Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

216) KEBENARAN MERANCANG (DO)

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Datuk Halimaton Saadiah Binti Bohan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri melakukan semakan DO keatas semua projek pembinaan di Selangor?

    Merujuk kepada subseksyen 2(1) Akta 172, kebenaran merancang ditakrifkan sebagai ‘kebenaran yang diberikan, dengan atau tanpa syarat, untuk menjalankan pemajuan’.

    Keperluan bagi mendapat Kebenaran Merancang adalah diperuntukkan di bawah Seksyen 19(1), Akta 172 iaitu:

    “Tiada seorang pun, lain daripada pihak berkuasa tempatan, boleh memula, mengusaha atau menjalankan apa-apa pemajuan melainkan kebenaran merancang berkenaan dengan pemajuan itu telah diberikan kepadanya di bawah Seksyen 22 atau dilanjutkan di bawah Seksyen 24(3)”.

    Berdasarkan Seksyen 2, Akta 172 , Pihak Berkuasa Tempatan ditafsirkan sebagai mana-mana majlis bandaraya, majlis perbandaran atau majlis daerah, majlis bandaran, lembaga bandaran, majlis tempatan, lembaga luar bandar, atau mana- mana pihak berkuasa lain seumpamanya yang ditubuhkan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis;

    Ini bermakna kelulusan suatu kebenaran merancang adalah di bawah bidang oleh Pihak Berkuasa PBT yang merupakan PBPT kawasan berkenaan mengikut subseksyen 5(1), Akta 172.

    PBT bertanggungjawab untuk mengawalselia suatu projek pembinaan daripada peringkat permohonan kepada peringkat kelulusan dan mempunyai ‘duty of care’ di bawah ‘common law’ bagi memastikan suatu kebenaran merancang yang diluluskan dipatuhi.

  2. Nyatakan tindakan yang pernah diambil oleh Kerajaan Negeri keatas pemaju yang melaksanakan projek pembinaan tanpa DO?

    Kawalan perancangan Bahagian IV Akta 172 mengandungi peruntukan- peruntukan arahan bagi penguatkuasaan pengawalan perancangan oleh Pihak Berkuasa

    Semua pemajuan hendaklah memperolehi kelulusan kebenaran merancang daripada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan. Jika pemajuan dijalankan tanpa kebenaran merancang pemaju boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 27 Akta 172.

    Seksyen 27, Akta 172 memperuntukkan kesalahan berhubung dengan sesuatu pemajuan yang sedang atau siap diusaha atau dijalankan tanpa kebenaran merancang iaitu melanggar Seksyen 19, Akta 172;

    PBPT boleh mengeluarkan notis untuk menghentikan aktiviti pemajuan tanpa kebenaran merancang tersebut atau mengarahkan supaya tanah tersebut dikembalikan kepada keadaan asal jika aktiviti pemajuan itu masih berjalan;

    Notis untuk memberhentikan aktiviti pemajuan tersebut dikeluarkan apabila PBPT berpendapat, kebenaran merancang tidak akan diberikan sekiranya permohonan kebenaran merancang itu akan menghasilkan bentuk pemajuan dalam keadaan yang sedang atau telah dimajukan itu;

    Sekiranya PBPT masih tidak berpuas hati sebagaimana yang dikehendaki dalam notis itu, satu lagi notis menyatakan pelanggaran seksyen 19, Akta 172 boleh dikeluarkan dan seterusnya menghendaki daripada orang itu supaya suatu permohonan untuk kebenaran merancang berkenaan dengan aktiviti pemajuan tu disampaikan kepada PBPT itu;

    Pengeluaran notis ini tidak boleh dianggap bahawa kebenaran merancang akan diberi. Jika permohonan kebenaran merancang dikemukakan, proses seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 21 dan 22, Akta 172 akan dijadikan panduan;

    Keingkaran mematuhi arahan notis ini akan dikenakan denda sehingga RM 100,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam (6) bulan atau kedua-duanya akan dikenakan dan denda tambahan sehingga RM 5,000.00 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan yang pertama bagi kesalahan itu;

    Seterusnya jika tiada permohonan diterima oleh PBPT dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis itu maka satu notis lagi boleh dikeluarkan kepada orang yang menjalankan aktiviti pemajuan itu dan menghendaki supaya tanah berkenaan dipulihkan kepada keadaan yang dinyatakan dalam notis itu;

    Notis yang sama boleh dikeluarkan jika PBPT menolak permohonan untuk kebenaran merancang yang dibuat di atas; dan

    Akhirnya, mana-mana orang yang tidak mematuhi notis yang dikeluarkan ini adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM 100,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam (6) bulan atau kedua-duanya akan dikenakan dan denda tambahan sehingga RM 5,000.00 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan yang pertama bagi kesalahan itu

Lampiran

Tiada Lampiran.