Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

160) KEBAJIKAN PEKERJA LADANG

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah program kerajaan negeri untuk memperbaiki kebajikan pekerja ladang?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa peka dan prihatin terhadap isu-isu berkaitan dengan pekerja-pekerja ladang. Kerajaan negeri sedang melaksanakan beberapa strategi dalam membantu mempertingkatkan taraf kehidupan golongan pekerja ladang seperti berikut :

    1. Mengenal pasti ladang-ladang yang menghadapi masalah dari segi kemudahan perumahan, infrastruktur, Sekolah Tamil dan berbagaibagai masalah yang meliputi keperluan hidup pekerja ladang.
    2. Setelah ladang dan masalah yang dihadapi dikenal pasti, lawatan serta perbincangan di antara pihak majikan dan pekerja ladang diadakan sehingga mencapai kata sepakat.
    3. Bagi menjaga kepentingan pekerja, Kerajaan Negeri akan memastikan pihak ladang menyediakan sistem atau saluran tertentu di mana kepentingan pekerja ladang dan majikan dapat di bincang. Antaranya ialah:
      • Terdapat kesatuan sekerja di mana pekerja ladang dapat menyalurkan keperluan ahli;
      • Terdapat juga    Jawatankuasa-jawatankuasa        yang   mana anggotanya terdiri daripada wakil pekerja dan majikan;
      • Pihak ladang menyediakan Pegawai Kebajikan untuk menjaga kebajikan pekerja-pekerja ladang;
      • Terdapat Jawatankuasa lain diwujudkan untuk berperanan ke arah meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan pekerja ladang.

    Di samping itu, kebajikan dan kepentingan pekerja ladang di jaga/dikawal melalui undang-undang buruh (Pejabat Tenaga Kerja) manakala penentuan gaji atau kemudahan pekerja adalah melalui pertubuhan seperti MAPA (Malaysian Agriculture Producers Association).

  2. Apakah status perlaksanaan Tabung Anak Pekerja Ladang?

    Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang diwujudkan untuk membantu mereka mendapat pendidikan yang sempurna dan cemerlang dalam pelajaran.

    Program-program dibawah tabung ini mensasarkan kepada anak-anak pekerja ladang yang pendapatan seisi keluarga kurang dari RM1,500.00 sebulan. Bermula pada tahun 2008 hingga Jun 2012 seramai 3,128 pelajar dan 319 sekolah telah mendapat faedah daripada Tabung Pendidikan AnakAnak Pekerja Ladang dengan dana sebanyak RM 7.302 juta.

  3. Apakah inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kemudahan perumahan pekerja dan anak pekerja ladang?

    Kerajaan Negeri dalam Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Pekerja Ladang telah pun membincangkan mengenai permasalahan ini supaya mereka mendapat keselesaan penempatan baru. Setakat ini, Kerajaan Negeri telah menetapkan syarat dalam setiap permohonan yang melibatkan tanah ladang, sama ada penukaran hak milik atau kegunaan tanah, pihak majikan hendaklah menyediakan sekurang-kurangnya perumahan kos rendah untuk ditawarkan kepada pekerja ladang dengan harga RM35,000.00 seunit yang mana perbezaan harga sebanyak RM7,000.00 akan ditanggung oleh pihak majikan.

    Fokus utama jawatankuasa ini adalah untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat di ladang. Oleh demikian, penetapan enakmen yang jelas mengenai perumahan pekerja ladang telah pun ada di dalam perancangan Kerajaan Negeri supaya misi mempertingkatkan taraf hidup pekerja ladang berjaya.  Bagi mewujudkan sesuatu enakmen, satu kertas kerja yang komprehensif sedang dalam perangkaan dan ianya memerlukan kepakaran yang khusus dalam bidang ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.