Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

373) KEBAJIKAN WARGA EMAS

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam penyediaan perkhidmatan sosial kepada warga emas yang tinggal bersendirian atau tidak mempunyai keluarga?

    Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan penjagaan secara berinstitusi kepada warga emas yang terabai di Rumah Seri Kenangan Cheras dan Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu di Selangor dengan peruntukan operasi berjumlah RM9.98 juta setahun.

    Selain itu, JKM Selangor turut melaksanakan program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) dengan kerjasama NGO dengan geran berjumlah RM 2.25 juta disalurkan kepada NGO tersebut. Pada masa ini, terdapat seramai 260 orang sukarelawan KBDR yang memberikan perkhidmatan kepada 929 orang warga emas yang memerlukan.

  2. Apakah inisiatif kerajaan dalam usaha memastikan kemudahan awam mesra warga emas?

    Inisiatif Kerajaan Negeri dalam memastikan kemudahan awam mesra warga emas adalah menerusi PlanMalaysia Selangor yang telah menetapkan dalam Manual Garis Panduan & Piawaian Perancangan Negeri Selangor Edisi Keempat agar pemaju menyediakan ruang sekitar 1,200 kaki persegi sebagai Pusat Komuniti Warga Emas (PKWE) untuk warga emas menjalankan aktiviti.

    Oleh itu, kriteria penyediaan PKWE telah dinyatakan sebagai salah satu jenis Kemudahan Komuniti dalam manual garis panduan tersebut yang berkuat kuasa mulai bulan Julai 2022 untuk dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

  3. Apakah program kesihatan pencegahan yang disediakan untuk warga emas?

    Untuk makluman, Kerajaan Negeri turut menyediakan program kesihatan berbentuk pencegahan kepada golongan warga emas. Antaranya adalah Program Selangor Saring. Melalui program ini, rakyat Negeri Selangor termasuk warga emas layak menikmati manfaat saringan kesihatan asas seperti pemeriksaan fizikal, ujian darah dan ujian air kencing.

    Selain itu, turut ditawarkan adalah saringan awal kanser terpilih iaitu kanser kolon, kanser pangkal rahim, kanser prostat dan mammogram. Turut ditawarkan adalah saringan kesihatan telinga, mata, pemeriksaan gigi dan fisioterapi.

    Selain daripada Program Selangor Saring, Kerajaan Negeri juga menawarkan manfaat saringan kesihatan dan vaksinasi melalui Program Iltizam Sihat Selangor (ISS). Di bawah ISS, golongan yang layak termasuk warga emas akan menerima manfaat RM250 setahun bagi rawatan asas dan vaksinasi serta manfaat RM10,000 setahun bagi rawatan hospitalisasi kepada pemegang kad utama ISS.

    Kerajaan Negeri turut menyediakan inisiatif pencegahan berkaitan masalah kesihatan mental melalui program Selangor Mental Sihat (SEHAT). Di bawah SEHAT, warga Selangor yang mempunyai masalah kesihatan mental boleh mendapatkan bantuan melalui talian SEHAT, video psikopendidikan serta subsidi rawatan psikiatri kepada mereka yang disahkan mengalami masalah kesihatan mental yang kronik.

Lampiran

Tiada Lampiran.