Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

211) KEBERKESANAN JALUR LEBAR YANG DIBEKALKAN KE DUN SUNGAI BURONG

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sebagai negeri termaju di Malaysia, adakah terdapat data kawasan-kawasan yang tiada liputan TELCO bagi perkhidmatan internet yang melibatkan semua penduduk di DUN Sungai Burong khususnya?

    Sehingga suku kedua tahun 2023, Parlimen Tanjung Karang mencatatkan liputan 4G bagi kawasan berpenduduk sebanyak 98.74%. Peratusan liputan ini mengambilkira liputan kawasan di DUN Sungai Burong dan DUN Permatang yang diperolehi dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Selain itu, terdapat proses naik taraf 1 tapak pemancar untuk 4G di DUN Sg Burong bagi menambah baik kawasan liputan dan terdapat 3 tapak liputan 5G sedang dibangunkan.

     

    Malah rekod aduan penduduk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sepanjang tahun 2023 berkaitan isu tiada liputan hanya merekodkan satu aduan yang diterima di kawasan Parit 3 Ban 4. Tiada rekod tentang tiada liputan TELCO di DUN Sungai Burong selain dari kawasan tersebut.

     

    Untuk sebarang aduan berkenaan masalah berkaitan TELCO, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menyediakan pusat aduan di talian 1 800 188 030 atau boleh e-mel kepada aduanskmm@mcmc.gov.my atau dengan mengisi borang aduan di portal aduan.skmm.gov.my

  2. Adakah sistem jalur lebar yang diberi dan dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri berfungsi sepenuhnya di DUN Sungai Burong?

    Kerajaan Negeri melalui SMARTSEL Sdn Bhd, yang dilantik selaku pemudahcara untuk infrastruktur digital melalui inisiatif Iltizam Selangor Penyayang iaitu WiFi Smart Selangor, telah membuat pemasangan dilebih 67 lokasi didalam Parlimen Tanjung Karang yang mana 28 lokasi tersebut adalah di DUN Sg Burong seperti SRA Sg Burong, Pusat Khidmat Masyarakat, Dewan Dato Hormat serta lain lain lokasi yang aktif dan mendapat kemudahan internet sehingga 8Mbps untuk setiap pengguna dengan keupayaan rangkaian sehingga 800Mbps.

    Kerajaan Negeri juga sedang merangka beberapa pelan rancangan bagi meningkatkan kapasiti kemudahan jalur lebar bersama SMARTSEL Sdn Bhd antaranya menaiktaraf 95 buah rangkaian Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang telah pun bermula dengan fasa 1 sebanyak 15 buah di Sabak Bernam. PPAS ini akan dijadikan hub rangkaian untuk kawasan sekitarnya menikmati kemudahan jalur lebar dan akses tanpa wayar yang setanding dengan kawasan bandar apabila siap sepenuhnya pada tahun 2025.

    Melalui Digital Nasional Berhad (DNB) pula, kerja-kerja pelaksanaan 5G telah pun dimulakan di kawasan DUN Sungai Burong. Sehingga 30 September 2023 sebanyak 6 tapak boleh menikmati liputan rangkaian perkhidmatan 5G dan berbaki 3 tapak lagi untuk dibangunkan. Selain itu, menerusi inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), 6 buah Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang terletak didalam kawasan Tanjung Karang turut menyediakan perkhidmatan telekomunikasi kepada komuniti setempat sekaligus memperkasa kemahiran dan kesenjangan digital.

Lampiran

Tiada Lampiran.