Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

212) KEBAJIKAN WARGA EMAS

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan negeri dalam menyediakan perumahan bagi warga emas sementelah negeri Selangor dijangka akan mempunyai sebanyak 15% warga emas menjelang tahun 2030?

    Kerajaan Negeri Selangor tiada dasar yang khusus bagi penyediaan perumahan khas untuk warga emas. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor kini sedang melaksanakan Kajian Warga Emas Negeri Selangor yang bertujuan untuk mengenalpasti cabaran dan keperluan utama yang dihadapi oleh warga emas terutama dalam aspek perumahan, kesihatan dan kebajikan sosial berdasarkan tiga (3) tunjang (domain) iaitu kesihatan, perlindungan sosial dan ekonomi. Salah satu rujukan utama dalam kajian ini adalah Garis Panduan Warga Emas yang dikeluarkan oleh Plan Malaysia pada tahun 2018 yang memberikan petunjuk jelas mengenai perancangan perumahan yang mesra warga emas.

     

    Kajian ini akan menjadi asas bagi pembangunan pelan tindakan yang terperinci dan lebih menyeluruh. Antara fokus utama kajian ini adalah untuk menilai perumahan yang mesra warga emas, dengan mengambil kira faktor seperti keselamatan, aksesibiliti dan kemudahan sosial termasuk meneliti rekabentuk rumah yang memudahkan mobiliti warga emas, kemudahan pengangkutan yang sesuai, serta penempatan perumahan yang berhampiran dengan pusat kesihatan dan perkhidmatan sokongan.

     

    Kerajaan Negeri komited dan berusaha memastikan setiap aspek kehidupan warga emas untuk ditangani dengan baik sekaligus memberi mereka peluang untuk menjalani kehidupan yang lebih selesa dan bermakna seterusnya menjamin kesejahteraan warga emas di Selangor menjelang 2030.

Lampiran

Tiada Lampiran.