Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

32) KEBAJIKAN PEKERJA LADANG DI KUALA LANGAT

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa banyak pekerja ladang di Selangor dari tahun 2009 hingga 2019 mengikut pecahan kaum di setiap kawasan DUN?

    Berdasarkan rekod bilangan pekerja ladang yang berdaftar di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bertarikh 6 Jun 2020 adalah mengikut cawangan. Bilangan pekerja ladang dari tahun 2009 sehingga 2019 adalah seperti Jadual di bawah :

    Tahun Subang Jaya Pelabuhan Klang Rawang Bangi Kuala Selangor Jumlah Pekerja
    2009 236 6,783 1,020 63 0 8,102
    2010 236 6,793 1,020 156 273 8,478
    2011 236 7,143 1,020 228 273 8,900

     

    Tahun Subang Jaya Pelabuhan Klang Rawang Bangi Kuala Selangor Jumlah Pekerja
    2012 236 7,143 1,020 228 273 8,900
    2013 236 7,143 1,020 228 273 8,900
    2014 404 7,143 1,020 228 273 9,068
    2015 404 7,852 1,020 228 273 9,777
    2016 404 7,852 1,020 228 273 9,777
    2017 404 7,852 1,020 228 273 9,777
    2018 439 7,852 1,020 228 273 9,812
    2019 439 7,852 1,020 228 273 9,812
  2. Apakah rancangan-rancangan yang bakal diketengahkan oleh kerajaan negeri untuk membantu mempertingkatkan taraf kehidupan golongan pekerja ladang?

    Kerajaan Negeri sentiasa peka terhadap keadaan sosio ekonomi keluarga yang kurang berkemampuan khususnya dalam kalangan pekerja ladang dan bekas pekerja ladang. Sebagaimana kita sedia maklum, Kerajaan Negeri pada ketika dahulu telah merangka program – program untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan berdasarkan kaum di mana program – program melibatkan kampung tradisi adalah khusus untuk membantu masyarakat melayu. Program – program melibatkan kampung baharu pula dikhususkan untuk membantu masyarakat cina. Manakala program – program yang dirangka di bawah Jawatankuasa Pekerja Ladang, adalah dikhususkan untuk membantu masyarakat India.

    Kerajaan Negeri menyedari masalah sosio ekonomi dalam kalangan pekerja ladang dan masyarakat India bukan suatu perkara yang baharu di mana rata – rata mereka adalah terdiri dari kumpulan B40. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memelihara kebajikan golongan ini dengan mewujudkan dua (2) Portfolio di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin yang khusus untuk membantu mereka iaitu :

    i. Portfolio Pembangunan Pekerja Ladang
    ii. Portfolio Program Pendidikan Anak – anak Pekerja Ladang

    Di bawah Portfolio Pembangunan Pekerja Ladang, Kerajaan Negeri telah merencanakan beberapa program bercirikan kebudayaan, kemahiran serta motivasi. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Estet Land Board (ELB) akan membantu dan meneliti setiap permohonan ladang – ladang bagi tujuan pembangunan dan pertukaran pemilikan ladang yang berkeluasan melebihi 100 ekar dengan mengambil kira pelbagai aspek. Penelitian ini adalah bagi memastikan bahawa pertimbangan dan kelulusan akan mengambil kira fasiliti yang terdapat di dalam ladang berkenaan seperti sekolah, rumah ibadat, tapak perkuburan dan sebagainya adalah terjamin. Ia adalah bagi membantu mereka untuk mendapat pembelaan yang sewajarnya demi memastikan mereka terus berdaya saing dan maju seiring dengan pembangunan negari yang semakin pesat membangun.

    Pembangunan ekonomi dalam kalangan pekerja ladang / bekas pekerja ladang merupakan teras kepada kehidupan yang lebih selesa dan terjamin pada masa hadapan. Justeru itu, program – program yang telah dilaksanakan melibatkan pekerja ladang dan juga bekas pekerja ladang di Negeri Selangor memberi tumpuan untuk meningkatkan pendapatan sampingan mereka menerusi penganjuran kursus kemahiran jangka pendek seperti pembuatan kek dan coklat, kelas jahitan, kelas solekan, pembaikan peralatan, pembuatan kraftangan serta ceramah dan taklimat yang membantu meningkatkan keyakinan dan semangat dalam kalangan pekerja ladang untuk terus maju dan berdaya saing. Program – program kemahiran seperti ini dilihat sedikit sebanyak dapat membantu para pekerja ladang memantapkan asas – asas ilmu kemahiran ilmu yang boleh menjana pendapatan sampingan.

    Kerajaan Negeri juga turut memberi tumpuan utama kepada program pendidikan anak – anak pekerja ladang. Di bawah Portfolio Program Pendidikan Anak – anak Pekerja Ladang, Kerajaan Negeri telah merancang dan menyusun lebih banyak program berdasarkan peruntukan yang diluluskan dan memastikan ianya dapat dibelanjakan secara berhemah dan teratur. Antara program-program yang terdapat di bawah Portfolio Program Pendidikan Anak – anak Pekerja Ladang adalah seperti berikut :

    i. Sumbangan Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah ;
    ii. Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/IPTS) di Malaysia ;
    iii. Program Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) ;
    iv. Program–program Motivasi Anak Pekerja Ladang (Program Ad-Hoc) ; dan
    v. Program Pembangunan Sains, Sukan, Inovatif dan Kebudayaan.

    Salah satu perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri terhadap anak – anak pekerja ladang / bekas pekerja ladang adalah untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selasa dan kondusif. Dengan adanya persekitaran pembelajaran yang lengkap, secara tidak langsung dapat menarik minat anak – anak pekerja ladang / bekas pekerja ladang untuk menimba ilmu pengetahuan. Komitmen Kerajaan Negeri berhubung perkara ini dapat dilihat melalui pembinaan Asrama Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Midlands, Shah Alam dan yang terkini Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Coalfields, Kuala Selangor. Melalui pembinaan projek tersebut, ia dapat membantu anak – anak pekerja ladang / bekas pekerja ladang untuk mendapat pendidikan yang lebih sempurna dengan kemudahan – kemudahan dan teknologi terkini melalui persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif. Secara tidak langsung, dengan adanya kemudahan – kemudahan pembelajaran dan akses kepada maklumat pendidikan terkini, ia dapat mendorong dan memupuk minat anak – anak pekerja ladang / bekas pekerja ladang untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta untuk mecapai cita – cita. Secara tidak langsung, anak – anak pekerja ladang / bekas pekerja ladang ini dapat memperluaskan bidang pekerjaan dan membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi keluarga dengan menggunakan ilmu pengetahuan dan pendidikan yang telah mereka perolehi dan pelajari.

    Secara keseluruhannya, melalui penganjuran program – program sebegini, masyarakat India khususnya anak – anak pekerja ladang / bekas pekerja ladang dapat diberdayakan sekaligus mengurangkan masalah keciciran golongan ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.