar balik pinjaman ini sama ada disengajakan atau tidak. Mereka yang gagal menjelaskan pinjaman setelah beberapa peluang diberikan dan masih gagal menjelaskannya, tidak berpeluang untuk menerima pinjaman pusingan seterusnya atau pusingan tambahan.
Antara peluang yang diberikan oleh MIMBAR untuk membantu penerima menjelaskan tunggakan adalah seperti:
- Perbincangan permasalahan dan menjelaskan dan menunjukkan rekod bayaran melalui SI bank mahupun kutipan manual.
- Penjadualan semula jumlah bayaran balik mengikut keupayaan peserta.
- Penolakan jumlah tunggakan melalui hasil keuntungan perniagaan melalui peluang berniaga yang diberikan oleh MIMBAR.