Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
16 Mac 2020 - 17 Mac 2020
184) KEBAJIKAN WARGA EMAS
Tahun: 2020
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Senaraikan 5 DUN yang mempunyai populasi tertinggi warga emas, dan bilangan warga emas di 5 DUN tersebut.
Untuk Maklumat YB, buat masa ini pihak Kerajaan Negeri tiada maklumat mengenai perkara ini walau bagaimanapun pihak YB, disyorkan untuk menghubungi jabatan statistik untuk mendapatkan info tersebut.
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam memastikan pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara di peringkat akar umbi?
Sebagai makluman Ahli Yang Berhormat, Dasar Warga Emas Negara mengiktiraf warga emas sebagai warganegara yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman, mempunyai hak untuk menikmati kehidupan sejahtera, dihormati dan boleh terus menyumbang kepada pembangunan negara.
Dasar Warga Emas Negara merupakan komitmen Kerajaan untuk mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong untuk meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara.
Matlamat Dasar Warga Emas Negara ialah mendayaupayakan individu, keluarga dan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan mesra warga emas yang cekap dan berkesan serta membangunkan persekitaran yang memboleh dan membantu supaya warga emas hidup sejahtera.
Dalam memastikan pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Pelan Tindakan Warga Emas Negara yang telah menjadi agenda tetap dalam mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara. Seterusnya satu Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara yang dipengerusikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ditubuhkan bagi merangka, melaksana, memantau dan menilai program-program yang digariskan di bawah Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara.
Selain itu Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas di peringkat Negeri Selangor telah dibentuk dan dipengerusikan oleh YB Puan Dr Siti Mariah binti Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor pula bertindak sebagai urus setia. Setiap Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri perlu menyediakan rancangan tahunan pelaksanaan Pelan Tindakan Warga Emas Negara mengikut keutamaan negeri masing-masing yang akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Teknikal.
Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Daerah (JPWED) turut ditubuhkan bagi memantapkan lagi usaha pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara di peringkat akar umbi. Keanggotaan jawatankuasa ini di peringkat daerah adalah seperti berikut :-
- Pejabat Daerah Dan Tanah Daerah
- Pejabat Kesihatan Daerah
- Pejabat Pendidikan Daerah
- Pejabat Agama Islam Daerah
- Pejabat Penerangan Daerah
- Jabatan Tenaga Kerja
- Ibu Pejabat Polis Daerah
- Pihak Berkuasa Tempatan
- Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Warga Emas
- Pusat Aktiviti Warga Emas
- Institusi Warga Emas dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor
Jadual dibawah menunjukkan senarai Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Daerah (JPWED) Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor yang telah dilantik seperti berikut:
Bil Daerah Nama Pengerusi Jawatan 1. Petaling Puan Norzalina binti Yusof Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) 2. Gombak Puan Eamy binti Mokhtar Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) 3. Hulu Langat Puan Khairul Aizawati Binti Khalid Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) 4. Klang Encik Mahyuddin bin Musa@Hussain Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Bil Daerah Nama Pengerusi Jawatan 5. Sabak Bernam Tuan Nasir bin Mamat Pegawai Daerah 6. Kuala Selangor Tuan Mohd Faizal Bin Abdul Raji Pegawai Daerah 7. Hulu Selangor Pn Nor Uyuni Hamdi binti Ahmad Mahdi Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) 8. Kuala Langat Encik Mohd Asraf bin Redzuan Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) 9. Sepang Tuan Mohd Yazid bin Sairi Pegawai Daerah [Sumber dari : Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor]