Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

66) KEBAJIKAN WANITA

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk meningkat penyertaan wanita dalam Program Skim Kesihatan Wanita terumanya di kawasan luar bandar?

    Untuk makluman Yang Berhormat, program Skim Kesihatan Wanita telah distruktur semula pelaksanaannya iaitu di bawah Program Selangor Kanser (SelCan) yang menyediakan saringan bagi kanser payudara dan serviks.

    Program saringan tersebut dilaksanakan secara berkala di seluruh Selangor termasuklah di lokasi luar bandar. Kerajaan Negeri giat menjalankan promosi termasuk menerusi sebaran bahan kempen di platform media sosial, media massa dan juga edaran pamplet di pusat khidmat seluruh Selangor.

  2. Apakah inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan kepada wanita luar bandar bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan keusahawanan?

    Kerajaan Negeri melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) sedang melaksanakan kajian secara spesifik di kawasan Pembangunan Bersepadu Wilayah Selatan Selangor (IDRISS) dan Inisiatif Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA). Tujuan kajian tersebut ialah untuk menganalisis jurang dan keperluan wanita tempatan terutama bagi ke arah meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka. Melalui kajian tersebut, Kerajaan Negeri akan merancang dan melaksanakan inisiatif berasaskan data (data-driven policy) yang akan memberikan manfaat kepada wanita luar bandar.

    Selain itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM300,000.00 bagi pelaksanaan Program Insentif Digital Media Usahanita Muda yang dilaksanakan oleh Wanita Berdaya Selangor. Program ini dilaksanakan untuk mengasah aspek kemahiran teknikal media digital di samping menggalakkan kreativiti dan inovasi peserta bagi mengembangkan perniagaan mereka. Sebagai rekod, hampir 20 peratus penyertaan bagi program tersebut adalah dalam kalangan wanita luar bandar.

  3. Bagaimana keberkesanan program PWB?

    Hasil keberkesanan program PWB antaranya ialah dapat melahirkan usahawan wanita yang boleh menjana pendapatan sendiri dan menjalani kehidupan yang mandiri. Usahawan wanita ini berjaya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan sehinggalah berkembang maju menggunakan kemahiran yang diperoleh daripada program-program PWB yang disertai. Antara perniagaan yang dijalankan ialah :

    1. Bunga Sabun – DUN Bandar Utama
    2. Kuih Raya – DUN Meru
    3. Bouquet Coklat – DUN Lembah Jaya
    4. Crochet – DUN Lembah Jaya dan DUN Kuala Kubu Baru
    5. Minyak Wangi daripada minyak terpakai – DUN Sungai Pelek

    Kerajaan Negeri juga merancang untuk membantu usahawan wanita menambah baik kualiti produk-produk mereka untuk memenuhi permintaan pasaran high end seperti di kompleks beli belah terkemuka. Menerusi kolaborasi bersama rakan strategik, usaha ini dilaksanakan untuk mengangkat martabat produk tempatan agar seterusnya dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Lampiran

Tiada Lampiran.