Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016
301) KEBENARAN MERANCANG
Tahun: 2016
Sesi: 3
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan prosedur permohonan kebenaran merancang?
Kebenaran Merancang adalah keperluan di bawah peruntukan Seksyen 19(1), Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172) di mana setiap pemajuan yang hendak dimulakan/ dibina perlulah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Tempatan. Prosedur bagi permohonan Kebenaran Merancang (KM) di PBT adalah permohonan pemajuan dikemukakan kepada Unit Pusat Setempat (One Stop Centre) dan diproses oleh Jabatan Perancangan Pembangunan merujuk kepada Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172) , Kaedah-kaedah Pengawalan Perancangan Am (2001) (Selangor), Rancangan Tempatan serta Dasar – dasar Perancangan Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri yang diterima pakai oleh PBT Selangor.
Setiap permohonan Kebenaran Merancang yang dikemukakan akan dibentangkan dan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar/ Yang Dipertua untuk mendapatkan keputusan.
Proses dan Prosedur Kebenaran Merancang adalah seperti berikut :
1. Pengemukaan Permohonan Di Jabatan Pusat Setempat (OSC) (Borang A1 dan Dokumen Permohonan)
Permohonan kebenaran merancang bagi sesuatu pemajuan hendaklah dikemukakan kepada Majlis melalui Jabatan Pusat Setempat dengan melengkapkan dan mengemukakan dokumen sebagaimana Borang A1 (Permohonan Kebenaran Merancang) Jadual Kedua Kaedah-kaedah Pengawalan Perancangan (Am). Pada masa kini permohonan dikemukakan secara online melalui website OSC Online.
2. Ulasan Jabatan Teknikal
Permohonan akan diedarkan kepada Jabatan Teknikal Luaran (JKR, JPS, TNB, SYABAS, SKMM, PTD dan lain-lain agensi yang berkaitan) dan Jabatan Teknikal Dalaman (Jabatan Kejuruteraan). Jabatan/agensi terlibat diberi tempoh 7 hari dari tarikh permohonan untuk mengemukakan maklum balas kepada Majlis.
3. Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat
Permohonan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat pada hari ke 30 dari tarikh permohonan di terima dan Mesyuarat Jawatankuasa akan memutuskan sama ada permohonan tersebut diluluskan/ diluluskan dengan syarat/ di tangguh/ ditolak. Pemohon akan dimaklumkan dalam tempoh 7 hari dari tarikh mesyuarat berhubung keputusan mesyuarat. Bagi permohonan yang diluluskan/diluluskan dengan syarat,
4. Pembetulan Pelan
Pemohon diberi tempoh 23 hari untuk membuat pembetulan ke atas pelan cadangan mengambil kira syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Teknikal. Pemohon dikehendaki mengembalikan semula pelan setelah pindaan dibuat sebagaimana yang diarah dalam tempoh yang ditetapkan atau tempoh yang telah dilanjutkan. Permohonan akan disifatkan telah ditarik balik jika pemohon tidak mengemukakan semula dalam tempoh masa ditetapkan atau dalam tempoh yang dilanjutkan.
5. Kebenaran Merancang
Kebenaran merancang akan diberi selepas pematuhan terhadap syarat- syarat yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pusat Setempat yang melibatkan pembetulan ke atas pelan.
6. Pelanjutan Tempoh Kebenaran Merancang
Pemohon dikehendaki membuat permohonan baru jika kebenaran merancang yang diberi telah tamat tempohnya dan semasa memberi lanjutan tempoh kebenaran merancang, Majlis boleh mengenakan syarat- syarat baru yang difikirkan patut atau mengubah syarat yang dikenakan pada asalnya. Dalam hal ini jika pemohon tidak berpuas hati dengan syarat-syarat baru yang dikenakan, pemohon berhak membuat rayuan di bawah seksyen 23 dan seksyen 24(5) Akta 172 kepada Lembaga Rayuan mengenai syarat-syarat baru yang dikenakan. Jika pada masa itu
pemajuan telah dimulakan, maka permohonan untuk melanjutkan tempoh kebenaran merancang tidak perlu.
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri kepada pemaju yang telah memulakan projek pembinaan tanpa kebenaran merancang?
Larangan Mengenai Pemajuan Tanpa Kebenaran Merancang (Akta 172) Keperluan bagi mendapat Kebenaran Merancang sebagaimana peruntukan Seksyen 19(1), Akta 172 iaitu:
“Tiada seorang pun, lain daripada pihak berkuasa tempatan, boleh memula, mengusaha atau menjalankan apa-apa pemajuan melainkan kebenaran merancang berkenaan dengan pemajuan itu telah diberikan kepadanya di bawah Seksyen 22 atau dilanjutkan di bawah Seksyen 24(3)”.
Semua pemajuan hendaklah memperolehi kelulusan kebenaran merancang daripada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan. Jika pemajuan dijalankan tanpa kebenaran merancang pemunya boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 26 dan Seksyen 27 Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
Pemberian notis di bawah Seksyen 26 atau 27 Akta 172 yang mengkehendaki pemohon mengemukakan kebenaran merancang akan dikeluarkan kepada pemilik yang tidak mengemukakan permohonan dan membangunkan tapak sebelum kebenaran merancang diluluskan. Keingkaran berbuat demikian pemilik tanah boleh diambil tindakan mahkamah dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman sebagaimana peruntukan di bawah Akta tersebut.