Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
90) KEBAJIKAN RAKYAT
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Suasana ekonomi global yang tidak menentu menuntut kerajaan negeri untuk lebih berhemah dalam berbelanja tetapi itu tidak bermakna kebajikan rakyat diketepikan. Jelaskan strategi kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat tidak terabai walaupun dilanda masalah ekonomi yang tidak menentu sekarang.
Seperti kita sedia maklum, keadaan ekonomi global pada masa kini didapati tidak menentu dan ia sekaligus mempengaruhi keadaan ekonomi Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor prihatin ke atas kebajikan rakyat dan menyedari bahawa dalam keadaan seperti ini terdapat masyarakat yang memerlukan bantuan. Keprihatinan Kerajaan Negeri dapat dilihat melalui program kebajikan yang telah dirangka dan dilaksanakan seperti berikut:
- Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang merupakan program yang memberi manfaat kepada semua anak Selangor dengan perlindungan insurans sehingga berusia 18 tahun. Pada usia 18 tahun, semua anak Selangor ini berpeluang menerima RM1,500 seorang hasil caruman di dalam pelaburan ini. Sehingga Januari 2012, seramai 30,574 orang anak kelahiran negeri Selangor yang menepati syarat berjaya diluluskan untuk program ini.
- Program Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang diwujudkan bertujuan memberi bantuan kewangan kepada anak-anak pekerja ladang untuk menyambung pelajaran dalam kursus kemahiran teknikal di INPENS dan juga pembiayaan kewangan seperti yuran sekolah, tambang bas sekolah dan sebagainya. Sehingga Januari 2012, seramai 6,352 orang anak pekerja ladang yang telah menerima faedah daripada program ini.
- Program Hadiah Anak Masuk Universiti, yang mana Kerajaan Negeri memberikan wang tunai RM1,000 kepada anak Selangor yang mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi. Sehingga Januari 2012, seramai 24,916 pelajar menerima hadiah RM1,000 hasil daripada program ini.
- Program Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) yang bertujuan untuk membantu golongan wanita dan kanak-kanak khususnya bagi kes-kes seperti rogol, liwat, keganasan rumah tangga, penderaan dan sebagainya. Pusat ini bertindak sebagai first respondent/point of contract bagi kes-kes seperti yang dinyatakan di atas.
- Program Skim Kesihatan Wanita yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan Mammogram percuma bagi wanita Selangor berumur 35 tahun ke atas bagi memastikan kesihatan wanita terjaga dan dalam keadaan optimum. Sehingga Januari 2012, seramai 13,949 orang telah menerima faedah daripada program ini.
- Program Pusat Dialisis Rakyat juga telah diwujudkan bagi membantu mereka yang memerlukan rawatan dialisis secara percuma. Sehingga Januari 2012, seramai 49 orang yang telah membuat pemeriksaan dialisis secara percuma melalui program ini.
- Program Kemudahan Cuti Tambahan yang meliputi Cuti Bersalin 90 Hari, Cuti
- 14 Hari untuk Suami yang Isterinya Bersalin, dan Cuti Kematian Suami Selama 30 Hari. Sehingga Januari 2012, seramai 31 orang yang telah menerima manfaat daripada kemudahan cuti tambahan ini.
- Skim Mikrokredit Selangor (SkimSel) yang bermatlamat membantu golongan miskin memperolehi dana bagi menjalankan perniagaan sebagai salah satu usaha membebaskan mereka dari kitaran kemiskinan. Sehingga Januari 2012, seramai 5,576 orang telah memperolehi bantuan hasil daripada pelaksanaan program ini.
- Skim Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) yang diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan mereka dengan membuka perniagaan, perusahaan kecil-kecilan. Sehingga Januari 2012, seramai 1,912 orang yang telah menerima manfaat program ini.
- Selain daripada itu, Kerajaan Negeri Selangor juga melaksanakan Program Bekalan Air Percuma Bagi 20 Meter Padu Pertama kepada semua pengguna yang menggunakan meter individu. Secara puratanya, sebanyak 1.2 juta orang yang menerima faedah ini setiap bulan.