Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

147) KEBAJIKAN WARGA EMAS

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk menyediakan perumahan khas bagi warga emas yang tidak berkemampuan atau tinggal bersendirian?

    Setakat ini, terdapat dua (2) institusi warga yang emas di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat di Selangor iaitu Rumah Seri Kenangan Cheras dan Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu dengan kapasiti penghuni sebanyak 365 orang. Kerajaan Negeri akan menilai semula sekiranya terdapat keperluan bagi menyediakan perumahan khas bagi warga emas yang tidak berkemampuan dan tinggal bersendirian.

  2. Bagaimanakah persiapan kerajaan menghadapi negeri menua 2030?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan Yang Berhormat Rawang No. 57 (b). Perubahan demografi yang berlaku sudah tentu memberikan cabaran yang besar terhadap aspek ekonomi, sosial dan pembangunan negeri. Oleh itu, negeri Selangor akan menjadi negeri pertama yang melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor dan pelan Tindakan 2024-2030 pada Persidangan Dewan Negeri kali ini. Dasar ini akan memberi perhatian kepada aspek penjagaan yang berkualiti, mudah diakses dan mampu milik untuk warga emas.

    Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor juga sedang melaksanakan kajian bagi membangunkan Dasar Warga Emas Selangor. Kajian tersebut akan mengenal pasti dan memahami keperluan kesihatan, sosial dan ekonomi warga emas di Selangor. Hasil kajian akan digunakan bagi membangun rangka kerja untuk dasar inklusif bagi warga emas di Selangor.

  3. Adakah tahap kesuburan rakyat memberi kesan kepada menyumbang faktor negeri menua?

    Berdasarkan data daripada Vital Statistics Malaysia 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, Kadar Kesuburan (TFR) bagi tahun 2022 menunjukkan negeri Selangor mempunyai kadar kesuburan yang rendah iaitu 1.5 anak di bawah paras penggantian 2.1. Kadar 2.1 ini merupakan paras penggantian di mana bilangan anak yang dilahirkan hanya cukup untuk menggantikan ibu bapanya sahaja.

    Dengan penurunan jumlah kadar kesuburan dan pada masa yang sama juga berlaku peningkatan jangka hayat penduduk iaitu 78.1 tahun di Negeri Selangor berbanding kadar nasional 74.8 tahun, bagi bayi yang lahir pada tahun 2023, populasi di Selangor dijangka akan berubah kepada lebih ramai warga tua berbanding kumpulan penduduk umur muda iaitu kanak-kanak dan belia.

    Sebagai negari menua, perubahan demografi sudah pasti mempengaruhi pasaran tenaga kerja di masa hadapan. Bilangan saiz isi rumah akan menjadi semakin mengecil serta berlakunya peningkatan nisbah tanggungan bagi penduduk tua. Di Selangor, nisbah tanggungan bagi penduduk tua meningkat kepada 11.4 pada tahun 2024. Situasi ini menjejaskan    produktiviti negeri dalam aspek pengurangan tenaga kerja muda, beban kerja yang meningkat serta penurunan produktiviti pekerja lanjut usia.

Lampiran

Tiada Lampiran.