Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

357) KEBAJIKAN PENJAWAT AWAM SELANGOR

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk memastikan penjawat awam mendapat manfaat daripada program-program Iltizam Selangor?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Batang Kali, program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) merupakan inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada seluruh rakyat Selangor tanpa mengira kaum atau status sama ada individu tersebut adalah penjawat awam atau sebaliknya.

    Penjawat awam yang layak turut berhak menerima inisiatif di bawah ISP sekiranya mereka memenuhi syarat yang telah ditetapkan melalui enam (6) kluster iltizam iaitu Iltizam Pemberdayaan Rakyat, Keusahawanan, Kesihatan, Pendidikan, Perumahan dan Mesra Anak Selangor.

    Selain itu, melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Negeri Selangor, bermula tahun 2018 terdapat satu (1) program dinamakan Iltizam Selangor Sihat Penjawat Awam (ISSPA) yang disediakan kepada 10,000 orang Penjawat Awam Kerajaan Negeri Selangor Gred 10 dan ke bawah untuk menerima rawatan kesihatan dan perubatan daripada hospital dan klinik swasta.

    Kos rawatan kesihatan dan perubatan tersebut dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor sehingga RM10,000.00 setahun/seorang dan rawatan pesakit luar individu sebanyak RM250.00 setahun/seorang. Maklumat lanjut mengenai program ini boleh diperolehi menerusi laman web https://www.iltizamselangorsihat.com

    Selain itu juga, bagi memastikan semua rakyat Selangor termasuk penjawat awam mengetahui manfaat program-program lain di bawah ISP, maklumat dan infomasi terkini disiarkan melalui laman web rasmi Kerajaan Negeri Selangor iaitu www.selangor.gov.my.

  2. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk menaikkan elaun kakitangan penjawat awam di Selangor termasuklah kakitangan kontrak?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, secara umumnya urusan penetapan dan penstrukturan gaji kakitangan awam di Negeri Selangor adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

    Oleh yang demikian, urusan penetapan kenaikan elaun penjawat awam Negeri Selangor termasuklah kakitangan kontrak dan sambilan di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga tertakluk kepada peraturan yang sama.

    Peraturan utama yang menentukan gaji dan elaun pegawai awam dibuat melalui sistem saraan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan dari masa ke masa seperti Sistem Saraan Baru (SSB) dan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa mulai 1 Disember 2024 merupakan dasar terbaharu yang diperkenalkan Kerajaan dengan peningkatan gaji minimum 15% bagi gred 56 ke bawah. Dasar ini juga diguna pakai oleh Kerajaan Negeri Selangor sama ada bagi pegawai lantikan tetap atau kontrak sekiranya layak dan memilih opsyen di bawah SSPA.

    Pemakaian peraturan SSPA dengan kenaikan gaji minimum 15% bagi pegawai-pegawai gred 56 dan ke bawah adalah dasar yang lebih baik berbanding pemberian elaun tambahan kerana ia memberikan kesan jangka panjang kepada pegawai awam iaitu peningkatan jumlah barayan pencen bagi pegawai tetap dan peningkatan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pegawai lantikan kontrak.

Lampiran

Tiada Lampiran.