Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
340) KEBAJIKAN WARGA EMAS
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan jumlah pusat jagaan orang tua kelolaan kerajaan di seluruh Selangor dan senaraikan jumlah penghuninya.
Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor sentiasa prihatin berhubung kebajikan golongan warga emas di Negeri Selangor. Terdapat 2 buah Rumah Warga Emas di bawah JKM iaitu Rumah Seri Kenangan di Cheras menempatkan seramai 200 penghuni dan Rumah Ehsan di Kuala Kubu Bharu seramai 135 penghuni warga emas yang terlantar dengan jumlah pengoperasian sebanyak RM 9.98 juta.
Seperti sedia maklum, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan pendaftaran ke atas Pusat Jagaan melalui Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506] dan Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994.
Daripada rekod JKM sehingga Mei 2024 terdapat sejumlah 103 pusat jagaan kategori warga emas telah berdaftar sebagai pusat jagaan. 84 pusat jagaan adalah kendalian swasta dan 19 pula di bawah kendalian NGO. Sebagai makluman daripada 103 pusat jagaan kategori warga emas ini telah memberi jagaan kepada sejumlah 1,823 orang warga emas.
-
Adakah Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan membantu pusat jagaan tersebut dan senaraikan peruntukan yang disediakan bagi setiap pusat jagaan?
Pembiayaan khusus dari Kerajaan Negeri berkaitan dengan rumah atau pusat jagaan warga emas adalah melalui Program Pusat Kebajikan Lestari iaitu bantuan geran untuk pembelian peralatan perubatan dan kesihatan serta lain-lain keperluan untuk memberdaya penghuni rumah kebajikan. Jumlah keseluruhan yang diperuntukkan bagi program ini adalah sebanyak RM150,000.00.
-
Senaraikan insentif khas untuk warga emas di Selangor dan apakah insentif kerajaan untuk bantuan sara hidup warga emas selain daripada Skim Mesra Usia Emas?
Selain itu, program memberdaya rakyat Negeri Selangor melalui Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang terdiri daripada empat puluh enam (46) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori atau kluster bagi menangani pelbagai isu turut meliputi insentif untuk golongan warga emas. Inisiatif untuk golongan warga emas adalah berada di bawah dua (2) kluster utama iaitu:
- Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor
– Skim Mesra Usia Emas (SMUE)
- Iltizam Kesihatan Selangor iaitu Iltizam Selangor Sihat, Skim Rawatan Jantung dan Bantuan Sihat Selangor.
-Program Selangor Saring. Warga emas layak menikmati manfaat saringan kesihatan asas seperti pemeriksaan fizikal, ujian darah dan ujian air kencing. Selain itu, turut ditawarkan adalah saringan awal kanser terpilih iaitu kanser kolon, kanser pangkal rahim, kanser prostat dan mammogram. Turut ditawarkan adalah saringan kesihatan telinga, mata, pemeriksaan gigi dan fisioterapi.
– Program Iltizam Sihat Selangor (ISS). Menawarkan manfaat rawatan asas, vaksinasi dan hospitalisasi kepada warga emas di Negeri Selangor. Golongan warga emas yang layak akan menerima manfaat RM250 setahun bagi rawatan asas dan vaksinasi serta manfaat RM10,000 setahun bagi rawatan hospitalisasi kepada pemegang kad utama ISS.
-Program Selangor Mental Sihat (SEHAT). Warga Selangor termasuk warga emas yang mempunyai masalah kesihatan mental boleh mendapatkan bantuan melalui talian SEHAT, video psikopendidikan serta subsidi rawatan psikiatri kepada mereka yang disahkan mengalami masalah kesihatan mental yang kronik.
Untuk makluman YB, bantuan sara hidup warga emas selain daripada Skim Mesra Usia Emas adalah disediakan oleh JKM mengikut kelayakan yang ditetapkan seperti :-
- Bantuan Warga Emas (BWE) dengan kadar RM500.00 sebulan dipertimbangkan kepada warga emas yang tidak mempunyai pendapatan untuk meneruskan kehidupan harian. Sejumlah 11,824 warga emas sedang menerima bantuan ini.
- Bantuan penjagaan OKU terlantar ataupun pesakit terlantar (BPT) dengan kadar RM500 sebulan kepada penjaga warga emas tersebut. Sejumlah 2,663 orang sedang menerima bantuan ini.
- Bantuan Am Negeri dengan tiga (3) kadar iaitu RM250.00, RM300.00 atau RM350.00 sebulan dipertimbangkan kepada keluarga miskin dan kumpulan sasar lain yang memerlukan. Sejumlah 5, 171 orang sedang menerima bantuan ini.